Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 18 Januari 2009

Kaum Suluk Sabah BUKAN Tausug!


Pada tahun 2004 yang lalu saya terbaca satu forum yang memperdebatkan bahawa kaum SULUK di Sabah bukan kaum Tausug. Alasannya ialah Tausug adalah kaum yang tinggal di SUG (Jolo) Sulu sedangkan Suluk pula adalah kaum yang tinggal di Borneo Utara atau Sabah. Hal perdebatan berkenaan saya tidak ambil pusing kerana menganggap ia hanya isu remeh kesalahfahaman semata atau kejahilan yang sementara. Malangnya sejak kebelakangan ini, isu Suluk bukan Tausug semakin kedengaran terutama kepada kaum Suluk Sabahan. Nampaknya, tanpa apa-apa sandaran yang kukuh mereka dengan sesuka hati memberi definisi secara bersendirian yang sudah tentu menampakkan kejahilan mereka sendiri.Berikut saya persembahkan jawapan kepada persoalan ini dalam bentuk soal-jawap secara mudah agar senang difahami:

Kaum Suluk di Sabah tidak sama dengan kaum Tausug di Sulu. Keduanya berbeza dari segi lokasi itu sendiri, Tausug di Filipina dan Suluk di Malaysia. Siapa yang dapat menafikan perkara ini?


Saya setuju, Tausug dan Suluk adalah berbeza sekiranya dirujuk kepada lokasi. Bermakna perbezaannya hanya dirujuk pada perbezaan tempat tinggal antara dua nama kaum itu. Tetapi saya nyatakan mereka tetap satu bangsa kerana menutur bahasa dan budaya yang sama.

Ia tetap tidak sama, kaum Suluk di Sabah tidak boleh mengatakan mereka Tausug kerana TAUSUG itu sendiri bermaksud "Orang di Sug" atau "Orang di SUlu", mana mungkin kaum Suluk di Sabah mengatakan mereka "Orang Sulu" sedangkan kaum Suluk di Sabah adalah warga Sabah di bawah Persekutuan Malaysia?

Sekarang saya tanya anda pula, nenek moyang anda berasal dari mana?


Memanglah asal nenek moyang kami dari Sug (Sulu) dan kami telah berada di sini dan menjadi warga Malaysia semenjak zaman Mat Salleh, sebab itu kami bukan orang Sug (Sulu) lagi. Di Malaysia kami dipanggil Suluk bukan Tausug. Apakah anda mengaku Tausug?


Ya, saya Tausug, dan saya memahami bahawa Tausug dan Suluk mempunyai pengertian yang sama dari segi makna, hanya sebutannya berbeza.

Maka jelaslah anda bukan orang Malaysia kerana anda adalah Tausug bukannya Suluk. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf nama Tausug di sini kerana Tausug asalnya di Sug (Sulu) yang ditadbir Filipina.

(Dalam keadaan berhadapan dengan debat bodoh seperti ini, adalah lebih baik angkat kaki atau mengiyakan sahaja perkataannya untuk mengelak pergaduhan)

Sekiranya para pembaca meneliti, punca segala isu Suluk bukan Tausug ini di Sabah adalah berpunca dari sifat rendah diri kaum Suluk di Sabah sendiri yang malu mengaku Tausug. Kerana satu bangsa yang kononnya berani berperang tidak terkalah, tetapi berbondong lari ke Sabah menyelamatkan diri menjadi pelarian hingga Sulu terbiar ditadbir oleh Filipina hingga hari ini. Yang menambahmalukan lagi kaum Suluk di Sabah ialah orang-orang Tausug yang menjadi anggota Abu Sayyaf datang ke Pulau sipadan menangkap warga Malaysia dijadikan tebusan.

Maka tidak hairan mereka tidak mahu mengaku Tausug lagi. Jelasnya, mereka bukannya tidak mahu mengaku sebagai Tausug, tetapi malu mengakuinya atas dasar perkara yang kita sebutkan tadi. Tetapi sekiranya Sulu itu dapat semula kedaulatannya suatu hari nanti (InsyaAllah tidak lama lagi), kita jangan hairan, orang yang mengaku Suluk Sabah bukan Tausug sebelum ini, itulah yang melompat dahulu mengangkat parang ditangannya sambil menjerit "Siapa yang tidak mengaku Tausug aku akan potong lehernya!". Ternyata sebenarnya dia bukannya "Tausug" dari Sulu.

Memperjelaskan Kebenaran Istilah
Darimanakah asal-usul istilah atau penggelaran SULUK kepada kaum Tausug di Sabah? Atau sememangnya kaum Tausug dahulu adalah ahli tariqat yang selalu berSULUK sebelum keluar berjihad fisabilillah menentang kufar? Ya yang ini ada kebenarannya, tapi Kita mahu jawapan yang lebih tepat lagi berdasarkan kenyataan sejarah. Sebenarnya, saya telah merata bertanya kepada golongan tua Tausug bertanyakan darimanakah asal panggilan Suluk kepada kaum Tausug di Sabah, tetapi tiada jawapan yang memuaskan hati hinggalah saya mengambil keputusan mencari jawapan melalui tulisan para sarjana timur dan barat sendiri.

Akhirnya didapati, satu-satunya di dalam dunia ini yang memanggil kaum Tausug dengan panggilan Suluk ialah orang-orang Brunei, sebab itu Dylrample menulis dalam catatannya, Soolook adalah merujuk kepada kaum Suluk kerana terikut-ikut atau terpengaruh sebutannya dari lidah kaum Melayu Brunei sendiri. Apa buktinya? Pengarah Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam, Pehin Prof. Jamil Al-Sufri telah menulis dua buku yang sangat penting bertajuk Tarsila Brunei I dan Tarsila Brunei II menyebut "Suluk" atau "Sultan Suluk" atau "Sultan dari Negara Suluk" atau "Orang Suluk" adalah merujuk kepada kaum Tausug di Sulu. Sejak dahulu kala orang-orang Brunei memanggil orang-orang dari Sulu (Tausug, Balangingi/sama Bajau, Yakan) sebagai Orang Suluk. Siapakah yang membawa istilah "SULUK" ini kepada orang-orang Brunei? Punca Panggilan Suluk Menurut dalam catatan Negarakrtegama Majapahit, kepulauan Sulu dipanggil SOLOT, begitu juga ketika zaman Srivijaya kepulauan Sulu di panggil SOLOT. Satu wilayah kepulauan yang tidak tertakluk oleh kedua kerajaan Hindu Buddha itu walaupun mereka katakan Solot sebagai wilayah naungannya. Persoalannya dari mana Srivijaya dan Majapahit mendapat gelaran Solot kepada wilayah Sulu?


Puncanya ialah semata-mata "pelat" atau lidah yang sukar menyebut sesuatu perkataan disebabkan tidak biasa menyebutnya. Bagi kaum Maranao, Maguindanao dan Iranun di Mindanao mereka memanggil kaum Tausug dengan panggilan "SULUG". Sekiranya kita teliti, "Sulug" adalah gabungan Sulu dan Sug menjadi Sulug (Sulu + Sug = Sulug). Bagi kaum Tausug sendiri, Sulu adalah satu wilayah atau ruang lingkup empayar pemerintahan raja-raja atau Sultan-Sultan Tausug. Sedangkan Tausug itu adalah orang-orang yang menghuni Pulau Sug (Jolo) yang menutur satu bahasa yang dinamakan Bahasa Sug. Lingua-franca di kepulauan Sulu adalah Bahasa Sug hingga hari ini. Sug bermaksud "Arus" air laut, maka "Tausug" bermaksud "Orang Arus". Mereka digelar Tausug atau Orang Arus adalah kerana mereka adalah kaum pedagang yang berlayar ke pelusuk Nusantara untuk berdagang mengikut arus lautan, sebab itu Tausug duduk di Pulau Jolo ditengah-tengah lautan yang deras arus air lautnya.


SULUG bermaksud "Sulu tempat asal orang Sug" atau "Orang Sug Sulu". Maka, sekiranya orang-orang Brunei menyebut SULUK kepada SULUG maka ia hanya semata-mata "pelat" lidah mereka. Sebenarnya yang tepat ialah "SULUG" bukannya SULUK. Sementelahan Srivijaya dan Majapahit pula menyebut SOLOT, atau SULUT yang lebih hampir kepada SULUK, sedangkan SULUK kata asalnya ialah SULUG.

Hubungan Brunei Dengan Kaum Di Mindanao

Menurut Majul dalam bukunya Muslims In The Philipines para pendakwah Islam dari Brunei sangat rapat hubungannya dengan Kesultanan Maguindanao pada awal-awal kedatangan Islam. Sudah tentu para da'i Brunei telah mengetahui gelaran Sulug itu kepada kaum Tausug Sulu itu dari orang-orang Maguindanao. Tapi lidah Melayu dari Brunei pastinya gagal menyebut SULUG itu dengan betul malah ia akan menjadi "Suluk" pada lidah mereka. Kita sedia maklum, Maranao, Maguindanao dan Iranun adalah yang terkenal menggelar SULUG kepada orang Tausug hingga hari ini. Menurut sahabat saya (Neldy Jolo) yang pernah mengembara mengelilingi Mindanao hingga perjalanannya ke Manila menyatakan, kaum-kaum Muslim di Mindanao memanggil orang Tausug dari Sulu sebagai SULUG hingga ke hari ini.


Di Sabah tidak jauh dengan Pulau Gaya di Kota Kinabalu, iaitu di Laut China Selatan terdapat satu pulau pelancongan yang cantik dan indah bernama Pulau Sulug. Sila lihat peta Sabah. Siapa yang menggelar pulau itu dengan gelaran Pulau Sulug? Yang mengelar sebenarnya ialah orang-orang Iranun yang menjadi tentera laut Sulu ketika itu. Ketika itu kaum Iranun sangat rapat hubungannya dengan Tausug pada zaman pemerintahan Raja Bongsu Sultan Mawallil Wasit sekitar 1610 M kerana perhubungan kekeluargaannya dengan Sultan Maguindanao, Sultan Qudarat. Hingga hari ini kaum Iranun banyak terdapat di Pantai Barat Sabah, dan sekiranya mereka (Iranun Sabah) tidak lupa, mereka memanggil Sulug kepada Tausug bukannya SULUK.
Ia cuma sebutan berbeza hanya kerana pelat semata, pada makna adalah sama. Kaum Tausug hingga kini, terutama yang duduk di Mindanao, maklum, sekiranya ada orang yang memanggil mereka SULUG, itu pastinya datang dari kaum lain. Dikalangan Tausug tetap memanggil diri mereka sebagao TAUSUG!.

Isnin, 5 Januari 2009

Dayak Borneo: Perkaitannya dengan Tausug


Kaum Dayak Borneo

Berikut saya paparkan beberapa contoh kaum Dayak yang ada di Sabah (Borneo Utara). Kaum di Sabah seperti Murut, Idaan, Tidung dan Sungei adalah satu keluarga yang kita kenali sebagai Melayu-Proto. Mereka juga terbahagi kepada dua, iaitu Dayak Darat dan Dayak Laut. Kalau di Sarawak Dayak Lautnya ialah terdiri dari Kaum Iban, manakala Kaum Dayak Darat adalah seperti Orang Ulu (Penan, Kayan, Punan, Kenyah).

Di Sabah Dayak Lautnya ialah Kaum Tidung, manakala Dayak Daratnya ialah Idaan, Sungei dan Murut. Cara bagaimana mengenali kaum Dayak ialah dengan melihat:

  • Bentuk potongan rambutnya yang dipotong seperti tempurung dengan rambut belakang dibiarkan panjang. 
  • Kemudian mereka menggunakan kain "santut" yang dililit dipinggang sekaligus dapat menutup "alat sulit". 
  • Di bahagian siku dan lutut dililit kain khas atau gelang. 
  • Di bahagian punggung satu alat di letak atau diikat sebagai alas duduk yang dianyam dari mengkuang atau rotan.
  • Mereka menggunakan parang "Kampilan" atau "Pakayun" sebagai senjata dan juga "sumpit" untuk berburu.
  • Mereka mengamalkan pertanian pindah, sebahagiannya setelah berkahwin campur dengan kaum lain, akan menetap di satu tempat secara tetap.
Perkaitan kaum Dayak dengan Tausug
Kaum Tausug yang berpusat di Sulu mempunyai budaya berdagang secara "barter" sejak dahulu kala dengan daerah-daerah atau kepulauan di seluruh Nusantara. Tausug juga mempunyai cara diplomasi yang sangat toleran. Dalam sejarah Sulu Tausug tidak pernah menyerang wilayah lain yang bukan kepunyaannya atau menindas bangsa lain, ini kerana Tausug lebih berminat menjalin hubungan perdagangan yang sudah tentu memerlukan persekitaran yang aman.

Di Borneo Utara atau Sabah, Dayak sangat rapat hubungannya dengan kaum Tausug semenjak sebelum Borneo Utara jatuh ketangan Kesultanan Sulu lagi. Dalam hal hubungan ini, kita akan mendapati sebahagian dari kesenian dan ketenteraan Tausug ada terdapat unsur-unsur Dayak. Contohnya tentera Sulu iaitu Bajau Balangingi menggunakan "sumpit" sebagai sebahagian dari senjata pemusnah mereka. Demikian para Datu Tausug yang tinggal di Borneo Utara hingga ke Sulu memiliki Sumpit sebagai koleksi senjata yang berharga. Ini juga tidaklah menghairankan kerana tentera laut Sulu sebahagiannya adalah dari kaum dayak sendiri seperti Kaum Tidung. Kaum Tidung adalah Dayak laut yang rapat perhubungannya dengan Tausug hinggakan berlaku perkahwinan campur antara kerabat Kesultanan Sulu dengan puteri-puteri Raja Tidung ketika dulu.

Kaum Dampuan adalah Kaum Dayak?
Sebahagian tradisi lisan dari kaum Tausug mengatakan, sejak dahulu kala kaum Dayak laut telah sampai ke kepulauan Sulu yang menetap lebih awal di kepulauan Sulu yang kemudian kaum-kaum lain datang setelah mereka. Sebab itu mengapa kaum Tausug menggunakan "kambut" (kain panjang dililit dipinggang dan hujung kain akan dijuntai di hadapan untuk menutup alat sulit) yang mirip dengan kain "santut" kaum Dayak.  Kalau ini benar maka merekalah yang dikatakan kaum Tausug Dampuan? Kaum Dampuan, sebahagian dari pencatat sejarah mengatakan mereka berasal dari Champa, Vietnam. Tetapi apa yang kita lihat bukanlah demikian, kerana tiada satu pun ciri-ciri Vietnamis yang berbentuk manik-manik yang sepatutnya menjadi hiasan kaum Tausug hari ini.

Walaubagaimana pun kenyataannya, Tausug terhasil dari percampuran beberapa etnik di Nusantara yang tak dapat disangkal lagi. Samada kita katakan segala pakaian dan peralatan kebudayaan yang dipakai Tausug hari ini hanya sekadar "ambilan" dari kaum lain, atau sebenarnya adalah pakaian asal kaum Tausug yang asli, tentu kedua-duanya juga benar.

Tidak berapa lama dulu (tahun 2004 kalau tidak silap), seorang lelaki Tausug yang bekerja di Qatar pernah menceritakan kepada penulis (di internet) berkenaan tradisi lisan yang dia dapat dari keluarganya iaitu kaum Tausug yang asal katanya ialah kaum Sungei itu sendiri. Menurut ceritanya, pada ketika dulu telah berlaku kemarau yang panjang di Borneo menyebabkan kaum Dayak bertebaran mencari kawasan baru untuk memulakan kehidupan. Kaum Sapa' (dalam bahasa Suluk bermaksud sungai) dari Borneo telah bersampan dari pulau ke pulau hingga sampai ke pulau Jolo dan mereka menetap di sana menjadi kaum yang terawal. Satu cerita dari tradisi lisan yang mungkin silap, tetapi kalau melihat atau meneliti segala aspek yang ada pada Tausug seperti ada kebenarannya. kalaupun ia benar, kaum Sapa' yang dimaksudkan berkemungkinan adalah dari Dayak Laut yang lebih awal seawal sebelum kemunculan kerajaan Srivijaya yang muncul sekitar abad ke-5. Atau pun lebih jauh dari itu serentak dengan kedatangan Melayu-Proto. Sekadar satu hepotesis.

Pakaian Tradisi Tausug  Satu Lambang Nusantara
Berkenaan seluar tradisi Tausug yang dikenali sebagai "kuput" atau "Bereno" yang dipakai sendat mengikut bentuk peha dan kaki, ia seolah-olah "diambil" bentuknya dari seluar sendat orang-orang Eropah. Orang Kastilla (Spanyol) di Filipina menggunakan seluar sendat juga sebagai pakaian kebiasaan mereka yang mungkin menjadi inspirasi Tausug untuk mengenakan bentuk seluar yang sama. Tausug memakai seluar sendat "kuput",  setelah itu mereka melilitkan kain panjang di pinggang dengan tiga tujuan, 

  • pertama untuk menghalang seluar terlondeh, 
  • kedua hujung kain tersebut dijuntaikan untuk menutup alat sulit yang berbentuk sekalipun ada seluar. 
  • ketiga, untuk dapat menyelitkan keris atau barung di pinggang. Ia mirip seperti penggunaan "santut" oleh kaum Dayak di Borneo.

Kaum tua Tausug kebiasaannya mengenakan seluar labuh dinamakan "Sawwal" yang bentuknya sama dengan seluar Samurai Jepun. Menurut kaum tua Tausug, yang diistilahkan "Kamaasan" kebiasaannya menggunakan Sawwal untuk pakaian harian dan ketika dalam keadaan tegang (peperangan secara mengejut) Sawwal tersebut ditarik (Laisun) ke atas ke paras pinggang yang hanya menutup bahagian sulit. Keadaan ini dinamakan "mag sullit", sebab itu mengapa Panglima Lapu-Lapu ketika membunuh Magellan di Maktan, Cebu digambarkan hanya mengenakan "Sullit".

Pakaian tradisi Wanita Tausug pula kebiasaannya mengenakan Baju Batawiyang penuh dengan butang emas atau suasa sebagai pakaian kebanggaan. Menurut sejarahnya, pakaian ini bentuknya diambil dari kaum Melayu Betawi dari Pulau Jawa dan senantiasa mengenakan kain "sablai" yang bercorak seperti batik bersulam sebagai tanda kewanitaan. Dalam keadaan tertentu kain sablai boleh diguna sebagai tudung kepala. Dalam hal pemakaian kain Sablai ini, ada persamaan dengan pakaian kaum Bugis di Sulawesi juga. Cara memakai dengan meletakkan sebahagian kain di siku (dikepit) sekali pandang wanita Tausug seperti wanita Bugis.

Begitu juga dengan keris, Tausug menggunakan keris yang ganjil tidak sama dengan keris Melayu di Nusantara yang lain. Keris Melayu kecil dan diguna untuk menusuk atau melibas dengan tujuan menyucuk hujungnya kepada musuh. Tidak bagi Tausug, keris diguna untuk melibas seperti pedang. Sebab itu keris Sulu yang dikenali sebagai "Kalis Sundang" rata-rata mempunyai saiz yang besar, berat dan panjang. Keris yang hampir sama juga dipakai oleh kaum Maguindanao di Mindanao.


Berkenaan imej Abu Bakar Ellah @ Ampal
Pernah seorang sahabat saya mengomel tentang imej rambut Abu Bakar Ellah yang dia anggap sebagai seperti tempurung Sarawak (maksudnya Iban). Setahu saya sahabat saya ni dari suku kaum Sungei dan yang dia kritik (Abu Bakar Ellah) adalah dari kaum Sungei juga. Saya menjelaskan kepadanya berkenaan imej Dayak yang ada di Kalimantan, Sarawak dan Sabah yang berambut seperti tempurung ketika dulu adalah satu rumpun terdekat. Saya menjelaskan kepadanya lagi bahawa kaum Sungei adalah dari kaum Dayak juga. Dia terkejut dan tidak bersetuju. Mana mungkin kaum Sungei Sandakan berasal dari kaum Dayak? Saya terfikir, hina sangatkah menjadi seorang Dayak? Abu Bakar Ellah memotong rambutnya seperti itu menunjukkan kebanggaannya terhadap tradisi kaumnya, memalukan? Saya, tabik pada Abu Bakar Ellah. Dia seorang yang faham sejarah dan berbangga dengan tradisi asal-usulnya.

Maka kita turut bertanya kepada sahabat kita dari suku kaum Idaan, Tidung dan Murut. Hinakah menunjukkan identiti anda sebagai Dayak yang menjadi kebanggaan Nusantara berabad-abad lamanya? Jangan tinggalkan budaya dan tradisi anda dengan menggantikannya dengan tradisi "kontemporari" yang kehilangan identiti itu. Kaji dan selidiki sejarah kaum anda dari mana bermula, agar anda tidak menjadi "fosil" yang kehilangan identiti.