Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Rabu, 22 Oktober 2008

Artikel Baru: Budaya & Pemikiran Tausug 1

BAB: ADAT RESAM DAN BUDAYA

Adat resam bermaksud peraturan yang diamalkan dan telah menjadi hukum kebiasaan sesuatu kaum sejak turun temurun. Pendek kata adalah bentuk-bentuk amalan yang menjadi kemestian dilakukan oleh nenek moyang sejak dahulu kala. Budaya pula membawa maksud adat kebiasaan turun temurun yang telah diamalkan oleh generasi hari ini hingga menjadi satu identiti. Dalam konteks kaum Tausug, Ini termasuklah adat kebiasaan dalam perkahwinan, kelahiran, kematian dan kesenian. Perkara ini kita senaraikan mengikut kategori secara mudah iaitu:

· Perkahwinan.

· Kelahiran.

· Kematian.

· Kesenian.

Kebanyakan adat resam dan budaya yang ada di seluruh Nusantara pada hari ini kebanyakannya adalah hasil peninggalan nenek moyang mereka dari zaman Srivijaya dan Majapahit dahulu. Ianya masih kekal sebagai satu identiti serumpun, walaupun mempunyai unsur-unsur Hindu-Buddha tetapi disesuaikan dengan suasana keislaman. Ini tidaklah menghairankan sekiranya berlaku transformasi atau pengislaman budaya Hindu-Buddha itu kedalam masyarakat Melayu, yang sebenarnya adalah dibenarkan oleh kaedah perundangan Islam itu sendiri. Rata-rata rumpun Melayu termasuk masyarakat Tausug menganut Islam dengan menggunakan kaedah perundangan Islam mazhab Imam As-Syafi’e r.a., yang boleh mengamalkan apa sahaja amalan budaya setempat selagi tidak bertentangan dengan kehendak-kehendak syarak (seperti yang mempunyai unsur-unsur pemujaan dan sebagainya).

Transformasi budaya dan kesenian yang berbentuk Hindu-Buddha kepada Islam telah berjaya dilakukan oleh para penyebar-penyebar agama ini di sekitar Nusantara tanpa pertumpahan darah. Kejayaan Wali Songo atau Wali Sembilan mengislamkan kebudayaan Hindu-Buddha menjadi tarikan kepada masyarakat melayu untuk menganut Islam. Membuang unsur-unsur pemujaan kepada berhala diganti kepada zikir-zikir dan cerita para nabi dan rasul serta para sahabat. Sebab itu masih kekal wayang kulitnya serta amalan-amalan bersanding yang sudah dibuang unsur-unsur pemujaan seperti yang masih wujud hari ini.

Secara kasar adat resam dan budaya kaum Tausug mempunyai banyak persamaan dengan kaum-kaum serumpun mereka di sekitar Nusantara ini. Tinggal lagi, ada beberapa perkara unik yang perlu didedahkan berkaitan amalan “kaja” dan beberapa amalan pertunangan serta perkahwinan yang menjadi kebiasaan di kalangan kaum Tausug. Sekali pun tidak lagi diamalkan di sebahagian tempat tetapi amalan ini masih wujud dan menjadi satu identiti unik kaum ini sejak dahulu kala.

PERKAHWINAN
Dalam hal pertunangan dan perkahwinan ini masyarakat Tausug meletakkan “maruah” sebagai segala-galanya. Pematuhan terhadap adab-adab dan tatasusila Tausug serta janji-janji yang mesti dipatuhi, seperti peminangan tahakkim atau patihantak, atau pun putus pertunangan beradab, Kahwin Dakup, kahwin lagadlarun, kahwin uy’un. Sebarang kegagalan mematuhi perjanjian akan dianggap menconteng arang di muka kepada mana-mana pihak yang mencetuskannya. Maka akan dihadirkan seorang hakim yang dipersetujui kedua belah pihak untuk mengadili. Hakim pula semestinya seorang alim atau faqih, dikenal akan kewibawaannya dan bukan dari keluarga kedua belah pihak. Hakim biasanya digelar Sara’, bermaksud orang yang arif tentang hukum Syarak. Kaum Tausug sejak dulu tidak mempunyai hakim khusus yang boleh mengadili mereka disebabkan negerinya terdiri dari taburan kepulauan yang luas. Setiap pulau atau kauman (kariah) mempunyai ahli Sara’ sebagai penyelesai masalah berkaitan hukum hakam termasuk nikah kahwin ini. Kebanyakan kes yang membabitkan maruah dapat diselesaikan oleh Sara’ untuk mengelakkan pertumpahan darah. Kita susun adat perkahwinan dan pertunangan ini seperti berikut:

· Peminangan (Tahakkim, Patihantak).

· Putus pertunangan.

· Kahwin Lari (Dakup, Uy’un, Lagadlarun).


PEMINANGAN
Adat peminangan kaum Tausug dalam tiga kategori. Peminangan biasa secara beradab (ini biasa di mana-mana Negara di Nusantara yang beragama Islam).

  1. Peminangan biasa ini ialah seperti menetapkan hari perkahwinan serta menetapkan wang hantaran yang di sukat (diminta) oleh pihak wanita. Minimum kepada jarak waktu pertunangan dengan perkahwinan ialah tiga bulan, sekiranya gagal rombongan kena datang sekali lagi untuk melanjutkan tempoh petunangan. Peminangan seperti ini adalah yang paling dibanggakan dan bermaruah sebab itu kebiasaan sukat ungsud (permintaan wang hantaran) dari pihak wanita sangat tinggi. Di Sulu sejak dahulu kala hingga hari ini meletakkan wang hantaran atau sukat ungsud yang mahal, antara RM15,000 hingga RM35,000. Ini peminangan adat kebiasaan para Datu, Syarif-syarif dan Olang Kaya (Orang kaya) menunjukkan status mereka sebagai golongan yang dihormati.
  2. Kemudian, peminangan secara tahakkim bermaksud pihak wanita mencadangkan kepada pihak lelaki untuk akad nikah dahulu, walimatul ‘urus dikemudiankan. Ini biasa dilakukan kepada pihak lelaki yang kurang berkemampuan. Keadaan seperti ini adalah belas kasihan dari pihak keluarga wanita itu sendiri. Satu lagi adalah kerana mengelak dari kerosakan seperti zina dan sebagainya yang boleh mencalar maruah keluarga.
  3. Peminangan patihantak pula bermaksud, seorang lelaki (bersendirian) datang ke rumah pihak wanita menyatakan kesungguhannya menyintai wanita tersebut dan bersungguh-sungguh mengahwininya, sekiranya mereka (pihak wanita) ragu bolehlah dibelah dadanya dengan barung sebagai bukti ketulusannya. Adalah kebiasaan kepada cara peminangan patihantak ini ialah persediaan mas kahwin atau wang hantaran di pihak lelaki telah pun siap. Sekiranya pihak wanita terutama perempuan yang dimaksudkan bersetuju maka majlis pertunangan akan dilakukan atau pun majlis perkahwinan terus di langsungkan. Sekiranya tidak bersetuju, tentunya pihak keluarga wanita itu maklum akan kesudahan atau akibat dari penolakan mereka. Kebanyakan kes lelaki “jantan” seperti ini diterima sebagai menantu.

PUTUS PERTUNANGAN
Sekiranya majlis pertunangan berlangsung dengan penuh adat dan adab maka sudah tentu ketika memutuskan pertunangan juga demikian. Sebarang kegagalan mematuhi adat dan adab boleh menyebabkan permusuhan, tentunya kemungkinan-kemungkinan buruk seperti peperangan boleh berlaku. Pemutusan pertunangan kebiasaannya diadili oleh Sara’ yang arif tentang Syarak dan akan menghukum seadil adilnya. Kalau pihak lelaki yang memutuskannya maka segala hantaran pertunangan atau kos yang selama ini dikeluarkan mereka terhadap pihak wanita dikira “hangus”. Sekiranya pihak wanita yang memutuskannya maka segala kos yang dikeluarkan oleh pihak lelaki selama waktu pertunangan perlu dikembalikan kesemuanya.

KAHWIN LARI
Menariknya dengan perkahwinan suku kaum Tausug ini ialah terdapatnya konsep perkahwinan seperti ini. Saya katakana sebagai konsep adalah kerana penerimaan oleh kaum Tausug sendiri sekali pun dibenci kerana dianggap mencalar maruah. Dalam hal ini, kahwin lari kadang-kadang menjadi satu kebanggaan bagi kaum lelaki yang berjaya melarikan anak orang terutama ketika waktu-waktu sukar dalam suasana peperangan (perang dengan kufar atau perang saudara). Walaubagaimana pun, konsep perkahwinan seperti ini bukanlah diterima bulat-bulat tanpa tentangan. Sebab itu pemimpin keluarga berusaha mendidik anak-anak perempuan mereka agar menjaga tata susila agama dengan melarang memberi reaksi suka mahu pun benci kepada mana-mana lelaki. Sekiranya ada yang menyukai mereka maka minta diajak datang kerumah berjumpa keluarga samada merisik atau pun terus meminang.

Satu perkara yang perlu dijelaskan, wanita Tausug dididik lasak dan keras sebagaimana kaum lelakinya. Ini tidaklah menghairankan sekiranya kita melihat dan mengkaji cara hidup kaum Tausug sendiri yang hidup di pulau-pulau kecil yang sukar cara penghidupannya. Perang saudara dan peperangan dengan kafir menjadi asam garam kehidupan mereka. Bentuk dan gaya bahasa Tausug pun keras sebab itu ketika menuturkan bahasa Sug di bibir mereka, wajah akan bertukar serius dan meyakinkan. Maka tidak hairanlah konsep kahwin lari ini lahir dari suasana persekitaran dan gaya hidup mereka sendiri.

KAHWIN DAKUP
Kahwin Dakup bermaksud kahwin lari suka sama suka. Dakup berlaku disebabkan beberapa kemungkinan yang dihadapi oleh pasangan yang akhirnya memilih kahwin lari. Antaranya ialah pihak lelaki tidak disukai oleh keluarga wanita sedangkan wanita itu sudah nyatakan persetujuan untuk rela dikahwini oleh lelaki pilihannya itu. Satu lagi ialah keluarga wanita ini ada pilihan lelaki lain selain lelaki pilihan wanita tersebut lantaran mereka memilih untuk kahwin lari bersama. Di sini terdapat satu adat sebagai menyelamat keadaan, iaitu sekiranya keluarga pihak lelaki mengetahuinya yang anak lelaki mereka telah bersama atau bawa lari anak gadis orang, mereka akan cepat-cepat menemui keluarga pihak wanita dan meletakkan pendahuluan sebagai tanda bersama sekurang-kurangnya RM100.

Adat ini dinamakan atau diistilahkan Tampan Maru bermaksud melindungi maruah. Maruah di sini lebih kepada menjaga ukhuwwah Islamiyah sesama Muslimin. Dengan demikian tenanglah hati keluarga gadis tersebut kerana pihak keluarga lelaki telah mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan anak mereka. Tanpa tampan maru ini sebagai isyarat pertanggungjawaban, akan menyebabkan nyawa si lelaki tersebut dalam bahaya kerana sekiranya ditemui oleh Usba atau keluarga gadis ditengah jalan mereka boleh mencederakan atau membunuhnya. Bagi keluarga lelaki pula, mereka tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya anak lelaki mereka terbunuh atau tercedera kerana mafhum tentang kerja anak lelaki mereka yang larikan anak orang, ini kerana mereka sendiri tidak sempat menghantar tampan maru sebagai langkah keselamatan. Sekiranya sempat maka keadaan akan terkawal dan selamat dari pertumpahan darah dan sebagainya.

Dalam kes ini, biasanya pasangan akan dapat berkahwin menggunakan wali hakim dan sebagainya yang dibenarkan syarak sekiranya ayah si gadis enggan menjadi wali. Sesetengah kes mereka enggan dimaafkan oleh keluarga wanita setelah berjaya diakad nikahkan. Tetapi setelah mendapat seorang anak mereka akan kembali memohon kemaafan. Ketika ini biasanya mereka akan diterima dan pihak lelaki akan menyerahkan wang hantaran kemudiannya.

KAHWIN UY’UN
Kahwin Uy’un bermaksud “pulang kepada seseorang kerana berasa diri dinodai” iaitu wanita atau gadis yang datang dengan beg pakaiannya menemui keluarga lelaki yang disukainya untuk minta dikahwinkan atau dikahwini. Sesetengah lelaki menganggap ini adalah saat sukar dan yang paling menyeramkan dalam hidupnya. Tentunya selepas ini ayah wanita tersebut akan datang mencari sambil membawa barung untuk menetaknya. Sesetengahnya pula menganggap seperti “mengantuk disorongkan bantal” malah bangga kerana gadis yang diminatinya telah datang dengan sendiri.

Faktor terjadinya malapetaka Uy’un ini adalah disebabkan “tangan-tangan” si lelaki itu juga. Wanita atau gadis Tausug yang menjaga maruahnya jangankan “terpegang punggung”, sekiranya terpegang bahu sekali pun beliau akan datang dengan beg pakaiannya minta dikahwini kerana berasa dirinya sudah “dinodai”. Dalam kes sebegini biasanya wanita atau gadis tersebut akan diserah oleh keluarga lelaki kepada Sara’ (Hakim) dan Sara’ akan menyimpan amanah dan bertindak sebagai orang tengah antara keluarga lelaki dan gadis tersebut. Membantu dengan memaklumkan kepada pihak keluarga gadis bahawa anak mereka selamat dalam simpanannya (tanpa memberi tahu lokasi) dan Sara’ ini akan usahakan perbincangan sehingga berjaya diijabkabulkan.

Hikmah atau peranan Sara’ ada dua, pertama, menyimpan amanah dari keluarga lelaki agar keluarga gadis tidak akan datang menyerangnya dirumah kerana gadis telah dihantar dengan selamat ke rumah Sara’. Kedua, agar tidak timbul buruk sangka dari keluarga gadis tersebut, kerana sekiranya tinggal dirumah lelaki itu akan dianggap telah berlaku perzinaan atau kerja-kerja yang melanggar batas-batas agama. Di sini peranan Sara’ sangat penting demi kedamian dan ukhuwwah sesama muslimin. Dalam kes seperti ini perkahwinan dapat dilangsungkan dengan pilihan samada memanggil keluarga pihak wanita atau sebaliknya. Biasanya wang hantaran akan diserahkan kepada keluarga wanita sebelum akad nikah.

KAHWIN LAGADLARUN
Kahwin lagadlarun atau guyurun bermaksud “kahwin diheret secara paksa”. Bunyinya seperti menyeramkan pula, seolah-olah berlaku satu adegan pencolekan yang ganas. Sebenarnya kahwin paksa seperti ini memang mirip pencolekan kerana wujud unsur paksaan dan melampau sekalipun dengan tujuan baik memperisterikannya. Terjadinya kahwin jenis ini adalah berpunca dari beberapa sebab.

· Pertama, seorang lelaki terlihat wanita cantik di sebuah kampung dan lelaki ini berasakan jodohnya dah sampai, maka dengan bantuan kawan-kawannya dapat mencolek dan melarikan gadis tersebut ke satu tempat dan memaksa wanita itu bersetuju berkahwin dengannya. Maka dipanggil tok kadi atau Sara’ untuk menikahkan mereka. Setelah ada anak mereka kembali ke rumah keluarga wanita tersebut dan membayar hantaran.

· Kedua, lelaki tersebut jatuh cinta pada seorang gadis kerana kepandaiannya mangalay (menari) maka masuk meminanglah dia. Malangnya pinangan ditolak kerana mungkin “tersangat tampan” maka gadis tersebut tidak menyukainya lantaran dirancang satu pencolekan yang nekad dan mengahwininya.

· Ketiga, wanita tersebut menyindir seorang lelaki dengan sindiran yang mungkin telah menjatuhkan maruahnya. Maka untuk menebusnya maka dia pun mencoleknya dan kahwin. Dalam hal ini, provokasi dari wanita Tausug tersebut seolah-olah seperti minta dicolek pula. Biasanya wanita seperti ini sangat cerdik dan berani kerana baginya “gaya pencolekan” dalam sejarah perkahwinannya adalah satu yang mencabar atau “adventure”. Nampak awalnya lelaki si pencolek itu lah yang handal, sekali dah kahwin, si lelaki ini biasanya akan jadi pak turut pula, pendek kata “queen control”.

Setelah melihat jenis-jenis perkahwinan kaum Tausug di atas, maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahawasanya budaya dan adat perkahwinannya terlalu mencabar dan tidak kedapatan dalam suasana kita di Malaysia hari ini. Ini kerana faktor tempat dan persekitaran yang mencabar di kepulauan Sulu dari dahulu hingga kini menjadikan adat perkahwinannya sebegitu rupa. Perkara ini bukanlah baru dan pelik, kerana hingga hari ini masih berlaku jenis-jenis perkahwinan seperti yang kami paparkan di atas. Ia bukan sekadar cerita kosong malah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian kami sendiri terhadap masyarakat dan keluarga terdekat.

Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah peranan Sara’ yang begitu penting. Sara’ bukanlah seorang yang bekerja sebagai Hakim Syariah secara khusus atau tuan guru atau sebagainya, ianya boleh jadi sekadar orang kampung biasa yang dipercayai dan sudah biasa mengendalikan kes-kes mencabar seperti itu serta mengetahui tentang hukum-hukum syariat Islam. Sekiranya ada tuan syaikh, syarif, datu atau ustaz atau pun sememangnya ketua kampung sudah tentu merekalah yang lebih utama menjadi Sara’. Merekalah yang dijadikan hakim sebagai orang tengah penyelesai sebarang masalah yang berbangkit di kalangan Tausug.

Kajian dan susunan oleh: Asreemoro

Tiada ulasan: