Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Jumaat, 30 Januari 2009

2-KEMPEN: MEMBANTU UMMAT ISLAM SULU


Belilah kedua buah buku di atas sebagai bantuan kepada ummat Sulu. Untuk pembelian sila dapatkan nombor telefon yang ada pada Poster.

Perhatian:
Poster 1 dan 2 ini adalah diselia dan diuruskan oleh kumpulan Ustaz-ustaz (pendakwah) dari semenanjung Malaysia dan Sabah serta Indonesia. Ustaz Hasri dari Bogor, Indonesia adalah wakil perhubungan tunggal di Indonesia. 

Sekiranya tuan/puan/Dato'/Datin ingin menghantar bantuan ke Sulu, sila hubungi saya terlebih dahulu:
H/P: +60163232849
Email: asreemoro@yahoo.com


1-KEMPEN: MEMBANTU UMMAT ISLAM SULU


Tolong baca dan sebarkan poster ini ke masjid dan surau-surau di sekitar anda. Masa semakin suntuk untuk kita berpeluang membantu mereka. Semoga bantuan ikhlas kita akan mendapat balasan yang lebih baik di sisi Allah swt, dan rakyat Sulu akan bergembira serta berterima kasih dengan bantuan saudara-saudara seagama di Malaysia.

Rabu, 28 Januari 2009

Sertai Gerakan KEMERDEKAAN SULU Sekarang!


Untuk mendapatkan gambaran sebenar "Tunjuk Perasaan Rakyat Sulu" sila klik: http://united-tausug-citizens-sulu-sultanate.webs.com/

Foto: Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan, Pemimpin utama "Tunjuk Perasaan Rakyat Sulu" untuk kembali memerintah, dengan mengembalikan "Kesultanan Sulu" di tempat asalnya.



Berikut adalah perbualan saya dengan Datu Ladjamura bin Datu Wasik malam tadi (28 Januari 2009, Rabu) berkenaan perkembangan semasa di Jolo, Sulu. (Melalui telefon). 

Asree:
Assalamualaikum Datu, telah sampai ke telinga kami bahawa pertabalan yang berbahagia Datu sebagai Sultan Sulu pada 17hb Mac 2009, persiapannya berjalan lancar?

Datu:
Wa alaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh, alhamdulillah berjalan lancar, perlu diperjelaskan di sini, bukannya semata-mata hal ini (perlantikan Sultan) adalah kemahuan saya secara peribadi, ini ialah kemahuan rakyat yang selama ini telah kehilangan "ayah" sebagai pemimpin mereka. Gerakan ini saya dan para "kekasih" saya (para sahabat seperjuangan yang komited) telah mulakan semenjak tahun 2003-2004 di Jolo, Sulu, semata-mata memberi kesedaran kepada mereka bahawasanya negara mereka Sulu masih merdeka, Filipina tiada hak, yang berhak ialah "rakyat" Sulu sendiri yang dipimpin Sultan mereka sendiri. 

Asree:
Filipina tiada hak ke atas Sulu sememang telah saya maklumi, itulah juga yang saya nyatakan dalam buku yang saya tulis itu (Tausug & Kesultanan Sulu) dengan pelbagai bukti dan rujukan. Apakah reaksi kerajaan Filipina terhadap gerakan Datu di Jolo, Sulu sekarang?

Datu:
Filipina tiada masalah, kerana sememangnya mereka tahu mereka tiada hak. Mereka hanya berhak terhadap rakyat mereka sahaja (Tausug yang mengaku Filipino), kami menjalankan tunjuk perasaan setiap bulan, bulan ini (Januari) adalah tunjuk perasaan yang ke-11 secara aman. Memberi kesedaran terhadap Tausug bahawa "Mereka bukan rakyat Filipina", "Mereka adalah rakyat Sultan Sulu", persoalannya dimana sultan Sulu dan rakyatnya? Inilah yang kita usahakan sekarang ini. Filipina hanya setakat Administrator & Proctorate kepada wilayah Sulu selagi Sulu masih ingin mahu dibawah pentadbiran mereka. Kini (hari ini) kita tertipu, dan mula menyedarinya, Saya secara peribadi mengucakpan terima kasih atas usaha kamu menulis buku tentang Sulu dan kesultanannya, Syabas!! Alhamdulillah.

Asree:
Bagaimana reaksi sultan-sultan Sulu yang sebelum ini telah diangkat menjadi sultan?

Datu:
Mereka hanya membisu sekali pun sahabat-sahabat kita pergi menemui mereka untuk diajak bersatu. Kita membuka tangan seluas-luasnya mengajak mereka bersatu, malangnya mereka masih bertahan dengan keegoan mereka sekali pun tiada rakyat yang mahu di "payungi". Walaubagaimana pun dengan rendah dirinya, saya mengajak mereka atas dasar persaudaraan seagama untuk bersatu, saya sebagai mewakili keluarga Aranan, mengingatkan mereka akan protokol Sulu, bahawa Aranan berhak memperbetulkan kembali perjalanan kesultanan Sulu dan "rumah bicara"nya. 

Mereka telah lupa protokol yang telah menjadi simbol dalam bendera Sulu. Kami sebagai mewakili lambang bujak (tombak) telah diamanahkan sebagai penyelamat kesultanan ini sekiranya terancam. Ini tugas Aranan, dan lihat, hari ini kami telah lakukannya, dalam senarai daftar surat beranak kami, sudah mencecah lebih 40,000 orang (hari ini). Tahun 2007 lepas kita hanya dapat daftarkan tak lebih dari 500 orang sahaja, lihat perbezaannya. Kita anggarkan sehingga bulan Mac depan kita dah mencecah 50,000 keahlian, insyaAllah!

Asree:
InsyaAllah Datu, tahniah saya ucapakan kepada Datu atas usaha berterusan ini. Adakah gerakan ini akan diperluaskan ke Basilan dan Tawi-Tawi?

Datu:
Ya, dalam daftar surat beranak kita, pendaftar yang paling ramai ialah di Jolo, Sulu, diikuti oleh Tawi-Tawi, North Borneo (Sabah, yang bukan warganegara Malaysia), Basilan termasuk Sambuangan (Zamboanga) dan yang terbaru sekali datang dari Palawan. Di setiap pulau dan daerah kita telah lantik Panglima dan Paduka sebagai pemimpin kaum di sana. (Panglima dan Paduka menjadi wakil dalam RUMAH BICARA). Selepas ini, tunjuk perasaan akan menyusul di sana, insyaAllah dalam masa terdekat ini.

Asree:
Apa pandangan Datu tentang Isu Sabah serta taburan harta-harta "karun" Kesultanan Sulu yang bertaburan di seluruh dunia?

Datu: 
Tentang Sabah, perbincangan tentang hal ini (tuntutan Sabah) adalah tidak relevan dalam masa kita perlu mengumpul tenaga mengembalikan kedaulatan Sultan dan Rakyatnya di Sulu. Saya kira buku kamu telah menjelaskan segala-galanya bukan? Apa yang penting sekarang perpaduan ummat Islam dengan menyokong kami di Sulu sehingga berjaya mentadbir sendiri, inilah yang lebih utama. 

Berkenaan harta Sulu, saya nasihatkan kepada "pencari dan pemanipulasi harta Sulu" kembalilah kepada jalan Allah swt, harta itu milik Allah swt yang diamanahkan kepada Sulu sebagai pemegang amanah, kalian sibuk "mencari dan mengaut harta Sulu di merata dunia" tapi membiarkan Sulu kelaparan dan terhina, kalian mendapat dua keburukan, Dosa pada Allah dan Dosa pada rakyat Sulu. Kami berserah kepada Allah, kerana DIA Maha Kaya! Hal ini (tentang harta Sulu dimerata dunia) saya telah ingatkan kepada kekasih kami (para sahabat seperjuangan), matlamat kita kena betul, keluarkan Sulu jadi satu negara bukan kerana mahukan harta kekayaan yang telah "dimanipulasi" oleh manusia yang telah menjadi "hamba dunia" itu, tetapi mahukan kembali Tausug dan Islam kembali menjadi tunggak Nusantara sebagaimana kegemilangannya yang telah lalu. Allahu akbar!

Asree:
Allahu Akbar! Kata Datu memang benar, apakah kata-kata nasihat Datu kepada saudara-saudara Muslimin kita di Nusantara khususnya dan serata dunia amnya?

Datu:
Kepada saudara kami seagama, Allah swt Maha Kuasa, kuasa yang ada ditangan kita sementara, maka tolonglah diri anda sendiri dengan menolong saudara anda yang memerlukan bantuan disini. Tiada lagi yang lebih diredhai selain dari ummat Muhammad saw bersatu padu bertolong bantu dalam kebaikan. 

Kepada saudara dari satu keturunan (Dari Nabi Adam a.s.), tidak kira anda kristian atau apa pun, kami ummat Sulu tidak pernah "menyerang dan memanipulasi" anda, bantulah diri anda dengan membantu Sulu. Kerana akhirnya kalian akan dapati suatu masa nanti, Tausug bukannya pengkhianat kepada segala janji, tetapi adalah yang sanggup mati kerana janji.

Asree:
Terima kasih Datu, semoga Allah swt memberi kejayaan kepada gerakan keamanan yang Datu lagang di Sulu skarang InsyaAllah!

Datu:
Sama-sama, saya harap, Asree sebagai wakil tidak rasmi kami di Semenanjung Malaysia akan berterusan memberi dan mendapatkan sokongan dari saudara-saudara kita di sana. Kami sangat mengharap bantuan dari kalian sekalipun setakat do'a. Wassalam.

Asree:
Waalaikum salam Datu......

--------------------
BIOGRAFI: Sejarah Perjuangan Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan
Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan, adalah seorang pemimpin yang petah dan berkeyakinan tinggi. Beliau adalah anak yatim dan hanya bersekolah dalam darjah 2 di Pulau Siasi, Sulu ketika masih kecil. Kehidupan yang serba dhaif menyebabkan beliau berhenti sekolah kerana membantu ibunya di kebun. Ketika usia mudanya, beliau bertugas sebagai penjaga makam Sultan Aranan Puyo di Siasi. Tidak lama kemudian, ketika perang MNLF vs Marcos meletus beliau dan keluarganya berhijrah ke Sabah pula. Kebetulan memang ramai keluarga Aranan yang menetap di Sabah sejak dahulu kala.

Mereka menetap lama di Sabah dengan menyembunyikan identiti mereka. Sehinggalah pada tahun 1979, bapa saudara Datu Ladjamura bernama Datu Aliuddin Haddis Pabila-Aranan telah menyerahkan "Pulau Janggi" (kelapa laut Afrika) kepada kerajaan Brunei sebagai tanda "Keluarga Sultan Sulu" yang dicari selama ini. Prof Dr Pehin Jamil As-Sufri yang menjadi Pengarah Pusat Sejarah Kerajaan Brunei telah mengakui keluarga Aranan adalah satu-satunya penyelamat kepada Kesultanan Sulu.

Pada tahun 2000, Datu Ladjamura dengan rombongan bersama Datu Ali Aman bin Datu Aliuddin Haddis Pabila berkunjung ke Brunei Darussalam sekali lagi bertemu Prof Dr Pehin Jamil As-Sufri untuk melihat semula "Pulau Janggi" serta sessi suai kenal, dalam masa yang sama meminta nasihat perundangan daripada Pehin. Pertemuan ini telah menjadi "turning point" kepada jiwa Datu Ladjamura. Dengan bantuan Datu Ali Aman (sepupunya) beliau mula memahami makna "keluarga Aranan" dalam sistem Kesultanan Sulu, itu pun setelah diperjelaskan oleh Pehin. 

Setelah itu Datu Ladjamura telah nekad kembali ke Sulu menjelajah dari pulau ke pulau bertemu para Datu dan para Syarif (beliau meninggalkan anak isterinya di Lahad Datu, Sabah) atas keyakinan, Sulu masih Merdeka dan tidak terjajah, dan ada cara mengeluarkannya dari pentadbiran Filipina. Beliau sangat benci kepada peperangan, baginya peperangan adalah punca kemusnahan ummat Islam Sulu dan perang saudara semakin berleluasa kerananya. Ini kerana ayahanda Datu Ladjamura, telah dibunuh oleh orang Islam sendiri tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Beliau kembali ke Lahad Datu untuk menjenguk anak isterinya setelah setahun berkelana. Malangnya setelah beliau kembali didapati anaknya telah meninggal dunia ketika pemergiannya ke Sulu dahulu. Kesedihan tidak mematahkan semangatnya sehinggalah pada tahun 2005 saya (Asree) bertemu dengan beliau di Kota Kinabalu dalam satu pertemuan para Datu-Datu Aranan yang turut dihadiri beberapa Syarif. Beliau telah melancarkan program Dakwah kepada kaum-kaum dari Sulu dengan bantuan Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Abbas Kedah dengan ditemani sahabat-sahabat dari kaum Dusun muallaf yang tidak putus-putus membantu kaum Sulu dari belakang (Aldusuni: http://nazri-suaramualaf.blogspot.com/). 

Yang peliknya program ini lebih kearah mengembalikan kaum Sulu (yang tiada pass perjalanan sah atau yang bukan PELARIAN) untuk kembali ke Sulu agar sama-sama menjalankan gerakan mengembalikan Kesultanan Sulu ke asalnya (dengan ini tidak lagi menjadi masalah kepada kerajaan Malaysia). Datu ladjamura sendiri mengapalai gerakan ini yang bermula di Sabah ketika itu. Pihak keselamatan Malaysia menasihatkan beliau menghentikan gerakan di Sabah kerana ia menyalahi undang-undang negara Malaysia. Beberapa ketika beliau berulang alik ke Balai Polis Lahad Datu untuk memberi keterangan yang akhirnya menyebabkan beliau keluar dari Sabah dengan membawa ahli keluarganya menuju ke Jolo, Sulu.

Pada tahun 2006, gerakan beliau bermula dengan beberapa puluh orang sahaja masuk kampung keluar kampung di Jolo berceramah tentang Tausug dan Kesultanan Sulu. Oleh kerana beliau seorang yang petah bercakap sekali pun buta huruf, serta mempunya sifat jujur dalam masa yang singkat beliau meraih sokongan beratus-ratus orang. Pada tahun 2007, saya (Asree) menelefon beliau untuk meminta izin menulis buku tentang Tausug dan Kesultanan Sulu. Beliau sangat berbesar hati dan meminta saya merujuk kepada Datu Ali Aman bin Datu Aliuddin Haddis Pabila-Aranan yang berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan fakta yang benar.

Pada pertengahan tahun 2007, buku "Tausug & Kesultanan Sulu" telah berjaya diterbitkan di Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Datuk Taufiq Titingan di Tawau (mendapat liputan RTM dan akhbar tempatan di Sabah). Pada penghujung tahun 2007, Datu ladjamura telah melancarkan tunjuk perasaan yang pertama di Jolo, Sulu, dengan sokongan 3,000 orang termasuk para Datu dan para Syarif pada ketika itu.

Sepanjang tahun 2008, Datu Ladjamura berjaya mengadakan 10 kali tunjuk perasaan dengan mengangkat bendera Kesultanan Sulu (berwarna merah dan biru, 5 bintang serta berlambangkan keris dan tombak). Tunjuk perasaan yang terakhir ialah pada penghujung tahun 2008 baru-baru ini, beliau telah diangkat sebagai "Nakura" (Nakhoda), dan telah ditetapkan pada 17hb Mac 2009 ini pula sebagai hari pertabalan Sultan Sulu yang bakal dihadiri 40,000 penyokong (senarai bilangan daftar surat beranak). Pertabalan ini telah disepakati oleh ahli "Rumah Bicara" dari seluruh wakil kepulauan atau daerah takluk kesultanan Sulu seperti 5 bintang dalam bendera Sulu (5 bintang ialah, 1-Jolo, 2-Tawi-Tawi, 3-Basilan dan Zamboanga, 4-Palawan, 5-North Borneo atau Sabba). Kecuali Sabba (Sabah) adalah berstatus "Pajak" yang telah diperakui sebagai dibawah Administrator & Proctorate Malaysia yang diiktiraf PBB, yang masih tertakluk dalam perjanjian Pajakan Sulu-Kompani British 1878. (dalam hal ini tidak timbul hal tuntutan terhadap Sabah kerana istilah "Pajak" itu sendiri mengesahkan ketuanan Sultan Sulu, tidak menimbulkan tuntutan adalah disebabkan menghormati Malaysia sebagai negara ummat Islam).

--------------------------------

Untuk mengikuti perbahasan dalam bahasa Tausug sila klik ke: http://taymanghud.blogspot.com


Selasa, 27 Januari 2009

Kos Ambil Amah Dari Mindanao Lebih Murah

Berita Harian

Rabu, 28 Jan 2009

KUALA LUMPUR: Berikutan kos pengurusan dan gaji pembantu rumah dari Indonesia yang makin meningkat, agensi pembekalan pembantu rumah kini beralih kepada pembantu rumah beragama Islam dari kepulauan Mindanao, selatan Filipina. Selain bagi mengurangkan kos, ia untuk memenuhi permintaan majikan beragama Islam kerana ramai daripada mereka hanya mampu menawarkan gaji antara RM500 hingga RM600 yang dianggap murah oleh pembantu rumah dari Indonesia. 

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata pengambilan pembantu rumah dari Indonesia berkurangan kerana ejen di negara itu mengenakan yuran pengurusan RM2,000 hingga RM3,000 seorang, di samping alasan gaji ditawarkan majikan di Malaysia amat rendah.Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan awal dengan pihak berkuasa tenaga kerja Kedutaan Filipina di sini minggu lalu dan menerima reaksi positif mereka. 


Beliau berkata, pada dasarnya kerajaan Filipina bersedia menyalurkan tenaga kerja beragama Islam untuk memenuhi permintaan majikan Islam negara ini. 

“Papa berharap dapat membuat tinjauan awal di kepulauan Mindanao dalam masa terdekat sebelum membawa masuk pembantu rumah dari sana.

“Kita percaya ramai umat Islam di sana mahu bekerja sebagai pembantu rumah dengan majikan beragama Islam di sini,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Filipina antara beberapa negara pembekal tenaga kerja pembantu rumah asing ke Malaysia sejak enam tahun lalu, tetapi agensi pembantu rumah asing di Malaysia termasuk ahli Papa lebih banyak membawa pembantu rumah bukan beragama Islam. 

Namun, Raja Zulkepley berkata, kini Papa mahu meluaskan bekalan pembantu rumah Islam dari negara itu supaya tidak hanya terhad kepada pembantu rumah bukan beragama Islam saja. 

Beliau berkata, dengan memberi peluang kepada penduduk di Mindanao bekerja di sektor itu, ia secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi mereka.

“Ketika ini jumlah pembantu rumah asing bukan Islam dari Filipina di negara ini dianggarkan 10,000. Kita percaya majikan beragama Islam juga akan berasa selesa menggunakan khidmat pembantu rumah beragama Islam dari Filipina seperti pembantu dari Indonesia,” katanya.


Ulasan:

Alhamdulillah, harap kerajaan mempercepatkan urusan pengambilan rakyat Muslim Mindanao untuk pembantu rumah di Malaysia sebagai alternatif membantu ekonomi ummat Islam dari Selatan Filipina. Persoalannya, mengapa baru sekarang Malaysia terfikir? Sejak sekian lama umat Islam Mindanao termasuk Sulu teraniaya dan kurang pembelaan dari segi bantuan ekonomi dan pendidikan, baru hari ini "kita perlu mengambil amah dari Mindanao?"

Kita alu-alukan kerajaan kita membantu umat Islam selatan Filipina dengan memberikan mereka peluang pekerjaan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja Indonesia. Walau bagaimanapun kerajaan diharap bertindak lebih adil dengan tidak membuang semua pekerja Indonesia hanya semata-mata mengambil pekerja Muslim dari Selatan Filipina. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini perpaduan ummat Islam dengan saling tolong menolong sesama mereka sangat perlu. Dibimbangi dengan membuang pekerja Indonesia dan mengambil pekerja Selatan Filipina boleh mencetuskan perasaan kurang senang dan permusuhan rakyat Indonesia kepada muslimin Selatan Filipina pula.

Diulang sekali lagi persoalan, mengapa hari ini barulah kita terfikir perlunya Malaysia membantu Muslim Mindanao untuk bekerja di Semenanjung Malaysia? Untuk "membantu" atau ada sesuatu yang telah berlaku di sana yang boleh menggugat "keselamatan" negara kita Malaysia? 

Bukankah selama ini Malaysia telah banyak membantu menjadi orang tengah kepada perdamaian antara MILF dan Filipina? Atau telah banyak membantu pelarian Tausug dari Sulu bekerja di Sabah dengan memberikan mereka Pass Pelarian (IMM13) agar dapat bekerja menyara hidup? Alhamdulillah ini memang benar! Kerajaan kita telah lakukannya demi membantu sesama umat Islam. 

Tetapi saya melihat "kemungkinan" tindakan kita mengambil pekerja muslim Mindanao menggantikan pekerja (amah) Indonesia di Semenanjung Malaysia adalah satu langkah "drastik" untuk menyelamatkan Negara Malaysia yang kita cintai ini. Mengapa dikatakan begitu? Kerana Wilayah Sulu (yang tidak termasuk dalam Wilayah Mindanao) telah membuat satu gerakan sekarang untuk keluarkan Sulu dari pentadbiran Filipina secara "Aman".

Mengapa pula gerakan di Sulu boleh ancam "Keselamatan Negara?". Mengikut satu andaian bodoh seorang sahabat "Sekiranya Sulu keluar jadi satu Negara Berdaulat, habislah Malaysia, sudah tentu Sulu akan tuntut Sabah (Sabba) atau North Borneo. Sekiranya ini berlaku (Sabah berjaya dituntut oleh Sulu), Sarawak secara otomatik akan keluar dari Malaysia (kerana menyertai Persekutuan Malaysia serentak dengan Sabah), Semenanjung Malaysia juga akan pecah, kerana P. Pinang tidak akan berdiam diri, negeri kaya seperti Selangor dan Johor juga tentu tidak mahu membela negeri-negeri miskin lain (Perlis, Kedah, Melaka, dll)". Bagi sahabat saya yang lain mengatakan bahawa ini adalah satu andaian diluar logik akal yang tidak perlu dihiraukan, saya turut bersetuju. Saya mengandaikan, sekiranya berlaku demikian (bukan setakat Malaysia yang hancur, malah Brunei, Indonesia dan Negara Filipina akan turut hancur lebur berkubur tanpa batu nesan? 

Menurut salah seorang pengunjung dari blog taymanghud.blogspot.com, andaian yang saya anggap "bodoh" itu ada kebenarannya sekiranya kita meneliti fakta sejarah, menurutnya:

-Negara Brunei: Akan diambil pemerintahannya oleh Sulu adalah disebabkan kononnya Kesultanan Brunei sekarang susur galurnya adalah dari "Wanita" (menurutnya sultan Brunei yang ada hari ini  tidak mempunyai Pulau Janggi mereka sendiri sebagai tanda susur galur Kesultanan Brunei yang sah). Mengikut protokol Sulu, kerabat dari sebelah perempuan tidak layak jadi Sultan. Kesultanan Sulu perlu melantik Sultan Brunei yang benar memerintah Brunei. Ini kerana Kesultanan Sulu adalah datang dari Kesultanan Brunei sendiri (anak Sultan Muhammad Hassan dari Brunei menghantar anak boungsunya ke Sulu untuk diangkat menjadi Sultan setelah sultan Sulu yang asal telah mangkat tanpa zuriat sebagai penyambung, tahun 1610 M). Dalam hal ini, sekiranya Sultan Sulu tidak menemui kerabat Kesultanan Brunei yang layak dilantik menjadi Sultan Brunei, Sultan Sulu sendiri boleh mengambil alih kuasa pemerintahan Brunei. Masalah yang melanda Brunei ialah tanggapan dari kaum Sulu sendiri, "Sultan Brunei adalah kaya malangnya kami (Sulug) tidak dibantu, malah dibiar dianiaya seteru, Allah swt maha kaya".

-Negara Indonesia: Kalimantan akan diambil oleh Sulu disebabkan bermula dari Sambas (Kesultanan Sambas adalah kerabat Sultan Brunei dan Sultan Sulu melalui Sultan Muhammad Hassan, 1600 M) hingga ke Tarakan (bekas kerajaan Tidung, kemudian Bolongan) adalah dibawah naungan Kesultanan Sulu (dibawah kekuasaan maritim Sulu, Iranun, Tidung dan Balangingi). 

-Negara Filipina: Akan menjadi sebahagian dari kerajaan Kesultanan Sulu adalah kerana "hutang mereka yang tak mungkin dapat dibayar sekalipun 1000 tahun membayar secara ansuran kepada Sulu". Mengapa demikian? Kerajaan Filipina meminjam  400,000 tan metrik jongkong emas dari Kesultanan Sulu untuk mendirikan bank negaranya yang dikenali "Bangko ang Filipinas" pada tahun 1949. Setelah itu mereka perangi dan menganiaya pula Tausug pada tahun 1972 (dengan mewujudkan perang olok-olok) membunuh ribuan muslimin dari Sulu dan Mindanao sehingga jadi pelarian yang melarat di Sabah yang hingga hari ini "Sabahan" menggelar mereka bangsa "jahat dan busuk" hanya kerana duduk dirumah setinggan buruk serta perlakuan jenayah mereka (disebabkan desakan hidup miskin dan melarat). Kini, disebabkan "peperangan" yang dicetuskan oleh Filipina, kaum Tausug yang lari ke Sabah dari Sulu saban hari menjadi PTI ekonomi, dikejar kesana-kemari diberkas Polis untuk disumbat dalam "rumah merah" setelah "disebat dengan rotan" dihantar semula ke Sulu (zamboanga) kepada kerajaan Filipina (kerana dianggap orang Filipina, walaupun kaum Sulu tidak mengakuinya). Malaysia (sebagai saudara seagama) tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan "perjanjian ASEAN"?.


Saya berpandangan, perkara diatas tidak akan berlaku kerana mustahil ia berlaku. Sahabat saya seorang ustaz berkata pada saya demi menenangkan keadaan katanya, "Sekiranya ia berlaku (seperti yang dikatakan di atas) ketika itu bukan perpecahan tetapi "perpaduan Ummah" Nusantara dibawah satu Sultan yakni Khilafah. Ketika ini tiada lagi sempadan, umat Islam disatukan kekuatan untuk menghadapi kufar, ini kerana ada satu athar dari sahabat Rasulullah saw yang lebih kurang mengatakan, di akhir zaman nanti akan muncul satu kumpulan dari sebelah timur, membawa panji (putih dan kuning?), mereka adalah pembela agama Allah yang membantu tentera Imam Al-Mahdi memerangi Yahudi Dajjal di Palestin.

Allahu Akbar!!! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!! 

Ahad, 18 Januari 2009

Kaum Suluk Sabah BUKAN Tausug!


Pada tahun 2004 yang lalu saya terbaca satu forum yang memperdebatkan bahawa kaum SULUK di Sabah bukan kaum Tausug. Alasannya ialah Tausug adalah kaum yang tinggal di SUG (Jolo) Sulu sedangkan Suluk pula adalah kaum yang tinggal di Borneo Utara atau Sabah. Hal perdebatan berkenaan saya tidak ambil pusing kerana menganggap ia hanya isu remeh kesalahfahaman semata atau kejahilan yang sementara. Malangnya sejak kebelakangan ini, isu Suluk bukan Tausug semakin kedengaran terutama kepada kaum Suluk Sabahan. Nampaknya, tanpa apa-apa sandaran yang kukuh mereka dengan sesuka hati memberi definisi secara bersendirian yang sudah tentu menampakkan kejahilan mereka sendiri.Berikut saya persembahkan jawapan kepada persoalan ini dalam bentuk soal-jawap secara mudah agar senang difahami:

Kaum Suluk di Sabah tidak sama dengan kaum Tausug di Sulu. Keduanya berbeza dari segi lokasi itu sendiri, Tausug di Filipina dan Suluk di Malaysia. Siapa yang dapat menafikan perkara ini?


Saya setuju, Tausug dan Suluk adalah berbeza sekiranya dirujuk kepada lokasi. Bermakna perbezaannya hanya dirujuk pada perbezaan tempat tinggal antara dua nama kaum itu. Tetapi saya nyatakan mereka tetap satu bangsa kerana menutur bahasa dan budaya yang sama.

Ia tetap tidak sama, kaum Suluk di Sabah tidak boleh mengatakan mereka Tausug kerana TAUSUG itu sendiri bermaksud "Orang di Sug" atau "Orang di SUlu", mana mungkin kaum Suluk di Sabah mengatakan mereka "Orang Sulu" sedangkan kaum Suluk di Sabah adalah warga Sabah di bawah Persekutuan Malaysia?

Sekarang saya tanya anda pula, nenek moyang anda berasal dari mana?


Memanglah asal nenek moyang kami dari Sug (Sulu) dan kami telah berada di sini dan menjadi warga Malaysia semenjak zaman Mat Salleh, sebab itu kami bukan orang Sug (Sulu) lagi. Di Malaysia kami dipanggil Suluk bukan Tausug. Apakah anda mengaku Tausug?


Ya, saya Tausug, dan saya memahami bahawa Tausug dan Suluk mempunyai pengertian yang sama dari segi makna, hanya sebutannya berbeza.

Maka jelaslah anda bukan orang Malaysia kerana anda adalah Tausug bukannya Suluk. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf nama Tausug di sini kerana Tausug asalnya di Sug (Sulu) yang ditadbir Filipina.

(Dalam keadaan berhadapan dengan debat bodoh seperti ini, adalah lebih baik angkat kaki atau mengiyakan sahaja perkataannya untuk mengelak pergaduhan)

Sekiranya para pembaca meneliti, punca segala isu Suluk bukan Tausug ini di Sabah adalah berpunca dari sifat rendah diri kaum Suluk di Sabah sendiri yang malu mengaku Tausug. Kerana satu bangsa yang kononnya berani berperang tidak terkalah, tetapi berbondong lari ke Sabah menyelamatkan diri menjadi pelarian hingga Sulu terbiar ditadbir oleh Filipina hingga hari ini. Yang menambahmalukan lagi kaum Suluk di Sabah ialah orang-orang Tausug yang menjadi anggota Abu Sayyaf datang ke Pulau sipadan menangkap warga Malaysia dijadikan tebusan.

Maka tidak hairan mereka tidak mahu mengaku Tausug lagi. Jelasnya, mereka bukannya tidak mahu mengaku sebagai Tausug, tetapi malu mengakuinya atas dasar perkara yang kita sebutkan tadi. Tetapi sekiranya Sulu itu dapat semula kedaulatannya suatu hari nanti (InsyaAllah tidak lama lagi), kita jangan hairan, orang yang mengaku Suluk Sabah bukan Tausug sebelum ini, itulah yang melompat dahulu mengangkat parang ditangannya sambil menjerit "Siapa yang tidak mengaku Tausug aku akan potong lehernya!". Ternyata sebenarnya dia bukannya "Tausug" dari Sulu.

Memperjelaskan Kebenaran Istilah
Darimanakah asal-usul istilah atau penggelaran SULUK kepada kaum Tausug di Sabah? Atau sememangnya kaum Tausug dahulu adalah ahli tariqat yang selalu berSULUK sebelum keluar berjihad fisabilillah menentang kufar? Ya yang ini ada kebenarannya, tapi Kita mahu jawapan yang lebih tepat lagi berdasarkan kenyataan sejarah. Sebenarnya, saya telah merata bertanya kepada golongan tua Tausug bertanyakan darimanakah asal panggilan Suluk kepada kaum Tausug di Sabah, tetapi tiada jawapan yang memuaskan hati hinggalah saya mengambil keputusan mencari jawapan melalui tulisan para sarjana timur dan barat sendiri.

Akhirnya didapati, satu-satunya di dalam dunia ini yang memanggil kaum Tausug dengan panggilan Suluk ialah orang-orang Brunei, sebab itu Dylrample menulis dalam catatannya, Soolook adalah merujuk kepada kaum Suluk kerana terikut-ikut atau terpengaruh sebutannya dari lidah kaum Melayu Brunei sendiri. Apa buktinya? Pengarah Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam, Pehin Prof. Jamil Al-Sufri telah menulis dua buku yang sangat penting bertajuk Tarsila Brunei I dan Tarsila Brunei II menyebut "Suluk" atau "Sultan Suluk" atau "Sultan dari Negara Suluk" atau "Orang Suluk" adalah merujuk kepada kaum Tausug di Sulu. Sejak dahulu kala orang-orang Brunei memanggil orang-orang dari Sulu (Tausug, Balangingi/sama Bajau, Yakan) sebagai Orang Suluk. Siapakah yang membawa istilah "SULUK" ini kepada orang-orang Brunei? Punca Panggilan Suluk Menurut dalam catatan Negarakrtegama Majapahit, kepulauan Sulu dipanggil SOLOT, begitu juga ketika zaman Srivijaya kepulauan Sulu di panggil SOLOT. Satu wilayah kepulauan yang tidak tertakluk oleh kedua kerajaan Hindu Buddha itu walaupun mereka katakan Solot sebagai wilayah naungannya. Persoalannya dari mana Srivijaya dan Majapahit mendapat gelaran Solot kepada wilayah Sulu?


Puncanya ialah semata-mata "pelat" atau lidah yang sukar menyebut sesuatu perkataan disebabkan tidak biasa menyebutnya. Bagi kaum Maranao, Maguindanao dan Iranun di Mindanao mereka memanggil kaum Tausug dengan panggilan "SULUG". Sekiranya kita teliti, "Sulug" adalah gabungan Sulu dan Sug menjadi Sulug (Sulu + Sug = Sulug). Bagi kaum Tausug sendiri, Sulu adalah satu wilayah atau ruang lingkup empayar pemerintahan raja-raja atau Sultan-Sultan Tausug. Sedangkan Tausug itu adalah orang-orang yang menghuni Pulau Sug (Jolo) yang menutur satu bahasa yang dinamakan Bahasa Sug. Lingua-franca di kepulauan Sulu adalah Bahasa Sug hingga hari ini. Sug bermaksud "Arus" air laut, maka "Tausug" bermaksud "Orang Arus". Mereka digelar Tausug atau Orang Arus adalah kerana mereka adalah kaum pedagang yang berlayar ke pelusuk Nusantara untuk berdagang mengikut arus lautan, sebab itu Tausug duduk di Pulau Jolo ditengah-tengah lautan yang deras arus air lautnya.


SULUG bermaksud "Sulu tempat asal orang Sug" atau "Orang Sug Sulu". Maka, sekiranya orang-orang Brunei menyebut SULUK kepada SULUG maka ia hanya semata-mata "pelat" lidah mereka. Sebenarnya yang tepat ialah "SULUG" bukannya SULUK. Sementelahan Srivijaya dan Majapahit pula menyebut SOLOT, atau SULUT yang lebih hampir kepada SULUK, sedangkan SULUK kata asalnya ialah SULUG.

Hubungan Brunei Dengan Kaum Di Mindanao

Menurut Majul dalam bukunya Muslims In The Philipines para pendakwah Islam dari Brunei sangat rapat hubungannya dengan Kesultanan Maguindanao pada awal-awal kedatangan Islam. Sudah tentu para da'i Brunei telah mengetahui gelaran Sulug itu kepada kaum Tausug Sulu itu dari orang-orang Maguindanao. Tapi lidah Melayu dari Brunei pastinya gagal menyebut SULUG itu dengan betul malah ia akan menjadi "Suluk" pada lidah mereka. Kita sedia maklum, Maranao, Maguindanao dan Iranun adalah yang terkenal menggelar SULUG kepada orang Tausug hingga hari ini. Menurut sahabat saya (Neldy Jolo) yang pernah mengembara mengelilingi Mindanao hingga perjalanannya ke Manila menyatakan, kaum-kaum Muslim di Mindanao memanggil orang Tausug dari Sulu sebagai SULUG hingga ke hari ini.


Di Sabah tidak jauh dengan Pulau Gaya di Kota Kinabalu, iaitu di Laut China Selatan terdapat satu pulau pelancongan yang cantik dan indah bernama Pulau Sulug. Sila lihat peta Sabah. Siapa yang menggelar pulau itu dengan gelaran Pulau Sulug? Yang mengelar sebenarnya ialah orang-orang Iranun yang menjadi tentera laut Sulu ketika itu. Ketika itu kaum Iranun sangat rapat hubungannya dengan Tausug pada zaman pemerintahan Raja Bongsu Sultan Mawallil Wasit sekitar 1610 M kerana perhubungan kekeluargaannya dengan Sultan Maguindanao, Sultan Qudarat. Hingga hari ini kaum Iranun banyak terdapat di Pantai Barat Sabah, dan sekiranya mereka (Iranun Sabah) tidak lupa, mereka memanggil Sulug kepada Tausug bukannya SULUK.
Ia cuma sebutan berbeza hanya kerana pelat semata, pada makna adalah sama. Kaum Tausug hingga kini, terutama yang duduk di Mindanao, maklum, sekiranya ada orang yang memanggil mereka SULUG, itu pastinya datang dari kaum lain. Dikalangan Tausug tetap memanggil diri mereka sebagao TAUSUG!.

Isnin, 5 Januari 2009

Dayak Borneo: Perkaitannya dengan Tausug


Kaum Dayak Borneo

Berikut saya paparkan beberapa contoh kaum Dayak yang ada di Sabah (Borneo Utara). Kaum di Sabah seperti Murut, Idaan, Tidung dan Sungei adalah satu keluarga yang kita kenali sebagai Melayu-Proto. Mereka juga terbahagi kepada dua, iaitu Dayak Darat dan Dayak Laut. Kalau di Sarawak Dayak Lautnya ialah terdiri dari Kaum Iban, manakala Kaum Dayak Darat adalah seperti Orang Ulu (Penan, Kayan, Punan, Kenyah).

Di Sabah Dayak Lautnya ialah Kaum Tidung, manakala Dayak Daratnya ialah Idaan, Sungei dan Murut. Cara bagaimana mengenali kaum Dayak ialah dengan melihat:

  • Bentuk potongan rambutnya yang dipotong seperti tempurung dengan rambut belakang dibiarkan panjang. 
  • Kemudian mereka menggunakan kain "santut" yang dililit dipinggang sekaligus dapat menutup "alat sulit". 
  • Di bahagian siku dan lutut dililit kain khas atau gelang. 
  • Di bahagian punggung satu alat di letak atau diikat sebagai alas duduk yang dianyam dari mengkuang atau rotan.
  • Mereka menggunakan parang "Kampilan" atau "Pakayun" sebagai senjata dan juga "sumpit" untuk berburu.
  • Mereka mengamalkan pertanian pindah, sebahagiannya setelah berkahwin campur dengan kaum lain, akan menetap di satu tempat secara tetap.
Perkaitan kaum Dayak dengan Tausug
Kaum Tausug yang berpusat di Sulu mempunyai budaya berdagang secara "barter" sejak dahulu kala dengan daerah-daerah atau kepulauan di seluruh Nusantara. Tausug juga mempunyai cara diplomasi yang sangat toleran. Dalam sejarah Sulu Tausug tidak pernah menyerang wilayah lain yang bukan kepunyaannya atau menindas bangsa lain, ini kerana Tausug lebih berminat menjalin hubungan perdagangan yang sudah tentu memerlukan persekitaran yang aman.

Di Borneo Utara atau Sabah, Dayak sangat rapat hubungannya dengan kaum Tausug semenjak sebelum Borneo Utara jatuh ketangan Kesultanan Sulu lagi. Dalam hal hubungan ini, kita akan mendapati sebahagian dari kesenian dan ketenteraan Tausug ada terdapat unsur-unsur Dayak. Contohnya tentera Sulu iaitu Bajau Balangingi menggunakan "sumpit" sebagai sebahagian dari senjata pemusnah mereka. Demikian para Datu Tausug yang tinggal di Borneo Utara hingga ke Sulu memiliki Sumpit sebagai koleksi senjata yang berharga. Ini juga tidaklah menghairankan kerana tentera laut Sulu sebahagiannya adalah dari kaum dayak sendiri seperti Kaum Tidung. Kaum Tidung adalah Dayak laut yang rapat perhubungannya dengan Tausug hinggakan berlaku perkahwinan campur antara kerabat Kesultanan Sulu dengan puteri-puteri Raja Tidung ketika dulu.

Kaum Dampuan adalah Kaum Dayak?
Sebahagian tradisi lisan dari kaum Tausug mengatakan, sejak dahulu kala kaum Dayak laut telah sampai ke kepulauan Sulu yang menetap lebih awal di kepulauan Sulu yang kemudian kaum-kaum lain datang setelah mereka. Sebab itu mengapa kaum Tausug menggunakan "kambut" (kain panjang dililit dipinggang dan hujung kain akan dijuntai di hadapan untuk menutup alat sulit) yang mirip dengan kain "santut" kaum Dayak.  Kalau ini benar maka merekalah yang dikatakan kaum Tausug Dampuan? Kaum Dampuan, sebahagian dari pencatat sejarah mengatakan mereka berasal dari Champa, Vietnam. Tetapi apa yang kita lihat bukanlah demikian, kerana tiada satu pun ciri-ciri Vietnamis yang berbentuk manik-manik yang sepatutnya menjadi hiasan kaum Tausug hari ini.

Walaubagaimana pun kenyataannya, Tausug terhasil dari percampuran beberapa etnik di Nusantara yang tak dapat disangkal lagi. Samada kita katakan segala pakaian dan peralatan kebudayaan yang dipakai Tausug hari ini hanya sekadar "ambilan" dari kaum lain, atau sebenarnya adalah pakaian asal kaum Tausug yang asli, tentu kedua-duanya juga benar.

Tidak berapa lama dulu (tahun 2004 kalau tidak silap), seorang lelaki Tausug yang bekerja di Qatar pernah menceritakan kepada penulis (di internet) berkenaan tradisi lisan yang dia dapat dari keluarganya iaitu kaum Tausug yang asal katanya ialah kaum Sungei itu sendiri. Menurut ceritanya, pada ketika dulu telah berlaku kemarau yang panjang di Borneo menyebabkan kaum Dayak bertebaran mencari kawasan baru untuk memulakan kehidupan. Kaum Sapa' (dalam bahasa Suluk bermaksud sungai) dari Borneo telah bersampan dari pulau ke pulau hingga sampai ke pulau Jolo dan mereka menetap di sana menjadi kaum yang terawal. Satu cerita dari tradisi lisan yang mungkin silap, tetapi kalau melihat atau meneliti segala aspek yang ada pada Tausug seperti ada kebenarannya. kalaupun ia benar, kaum Sapa' yang dimaksudkan berkemungkinan adalah dari Dayak Laut yang lebih awal seawal sebelum kemunculan kerajaan Srivijaya yang muncul sekitar abad ke-5. Atau pun lebih jauh dari itu serentak dengan kedatangan Melayu-Proto. Sekadar satu hepotesis.

Pakaian Tradisi Tausug  Satu Lambang Nusantara
Berkenaan seluar tradisi Tausug yang dikenali sebagai "kuput" atau "Bereno" yang dipakai sendat mengikut bentuk peha dan kaki, ia seolah-olah "diambil" bentuknya dari seluar sendat orang-orang Eropah. Orang Kastilla (Spanyol) di Filipina menggunakan seluar sendat juga sebagai pakaian kebiasaan mereka yang mungkin menjadi inspirasi Tausug untuk mengenakan bentuk seluar yang sama. Tausug memakai seluar sendat "kuput",  setelah itu mereka melilitkan kain panjang di pinggang dengan tiga tujuan, 

  • pertama untuk menghalang seluar terlondeh, 
  • kedua hujung kain tersebut dijuntaikan untuk menutup alat sulit yang berbentuk sekalipun ada seluar. 
  • ketiga, untuk dapat menyelitkan keris atau barung di pinggang. Ia mirip seperti penggunaan "santut" oleh kaum Dayak di Borneo.

Kaum tua Tausug kebiasaannya mengenakan seluar labuh dinamakan "Sawwal" yang bentuknya sama dengan seluar Samurai Jepun. Menurut kaum tua Tausug, yang diistilahkan "Kamaasan" kebiasaannya menggunakan Sawwal untuk pakaian harian dan ketika dalam keadaan tegang (peperangan secara mengejut) Sawwal tersebut ditarik (Laisun) ke atas ke paras pinggang yang hanya menutup bahagian sulit. Keadaan ini dinamakan "mag sullit", sebab itu mengapa Panglima Lapu-Lapu ketika membunuh Magellan di Maktan, Cebu digambarkan hanya mengenakan "Sullit".

Pakaian tradisi Wanita Tausug pula kebiasaannya mengenakan Baju Batawiyang penuh dengan butang emas atau suasa sebagai pakaian kebanggaan. Menurut sejarahnya, pakaian ini bentuknya diambil dari kaum Melayu Betawi dari Pulau Jawa dan senantiasa mengenakan kain "sablai" yang bercorak seperti batik bersulam sebagai tanda kewanitaan. Dalam keadaan tertentu kain sablai boleh diguna sebagai tudung kepala. Dalam hal pemakaian kain Sablai ini, ada persamaan dengan pakaian kaum Bugis di Sulawesi juga. Cara memakai dengan meletakkan sebahagian kain di siku (dikepit) sekali pandang wanita Tausug seperti wanita Bugis.

Begitu juga dengan keris, Tausug menggunakan keris yang ganjil tidak sama dengan keris Melayu di Nusantara yang lain. Keris Melayu kecil dan diguna untuk menusuk atau melibas dengan tujuan menyucuk hujungnya kepada musuh. Tidak bagi Tausug, keris diguna untuk melibas seperti pedang. Sebab itu keris Sulu yang dikenali sebagai "Kalis Sundang" rata-rata mempunyai saiz yang besar, berat dan panjang. Keris yang hampir sama juga dipakai oleh kaum Maguindanao di Mindanao.


Berkenaan imej Abu Bakar Ellah @ Ampal
Pernah seorang sahabat saya mengomel tentang imej rambut Abu Bakar Ellah yang dia anggap sebagai seperti tempurung Sarawak (maksudnya Iban). Setahu saya sahabat saya ni dari suku kaum Sungei dan yang dia kritik (Abu Bakar Ellah) adalah dari kaum Sungei juga. Saya menjelaskan kepadanya berkenaan imej Dayak yang ada di Kalimantan, Sarawak dan Sabah yang berambut seperti tempurung ketika dulu adalah satu rumpun terdekat. Saya menjelaskan kepadanya lagi bahawa kaum Sungei adalah dari kaum Dayak juga. Dia terkejut dan tidak bersetuju. Mana mungkin kaum Sungei Sandakan berasal dari kaum Dayak? Saya terfikir, hina sangatkah menjadi seorang Dayak? Abu Bakar Ellah memotong rambutnya seperti itu menunjukkan kebanggaannya terhadap tradisi kaumnya, memalukan? Saya, tabik pada Abu Bakar Ellah. Dia seorang yang faham sejarah dan berbangga dengan tradisi asal-usulnya.

Maka kita turut bertanya kepada sahabat kita dari suku kaum Idaan, Tidung dan Murut. Hinakah menunjukkan identiti anda sebagai Dayak yang menjadi kebanggaan Nusantara berabad-abad lamanya? Jangan tinggalkan budaya dan tradisi anda dengan menggantikannya dengan tradisi "kontemporari" yang kehilangan identiti itu. Kaji dan selidiki sejarah kaum anda dari mana bermula, agar anda tidak menjadi "fosil" yang kehilangan identiti.