Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 25 November 2008

TAJUK KERTAS KERJA



KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

ISU MELAYU & SEJARAH MIGRASI BORNEO

Asreemoro


BAB 1: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENDAHULUAN SEBAGAI PEMBUKA

 

Keamanan di bumi Sabah pada hari ini masih dikecapi oleh rakyat secara berterusan dan ia diharapkan dapat berkekalan pada bila-bila masa dibawah Persekutuan Malaysia. Semestinya keamanan seperti ini akan senantiasa dipertahankan oleh manusia atau kaum-kaum yang menghuni Sabah pada hari ini. Keamanan akan dapat dikekalkan bergantung sejauh mana kaum-kaum di Sabah dapat memahami kedudukan mereka masing-masing yang saling hormat-menghormati sesama mereka sebagai rakyat yang terdiri dari berbilang kaum. Keamanan adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan.

 

Keamanan itu pula akan mudah goyah dan pada bila-bila masa boleh digoncang sekiranya tidak ditunjangi oleh pemahaman sejarah secara jujur. Tanpa mengetahui sejarah kewujudannya, sesuatu bangsa atau kaum itu akan mudah hilang di muka bumi ini. Kerana ketiadaan rujukan sebagai akar tunjang yang menunjangi identiti dan jatidiri mereka sebagai yang mesti dipertahankan. Samada mereka hilang begitu sahaja sebagai pupus di muka bumi atau pun hilang dalam erti kata kehilangan identiti dan jatidiri.

 

Tiada bezanya satu kaum yang pupus menjadi fosil dengan kaum yang masih wujud tetapi telah kehilangan identiti dan jatidiri. Ia akan menjadi seolah-olah seperti seekor harimau yang kehilangan belangnya lantaran sukar dikelaskan kedudukannya sebagai harimau, samada Harimau Benggala, Tibet, Malaya, Sumatera dan sebagainya. Satu kaum yang kehilangan sejarah bangsanya maka ia sebenarnya telah cacat. Maka “kecacatan” itu mereka bawa turun-temurun, generasi demi generasi sebab itu mereka mudah dibawah arus perubahan yang menghentam dan memperkotak-katikkan mereka.

 

Mana-mana kaum pun di dalam dunia, mereka ada sejarahnya masing-masing dari mana keturunan bangsa mereka bermula. Sejarahnya yang kadangkala diungkap dalam tradisi lisan turun-temurun dengan gaya mistik, mitos dan tahyul-animisme sebagai tanda kebanggaan dan kekaguman terhadap sejarah bangsa mereka. Begitu juga dengan kewujudan kaum Tausug yang kita kenali sabagai kaum Suluk di bumi Sabah hari ini. Identiti mereka bertahan dengan propaganda kepahlawanan dalam tradisi lisan mereka turun-temurun sebagai satu bangsa yang berani, cekal, keras, pantang dicabar, tidak mengaku kalah.

 

Sekadar menjadikannya contoh, sebagai renungan yang merujuk kepada satu bangsa beridentiti berdasarkan keberanian yang diperturunkan secara tradisi lisan. Tradisi kaum Suluk bercerita tentang keberanian bangsanya berperang serta keturunan keluarga mereka yang bermaruah dijadikan satu budaya pemikiran sampai bila-bila. Walaupun cerita keberanian berperang kaum Suluk dianggap tidak lagi relevan dalam suasanan aman di Malaysia hari ini, namun sebagai sejarah tentang kewujudannya yang bermaruah perlulah dihormati. Selagi ia masih tetap terkawal yang tidak menjadi punca pemecah belah keharmonian masyarakat, maka sudah tentulah ia diterima sekadar sebahagian budaya kaum yang unik dan tersendiri.

BAB 2: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

KEBERANIAN YANG MENJADI IDENTITI

 

Sehingga hari ini para sarjana barat masih berterusan mengkaji keberanian kaum Suluk yang mereka anggap bukan sekadar semata-mata tradisi lisan tetapi satu kenyataan tentang kewujudan satu bangsa pejuang yang masih berjuang hingga ke hari ini. Kebanyakan sarjana barat ketika menulis tentang budaya kaum Suluk dan sejarahnya, tanpa mengira mereka musuh atau sahabat kepada kaum ini, tidak dapat lari dari kenyataan bahawa “kaum Suluk adalah pahlawan yang tiada tandingan di dunia”. Sesetengah mereka menceritakan sejarah keberanian kaum Suluk lebih fanatik dari kaum Suluk sendiri.

 

Robert A. Fulton bercerita di bukunya MOROLAND 1899 – 1906: America’s First Attempt to Transform an Islamic Society:

 

“Pada tahun 1960-an, semasa saya menunggu penerbangan keluar dari Zamboaanga, saya didekati oleh seorang tua Moro (Muslim), paras wajahnya menakutkan, dia segera menceritakan masanya menentang orang Jepun pada Perang Dunia kedua, tanpa menunggu pertanyaan saya, dia mengangkat kemejanya dan menarik seluarnya ke paras lutut menunjukkan puluhan bekas terkena peluru yang dia alami, saya terpegun di atas itu, dia menceritakan dengan Bahasa Enggerisnya yang kasar “Awak tahu, kamilah orangnya hinggakan tentera kamu mencipta pistol .45 automatik”.

 

Beliau menambah lagi : Adakah ini benar?...pengalaman orang Amerika memerangi Moro (Muslim Tausug) ialah motivasi utama “penciptaan” senjata, atau kesimpulanya “penambahan”[senjata itu]. Keterangnya dari 1911 hingga ke 1985, Colt Model 1911, .45 caliber automatic pistol menjadi  senjata rasmi tentera Amerika yang paling luas penggunaanya dan yang paling laris di sejarah ketenteraan Amerika. Tetapi adakah ia berjaya “menghalang” perjuangan Moro (Muslim)? Tidak…”

 

Seperti pembunuhan di Bud Bagsak (Gunung Bagsak) Sulu pada June 11, 1913 oleh tentera Amerika yang di arah oleh General John Pershing. Beliau menghantar surat pada isterinya mengatakan: "Perlawanan inilah yang paling menakutkan dan kejam yang pertama kali saya saksikan. Orang Moro (Yang dimaksudkan ialah Tausug Sulu) melawan seperti syaitan. Mereka memang sepenuhnya tiada ketakutan dan apabila sudah berazam untuk melawan, mereka terima kematian itu cuma sebagai satu peristiwa biasa.”

 

Dalam Press Release, 1,000 Tausug warriors who fought and died at Bud Dajo Battle pada March 8, 2006, Senator Aquilino Nene Q. Pimentel, Jr. berkata: “Pahlawan-pahlawan Tausug dan ahli keluarga mereka yang menentang pencerobohan asing di Perang Gunung Dahu (Bud Dahu [Battle of Bud Dahu]) patut di iktiraf kerana keberanian dan keperwiraan mereka. Jarang kita temui di dalam sejarah, keberanian seperti yang di tunjukan oleh Tausug di Bud Dahu. Keberanian dan pengorbanan mereka mempertahankan Bud Dahu boleh di bandingkan dengan lagenda kemenangan penganut Yahudi (Jewish) menentang penjajah Roman di tahun 72 A.D, zaman Kristian di puncak kubu bernama Masada. Semangat Tausug tidak takut akan mati (never-say-die spirit) di Bud Dahu di contohi oleh juruterbang Kamikaze Jepun yang melanggar kapal perang Amerika di perang Okinawa hingga ke penghujung Perang Dunia Kedua di Pacific. Bud Dahu berdiri megah di dalam rekod keberanian pahlawan-pahlawan dan orang-orang yang melawan demi kemerdekaan negara mereka dan ia yakni berada di tahap Masada dan tinggi dari Okinawa dan Saipan”.

BAB 3: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

KAUM SULUK DARI RUMPUN BANGSA MELAYU?

 

Satu catatan dari Empayar China telah mengatakan bahawa kaum Tausug ini adalah rumpun bangsa Melayu yang dipetik dari buku Cesar Adib Majul Muslim In The Philipines: “Penduduk Sulu tergolong ke dalam rumpun bangsa Melayu. Mereka adalah pejuang-pejuang yang baik, berani dan ganas. Apabila Spanyol menakluki Luzon, ia cuba sedaya upaya untuk menjadikan Sulu sebagai wilayah naungannya; tetapi Sulu enggan menerimanya. Sungguhpun pihak Spanyol menghantar serdadu untuk menaklukinya namun mereka itu dapat dikalahkan (Oleh kaum Suluk)”.

 

Hari ini, nama kaum Suluk terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai pahlawan Melayu yang tiada tandingan di bumi Sabah. Satu kenyataan yang tiada siapa pun boleh menyangkalnya. Di antara pahlawan Suluk Sabah yang dikenang hingga ke hari ini ialah:

 

  • ·         Pahlawan Suluk bernama Panglima Ilidji datang ke Brunei berperang membantu Sultan Brunei menamatkan perang saudara 10 tahun lantaran Borneo Utara (Sabah) dihadiahkan kepada Sultan Sulu pada 1675 M.
  • ·         Pahlawan Datu Teteng @ Tating berjaya memusnahkan kubu British di Pulau Balembangan (berdekatan Kudat) pada 1775 M.
  • ·         Pahlawan Datu Paduka Mat Salleh melawan tentera Kompani British menyebabkan kerugian besar yang tidak munasabah kepada kompani pada 1898 M.
  • ·         Pahlawan Syarif Osman menentang kompani British hinggakan beliau dituduh sebagai lanun atau perompak laut kerana penentangannya. Beliau sezaman dengan Datu Paduka Mat Salleh.
  • ·         Pahlawan Datu Mustafa yang berjaya mengetuai gerila Borneo Utara menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia ke-II. Bersamanya kaum Bajau, Iranun, Momogun menentang tentera Jepun hingga kalah pada 1947. Datu (Tun) Mustafa dengan berani menukar nama Borneo Utara kepada Sabah dan mengetuai kemasukan Sabah ke persekutuan Malaysia pada 1963.

 

Ramai yang bertanya benarkah kaum Suluk adalah dari kaum Melayu? Kalau Melayu bagaimana pula kaum-kaum Sabah yang lain? Bagaimanakah pengistilahan Melayu ini bermula? Rasanya satu penjelasan perlu tentang hal ini sebagai pemahaman agar kekeliruan tentang pengistilahan Melayu ini dapat diperbetulkan. Sebenarnya semua penduduk Nusantara ini adalah dikatakan serumpun dalam rumpun Melayu.

 

BAB 4: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENGISTILAHAN MELAYU YANG PERLU DIFAHAMI

 

Mengapa dikatakan kaum-kaum Nusantara termasuk dalam rumpun Melayu? Mengapa kaum Melayu Semenanjung Malaysia menggelarkan diri mereka dengan Melayu? Penggelaran Melayu kepada sesetengah etnik di Nusantara dengan mengatakan mereka adalah Melayu hanya kerana dalam surat beranak mereka tertera nama Bangsa: Melayu maka mereka sahaja yang berketurunan Melayu? Apakah istilah Melayu itu adalah etnik-entik tertentu atau ia sebenarnya adalah gelaran serumpun manusia yang menghuni Alam Nusantara ini? Kalau kita katakan bahawa hanya setiap orang yang berada di bumi Malaysia ini yang bertutur dengan bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam budaya Melayu serta hanya yang beragama Islam maka itu sahaja yang dipanggil Melayu? Kenyataannya, di sini terdapat kepincangan pemahaman yang perlu diperbetulkan. 

Siapa yang boleh mendakwa diri mereka sahaja yang Melayu sedangkan yang lain bukan ternyata semuanya hanya persepsi atau interpretasi kekelompakan atau kekampungan sahaja yang hanya dipandu oleh rasa ego dan kesombongan kaum. Satu persoalan, dari mana asal istilah Melayu ini? Soalan ini sehingga sekarang masih tiada jawapan tuntas dari ahli sejarah untuk menjadi kata putus sebenar kepada apa sebenarnya yang dikatakan Melayu itu. Semuanya hanya hipotesis yang mana masing-masing para pengkaji berusaha menyatakan kajiannya adalah yang paling tepat dan benar. Sebenarnya Melayu hanyalah satu istilah dan penggelaran semata-mata kepada satu kaum di Nusantara. 

Walaubagaimana pun, kaum Melayu yang asal adalah yang paling berhak terhadap gelaran ini. Mereka berhak atas istilah yang telah menjadi simbol sejarah Asia Tenggara kerana keagungan dan keperkasaan yang mengharumkan penghuni Nusantara sampai bila-bila. Siapakah yang dikatakan kaum Melayu asal itu?

Ianya berasal dari satu kaum yang menduduki Jambi, Sumatera yang menamakan kaum mereka sebagai Melayu. Lokasinya yang menonjol dan strategik menjadikannya begitu terkenal kerana menjadi persinggahan perdagangan di seluruh rantau Asia. Perkembangan awal Islam kemudiannya menjadikan negerinya pusat pendidikan Islam ketika itu malah bahasanya (Bahasa Melayu) juga digunakan sebagai bahasa perantara dalam pengajaran Ilmu. Nama dan bahasa kaum ini tersebar merata tempat setelah para penuntut yang datang dari merata tempat kembali ke negeri asal mereka. Sebab itu kitab-kitab lama atau kitab kuning ditulis dalam bahasa Melayu. Yang maksudkan itulah kaum Melayu Jambi dari Sumatera.

Ketika penjajah datang menghujani Nusantara mencari rempah mereka langsung tersua dengan satu kaum yang namanya sudah sekian lama terkenal dibawa para pedagang merata tempat, lalu mereka mencatat kehebatan kaum Melayu yang mendominasi Alam Nusantara sebagai kaum yang dominan yang perlu diberi perhatian. Sebab itu para penjajah mencatat serta mengkelaskan penghuni rantau Nusantara ini sebagai Melayu, dinisbahkan kepada keluasan pengaruh Melayu Jambi dan Palembang. 

Dalam hal ini Hugh Low (1988) sendiri mempercayai hakikat tentang pengistilahan Melayu itu berdasarkan keagungan kerajaan Melayu Jambi di Sumatera:

" …it being rarely the custom of the natives [peribumi Tanah Melayu] to apply a distinguishing name to the whole as, and collectively, but to designate each part by the name of the most powerful kingdom situated in it"

Sejak itu dikajilah dari mana asal-usul manusia Melayu. Hasilnya apa yang kita dapat baca dalam buku-buku sejarah-linguistik hari ini. Namun, pengkajian terhadap istilah Melayu itu sendiri masih berterusan.

Berikut ialah fakta yang penulis susun berdasarkan kajian dan apa yang diberi oleh ahli sejarah tentang asal-usul Melayu dan bahasanya secara ringkas:

  • ·         Lantaran Nusantara mempunyai pusat perdagangan purba bermula dari negeri-negeri yang menuturkan bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh kaum Melayu Jambi, maka penggelaran Melayu kepada kaum-kaum Nusantara tersebar meluas hinggakan pencatat sejarah barat sendiri membuat kesimpulan demikian. Pengistilahan Melayu kepada rumpun Nusantara yang dimulakan oleh pengkaji barat ini akhirnya digunakan hingga ke hari ini.
  • ·        Melayu-Proto adalah kumpulan pertama dipercayai sampai ke Nusantara berasal daripada golongan Austronesia dari Yunan, Indochina. 
  • ·         Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi) adalah keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera. 
  • ·         Melayu-Deutro pula adalah kumpulan kedua yang datang ke Nusantara. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya orang Melayu di Malaysia. Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
  • ·         Kumpulan pertama Proto dan kedua Deutro, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
  • ·         Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim seorang pakar bahasa (Linguistik) menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China.
  • ·         Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut (Bajau).
  • ·         Gelaran Melayu (Mlayu) berasal dari bahasa Jawa kuno bermaksud melarikan diri, berpergian atau mengembara. Kaum yang mula-mula digelar Melayu ialah kaum yang menduduki Jambi berdekatan Palembang, Sumatera hinggakan sebuah sungai di Jambi digelar Sungai Melayu. Pada 600 M muncul satu kerajaan awal Melayu di Jambi yang menjadi tumpuan dan persinggahan pedagang dari India ke China.
  • ·         Berdasarkan catatan Kerajaan Kayangan China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja China sekitar 644 - 645 Masihi. Yang dimaksudkan ialah kerajaan Melayu Jambi.
  • ·         Satu lagi catatan dari China ialah catatan seorang pengembara yang juga rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata Ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi yang sudah tentu ialah Jambi dan Palembang.
  • ·         Oleh kerana Jambi dan Palembang di Sumatera menjadi pusat perdagangan utama di rantau Nusantara ketika itu maka adalah tidak menghairankan para pedagang dari Solot turut berdagang di sana. Solot adalah gelaran oleh kaum Melayu Jambi-Palembang, Srivijaya dan Majapahit kepada kepulauan Sulu. Sehingga hari ini bahasa kaum Tausug dari Sulu terdapat istilah “Malayu”. “Malayu” bermaksud satu tempat atau jarak perjalanan yang sangat jauh, pendek kata mengembara jauh (ada persamaan makna dengan Mlayu dalam bahasa Jawa). Pedagang Sulu tentunya senantiasa berulang alik ke Jambi-Palembang yang mempunyai jarak perjalanan yang bukannya dekat. 

 

Demikianlah bagaimana pengistilahan Melayu itu diguna sebagai mewakili rumpun Nusantara. Dalam hal ini nampaknya para pengkaji barat begitu mudah mengkelaskan siapa sahaja sesuka hati mereka yang akhirnya diguna dan diakui dunia hingga hari ini. Penggelaran sesuka hati seperti ini juga berlaku kepada kaum-kaum yang beragama Islam di Filipina Selatan. Penggelaran Moro contohnya, bermula dari pengalaman lampau Spanyol sendiri menghadapi peperangan dengan kaum Muslimin di Spanyol dan permusuhan mereka dengan kaum Mauricenia yang berasal dari Tanah Maghribi (Morocco) itu terbawa-bawa hingga ke Nusantara.

 

Akhirnya telah menjadi punca kepada penggelaran Moro kepada umat Islam di Filipina Selatan itu sendiri. Pro dan kontra terhadap pengistilahan ini masih kedapatan dikalangan kaum Nusantara hingga kini. Yang keliru juga tidak kurang hebatnya terhadap pengistilahan berbangkit. Contoh sekiranya ditanya kepada kaum Momogun di Sabah adakah mereka dari kaum Melayu, tentu mereka tidak mengaku tetapi ada sebilangan yang mengakuinya. Demikian juga sekiranya ditanya kepada kaum Suluk samada mereka adalah dari kaum Moro, jawapan pun adalah sama. Yang lain mengaku sebilangan lagi tidak.

 

Sebenarnya membuang masa sahaja meperdebatkan hal istilah ini. Apa yang lebih penting ialah umat Nusantara berdiri atas kehebatan sejarah masing-masing dan berbangga dengannya. Keagungan peradaban mahupun kemajuan ekonomi yang didominasi oleh negeri-negeri Melayu ketika dulu telah menjadi sebahagian dari sejarah bersama nenek moyang setiap kaum di Nusantara. Penggelaran Melayu juga kepada rumpun Nusantara perlulah diterima sebagai satu identiti bersama. Walaupun boleh sahaja dianggap “nasib baik” kepada kaum Melayu Jambi yang menyebabkan nama kaumnya menjadi popular lantaran rumpun Nusantara hari ini mendapat gelaran Melayu-Austronesia namun penerimaan semua kaum hari ini menunjukkan pengiktirafan terhadap nama Melayu itu sendiri.

 

Sekiranya kaum Suluk yang mendominasi perdagangan ketika dulu, pasti nama rumpun Nusantara hari ini ialah Suluk-Austronesia. Kalau kaum Jawa pula sudah tentu nama rumpun kita sekarang ialah Jawa-Austronesia. Kalau Bugis pula tentu jadi Bugis-Austronesia, Momogun-Austronesia, Bajau-Austronesia dan macam-macam lagi. Ia hanya istilah kepada satu kaum yang menjadi terkenal seperti terkenalnya kaum Iranun dan kaum Bajau Balangingi merompak di sekitar Laut Nusantara ketika dulu.

 

Hinggakan sampai hari ini sesiapa sahaja yang menjadi perompak laut kita gelar Lanun (Iranun). Kalau di Indonesia pula perompak laut digelar Bajak Laut (Bajau Laut Balangingi). Begitu juga kalau sesiapa yang menjadi kuat dan hebat akan digelar pula “bermaharajalela” sempena nama pahlawan Maharaja Lela yang membunuh J.W.W. Birch di Pasir Salak, Perak ketika dulu.

 

BAB 5: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

SIAPA PENGHUNI AWAL BERNEO UTARA?

Kalau ditanyakan kepada kaum Kadazan-Dusun, Tambonuwo, Lotud, Murut, Sungei, Idahan, Bajau Kota Belud/Semporna, Suluk, Brunei, Iranun dan kaum-kaum lain bahawa  siapa yang dikatakan kaum peribumi atau bumiputera? Tentu mereka menjawap “kami”. Apakah benar mereka yang mengaku sebagai peribumi Sabah ini adalah peribumi dalam erti kata yang sebenarnya? Sebahagian dari mereka mengatakan bahawa sebelum Sabah merdeka lagi mereka telah ada di bumi Sabah malah sebelum kedatangan kaum-kaum “pendatang” asing yang lain mereka telah pun lama wujud bercucuk tanam, berburu dan sebagainya di pedalaman Sabah?

Sebab itu mengapa wujudnya cerita lagenda bahawa asal-usul permulaan Gunung Kinabalu itu sendiri adalah permulaan kepada bangsa mereka. Maka inilah tanda bahawa merekalah penghuni asal “Negeri Di Bawah Bayu” itu. Walaupun segala bukti yang mereka berikan hanyalah berupa tradisi lisan yang sarat dengan mitos dan tahyul sebagai pembuktian terhadap “keperibumian” mereka, namun ianya tidaklah dapat memberikan apa-apa makna yang boleh diiktiraf. Walaubagaimana pun, itu adalah hak mereka terhadap pengamalan budaya dan adat resam yang menjadikan mitos dan lagenda sebagai sebahagian dari sejarah kaum mereka.

Mari kita lihat sejarah di mana kita bermula agar dengan demikian dapatlah kita menilai kebenarannya. Kerana, sejarah tidak mungkin mendustai kita yang sudah tentu segala mitos dan tahyul tersebut telah pun terpahat dengan baik sebagai identiti sebahagian kaum di bumi Sabah. Semuanya telah pun termasuk dalam lipatan sejarah maka segala tradisi lisan itu tidak sewajarnyalah kita persalahkan. Tradisi lisan itu sendiri telah menjadi satu sejarah kepada kaumnya sejak sekian lama. Tinggal lagi, samada logik dengan tidak sahaja yang menjadi persoalan. Terima atau tidak bergantung kepada kewarasan individu yang menilainya. Walaubagaimana pun halnya, pertimbangan logik tetap mendominasi perjalanan sejarah hidup manusia selama beribu-ribu tahun lamanya sejak dahulu kala.

Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, m.s. 1185, peribumi bermaksud kaum asli atau bumiputera. Dengan kata lain, satu kaum yang terawal datang dan tinggal disesuatu kawasan, mendirikan penempatan dan menguasai persekitarannya. Persoalannya, siapakah yang benar-benar dikatakan “peribumi” Sabah? Kemudian, siapa pula yang terawal dikalangan yang awal di antara kaum-kaum Sabah yang kita sebutkan tadi? Sebenarnya belum ada ahli sejarah yang dapat menentukan kaum mana yang lebih awal datang dan membuat penempatan di Sabah.

Yang ada ialah kewujudan lebih awal kaum Dayak Sarawak (Punan, Penan, Kayan, Kenyah, Iban, Dayak Darat, Murut) di Borneo yang mana ahli sejarah sepakat mengatakan mereka adalah kelompok Melayu-Proto yang datang ke Nusantara semenjak 2500 tahun sebelum Masihi lagi. Itu pun mereka hanya tertumpu di Kalimantan dan hanya bertebaran ke merata tempat di Borneo termasuk lari masuk ke tengah-tengah hutan belantara setelah berlakunya ekspedisi mencari hamba dikalangan kaum Iranun dan Bajau Balangingi dari Sulu.

Menurut seorang Pensyarah Program Sejarah, SSS, UMS, En. Bilcher Bala  dalam kertas kerjanyan bertajuk Latar Belakang Penduduk Di Sabah & Sarawak, bahawa, adalah tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya (khususnya Borneo Utara). Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan daripada kemunculan kumpulan pendatang baru (dari kalangan penjajah) sejak lebih kurang abad ke-15.

Justeru, wujud tanggapan bahawa ciri-ciri kemasyarakatan primitif yang masih wujud di kawasan pedalaman Borneo adalah ekoran daripada ketiadaan hubungan mereka dengan orang luar. Sungguhpun demikian, hakikat keadaan taburan penduduk di Borneo pada hari ini menafikan tanggapan sebegitu. Misalnya, proses migrasi yang telah berlaku sejak beberapa zaman yang lampau telah menjadikan negeri Sabah sebuah masyarakat yang berbilang keturunan, budaya, adat dan kepercayaan.

Dalam bukunya bertajuk Borneo People, Malcolm MacDonald (1985) telah mengutarakan satu rumusan yang jelas sekali mengenai penduduk peribumi asli Borneo dalam beberapa dekad yang lalu, khususnya yang telah ditemuinya di wilayah Sarawak, bahawa:

 “…natives in the deep jungle are 'uncivilized' pagans. They associate together in primitive tribal organization and are divided among distinct ethnological groups called Punans, Penans, Kayans, Kenyahs, Ibans, Land Dayaks, Muruts, and various others. They are the real wild men of Borneo.

Yang menariknya En. Bilcher Bala mengatakan lagi “…menurut andaian setakat ini menyebut bahawa masyarakat manusia di Sabah pada awalnya adalah terdiri daripada beberapa suku etnik peribumi asli yang kemudiannya telah berubah menjadi sebuah masyarakat majmuk terutamanya ekoran daripada proses migrasi yang mula berlaku seawal-awalnya pada kurun masihi yang ke-10 lagi daripada Tanah Besar China, India, Kepulauan Philipina dan Sulu, Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain”.

Ternyata berdasarkan kajian En. Bilcher Bala di atas, proses migrasi antara kaum-kaum dari luar Borneo yang berlaku seawal-awalnya kurun ke-10 dapat membuktikan satu kebenaran yang akan menyusul selepas ini. Kerana berdasarkan kajian yang kami telah jalankan, migrasi telah berlaku secara drastik setelah perluasan pengaruh dan penaklukan oleh Srivijaya dan Majapahit serta terbukanya laluan perdagangan di Alam Melayu yang bermula di kerajaan Melayu Jambi dan Palembang. Pedagang dari India dan Arab pada awal kurun ke-7 hingga kurun ke-9 menjadikan Jambi dan Palembang sebagai persinggahan utama di Nusantara sebelum meneruskan perjalanan ke Champa, Vietnam seterusnya ke China.

Ketika ini Brunei, Johor, Bugis, Banjar, Tidung, Ternate-Maluku, Maguindanao dan Sulu telah pun menjadi satu kerajaan yang sudah tentu aktiviti perdagangan mereka dengan Jambi telah pun berlaku ketika itu. Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah jual beli hamba adalah antara yang termasuk dalam kativiti perdagangan. Perhambaan pada ketika itu sangat popular dan dimasa-masa kemudiannya telah menjadi punca kepada taburan atau migrasi kaum di seluruh Nusantara.