Untuk mendapatkan gambaran sebenar "Tunjuk Perasaan Rakyat Sulu" sila klik: http://united-tausug-citizens-sulu-sultanate.webs.com/
Foto: Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan, Pemimpin utama "Tunjuk Perasaan Rakyat Sulu" untuk kembali memerintah, dengan mengembalikan "Kesultanan Sulu" di tempat asalnya.
Berikut adalah perbualan saya dengan Datu Ladjamura bin Datu Wasik malam tadi (28 Januari 2009, Rabu) berkenaan perkembangan semasa di Jolo, Sulu. (Melalui telefon).
Asree:
Assalamualaikum Datu, telah sampai ke telinga kami bahawa pertabalan yang berbahagia Datu sebagai Sultan Sulu pada 17hb Mac 2009, persiapannya berjalan lancar?
Datu:
Wa alaikumussalam warahmatullahi wabarokatuh, alhamdulillah berjalan lancar, perlu diperjelaskan di sini, bukannya semata-mata hal ini (perlantikan Sultan) adalah kemahuan saya secara peribadi, ini ialah kemahuan rakyat yang selama ini telah kehilangan "ayah" sebagai pemimpin mereka. Gerakan ini saya dan para "kekasih" saya (para sahabat seperjuangan yang komited) telah mulakan semenjak tahun 2003-2004 di Jolo, Sulu, semata-mata memberi kesedaran kepada mereka bahawasanya negara mereka Sulu masih merdeka, Filipina tiada hak, yang berhak ialah "rakyat" Sulu sendiri yang dipimpin Sultan mereka sendiri.
Asree:
Filipina tiada hak ke atas Sulu sememang telah saya maklumi, itulah juga yang saya nyatakan dalam buku yang saya tulis itu (Tausug & Kesultanan Sulu) dengan pelbagai bukti dan rujukan. Apakah reaksi kerajaan Filipina terhadap gerakan Datu di Jolo, Sulu sekarang?
Datu:
Filipina tiada masalah, kerana sememangnya mereka tahu mereka tiada hak. Mereka hanya berhak terhadap rakyat mereka sahaja (Tausug yang mengaku Filipino), kami menjalankan tunjuk perasaan setiap bulan, bulan ini (Januari) adalah tunjuk perasaan yang ke-11 secara aman. Memberi kesedaran terhadap Tausug bahawa "Mereka bukan rakyat Filipina", "Mereka adalah rakyat Sultan Sulu", persoalannya dimana sultan Sulu dan rakyatnya? Inilah yang kita usahakan sekarang ini. Filipina hanya setakat Administrator & Proctorate kepada wilayah Sulu selagi Sulu masih ingin mahu dibawah pentadbiran mereka. Kini (hari ini) kita tertipu, dan mula menyedarinya, Saya secara peribadi mengucakpan terima kasih atas usaha kamu menulis buku tentang Sulu dan kesultanannya, Syabas!! Alhamdulillah.
Asree:
Bagaimana reaksi sultan-sultan Sulu yang sebelum ini telah diangkat menjadi sultan?
Datu:
Mereka hanya membisu sekali pun sahabat-sahabat kita pergi menemui mereka untuk diajak bersatu. Kita membuka tangan seluas-luasnya mengajak mereka bersatu, malangnya mereka masih bertahan dengan keegoan mereka sekali pun tiada rakyat yang mahu di "payungi". Walaubagaimana pun dengan rendah dirinya, saya mengajak mereka atas dasar persaudaraan seagama untuk bersatu, saya sebagai mewakili keluarga Aranan, mengingatkan mereka akan protokol Sulu, bahawa Aranan berhak memperbetulkan kembali perjalanan kesultanan Sulu dan "rumah bicara"nya.
Mereka telah lupa protokol yang telah menjadi simbol dalam bendera Sulu. Kami sebagai mewakili lambang bujak (tombak) telah diamanahkan sebagai penyelamat kesultanan ini sekiranya terancam. Ini tugas Aranan, dan lihat, hari ini kami telah lakukannya, dalam senarai daftar surat beranak kami, sudah mencecah lebih 40,000 orang (hari ini). Tahun 2007 lepas kita hanya dapat daftarkan tak lebih dari 500 orang sahaja, lihat perbezaannya. Kita anggarkan sehingga bulan Mac depan kita dah mencecah 50,000 keahlian, insyaAllah!
Asree:
InsyaAllah Datu, tahniah saya ucapakan kepada Datu atas usaha berterusan ini. Adakah gerakan ini akan diperluaskan ke Basilan dan Tawi-Tawi?
Datu:
Ya, dalam daftar surat beranak kita, pendaftar yang paling ramai ialah di Jolo, Sulu, diikuti oleh Tawi-Tawi, North Borneo (Sabah, yang bukan warganegara Malaysia), Basilan termasuk Sambuangan (Zamboanga) dan yang terbaru sekali datang dari Palawan. Di setiap pulau dan daerah kita telah lantik Panglima dan Paduka sebagai pemimpin kaum di sana. (Panglima dan Paduka menjadi wakil dalam RUMAH BICARA). Selepas ini, tunjuk perasaan akan menyusul di sana, insyaAllah dalam masa terdekat ini.
Asree:
Apa pandangan Datu tentang Isu Sabah serta taburan harta-harta "karun" Kesultanan Sulu yang bertaburan di seluruh dunia?
Datu:
Tentang Sabah, perbincangan tentang hal ini (tuntutan Sabah) adalah tidak relevan dalam masa kita perlu mengumpul tenaga mengembalikan kedaulatan Sultan dan Rakyatnya di Sulu. Saya kira buku kamu telah menjelaskan segala-galanya bukan? Apa yang penting sekarang perpaduan ummat Islam dengan menyokong kami di Sulu sehingga berjaya mentadbir sendiri, inilah yang lebih utama.
Berkenaan harta Sulu, saya nasihatkan kepada "pencari dan pemanipulasi harta Sulu" kembalilah kepada jalan Allah swt, harta itu milik Allah swt yang diamanahkan kepada Sulu sebagai pemegang amanah, kalian sibuk "mencari dan mengaut harta Sulu di merata dunia" tapi membiarkan Sulu kelaparan dan terhina, kalian mendapat dua keburukan, Dosa pada Allah dan Dosa pada rakyat Sulu. Kami berserah kepada Allah, kerana DIA Maha Kaya! Hal ini (tentang harta Sulu dimerata dunia) saya telah ingatkan kepada kekasih kami (para sahabat seperjuangan), matlamat kita kena betul, keluarkan Sulu jadi satu negara bukan kerana mahukan harta kekayaan yang telah "dimanipulasi" oleh manusia yang telah menjadi "hamba dunia" itu, tetapi mahukan kembali Tausug dan Islam kembali menjadi tunggak Nusantara sebagaimana kegemilangannya yang telah lalu. Allahu akbar!
Asree:
Allahu Akbar! Kata Datu memang benar, apakah kata-kata nasihat Datu kepada saudara-saudara Muslimin kita di Nusantara khususnya dan serata dunia amnya?
Datu:
Kepada saudara kami seagama, Allah swt Maha Kuasa, kuasa yang ada ditangan kita sementara, maka tolonglah diri anda sendiri dengan menolong saudara anda yang memerlukan bantuan disini. Tiada lagi yang lebih diredhai selain dari ummat Muhammad saw bersatu padu bertolong bantu dalam kebaikan.
Kepada saudara dari satu keturunan (Dari Nabi Adam a.s.), tidak kira anda kristian atau apa pun, kami ummat Sulu tidak pernah "menyerang dan memanipulasi" anda, bantulah diri anda dengan membantu Sulu. Kerana akhirnya kalian akan dapati suatu masa nanti, Tausug bukannya pengkhianat kepada segala janji, tetapi adalah yang sanggup mati kerana janji.
Asree:
Terima kasih Datu, semoga Allah swt memberi kejayaan kepada gerakan keamanan yang Datu lagang di Sulu skarang InsyaAllah!
Datu:
Sama-sama, saya harap, Asree sebagai wakil tidak rasmi kami di Semenanjung Malaysia akan berterusan memberi dan mendapatkan sokongan dari saudara-saudara kita di sana. Kami sangat mengharap bantuan dari kalian sekalipun setakat do'a. Wassalam.
Asree:
Waalaikum salam Datu......
--------------------
BIOGRAFI: Sejarah Perjuangan Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan
Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan, adalah seorang pemimpin yang petah dan berkeyakinan tinggi. Beliau adalah anak yatim dan hanya bersekolah dalam darjah 2 di Pulau Siasi, Sulu ketika masih kecil. Kehidupan yang serba dhaif menyebabkan beliau berhenti sekolah kerana membantu ibunya di kebun. Ketika usia mudanya, beliau bertugas sebagai penjaga makam Sultan Aranan Puyo di Siasi. Tidak lama kemudian, ketika perang MNLF vs Marcos meletus beliau dan keluarganya berhijrah ke Sabah pula. Kebetulan memang ramai keluarga Aranan yang menetap di Sabah sejak dahulu kala.
Mereka menetap lama di Sabah dengan menyembunyikan identiti mereka. Sehinggalah pada tahun 1979, bapa saudara Datu Ladjamura bernama Datu Aliuddin Haddis Pabila-Aranan telah menyerahkan "Pulau Janggi" (kelapa laut Afrika) kepada kerajaan Brunei sebagai tanda "Keluarga Sultan Sulu" yang dicari selama ini. Prof Dr Pehin Jamil As-Sufri yang menjadi Pengarah Pusat Sejarah Kerajaan Brunei telah mengakui keluarga Aranan adalah satu-satunya penyelamat kepada Kesultanan Sulu.
Pada tahun 2000, Datu Ladjamura dengan rombongan bersama Datu Ali Aman bin Datu Aliuddin Haddis Pabila berkunjung ke Brunei Darussalam sekali lagi bertemu Prof Dr Pehin Jamil As-Sufri untuk melihat semula "Pulau Janggi" serta sessi suai kenal, dalam masa yang sama meminta nasihat perundangan daripada Pehin. Pertemuan ini telah menjadi "turning point" kepada jiwa Datu Ladjamura. Dengan bantuan Datu Ali Aman (sepupunya) beliau mula memahami makna "keluarga Aranan" dalam sistem Kesultanan Sulu, itu pun setelah diperjelaskan oleh Pehin.
Setelah itu Datu Ladjamura telah nekad kembali ke Sulu menjelajah dari pulau ke pulau bertemu para Datu dan para Syarif (beliau meninggalkan anak isterinya di Lahad Datu, Sabah) atas keyakinan, Sulu masih Merdeka dan tidak terjajah, dan ada cara mengeluarkannya dari pentadbiran Filipina. Beliau sangat benci kepada peperangan, baginya peperangan adalah punca kemusnahan ummat Islam Sulu dan perang saudara semakin berleluasa kerananya. Ini kerana ayahanda Datu Ladjamura, telah dibunuh oleh orang Islam sendiri tanpa sebab-sebab yang munasabah.
Beliau kembali ke Lahad Datu untuk menjenguk anak isterinya setelah setahun berkelana. Malangnya setelah beliau kembali didapati anaknya telah meninggal dunia ketika pemergiannya ke Sulu dahulu. Kesedihan tidak mematahkan semangatnya sehinggalah pada tahun 2005 saya (Asree) bertemu dengan beliau di Kota Kinabalu dalam satu pertemuan para Datu-Datu Aranan yang turut dihadiri beberapa Syarif. Beliau telah melancarkan program Dakwah kepada kaum-kaum dari Sulu dengan bantuan Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Abbas Kedah dengan ditemani sahabat-sahabat dari kaum Dusun muallaf yang tidak putus-putus membantu kaum Sulu dari belakang (Aldusuni: http://nazri-suaramualaf.blogspot.com/).
Yang peliknya program ini lebih kearah mengembalikan kaum Sulu (yang tiada pass perjalanan sah atau yang bukan PELARIAN) untuk kembali ke Sulu agar sama-sama menjalankan gerakan mengembalikan Kesultanan Sulu ke asalnya (dengan ini tidak lagi menjadi masalah kepada kerajaan Malaysia). Datu ladjamura sendiri mengapalai gerakan ini yang bermula di Sabah ketika itu. Pihak keselamatan Malaysia menasihatkan beliau menghentikan gerakan di Sabah kerana ia menyalahi undang-undang negara Malaysia. Beberapa ketika beliau berulang alik ke Balai Polis Lahad Datu untuk memberi keterangan yang akhirnya menyebabkan beliau keluar dari Sabah dengan membawa ahli keluarganya menuju ke Jolo, Sulu.
Pada tahun 2006, gerakan beliau bermula dengan beberapa puluh orang sahaja masuk kampung keluar kampung di Jolo berceramah tentang Tausug dan Kesultanan Sulu. Oleh kerana beliau seorang yang petah bercakap sekali pun buta huruf, serta mempunya sifat jujur dalam masa yang singkat beliau meraih sokongan beratus-ratus orang. Pada tahun 2007, saya (Asree) menelefon beliau untuk meminta izin menulis buku tentang Tausug dan Kesultanan Sulu. Beliau sangat berbesar hati dan meminta saya merujuk kepada Datu Ali Aman bin Datu Aliuddin Haddis Pabila-Aranan yang berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan fakta yang benar.
Pada pertengahan tahun 2007, buku "Tausug & Kesultanan Sulu" telah berjaya diterbitkan di Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Datuk Taufiq Titingan di Tawau (mendapat liputan RTM dan akhbar tempatan di Sabah). Pada penghujung tahun 2007, Datu ladjamura telah melancarkan tunjuk perasaan yang pertama di Jolo, Sulu, dengan sokongan 3,000 orang termasuk para Datu dan para Syarif pada ketika itu.
Sepanjang tahun 2008, Datu Ladjamura berjaya mengadakan 10 kali tunjuk perasaan dengan mengangkat bendera Kesultanan Sulu (berwarna merah dan biru, 5 bintang serta berlambangkan keris dan tombak). Tunjuk perasaan yang terakhir ialah pada penghujung tahun 2008 baru-baru ini, beliau telah diangkat sebagai "Nakura" (Nakhoda), dan telah ditetapkan pada 17hb Mac 2009 ini pula sebagai hari pertabalan Sultan Sulu yang bakal dihadiri 40,000 penyokong (senarai bilangan daftar surat beranak). Pertabalan ini telah disepakati oleh ahli "Rumah Bicara" dari seluruh wakil kepulauan atau daerah takluk kesultanan Sulu seperti 5 bintang dalam bendera Sulu (5 bintang ialah, 1-Jolo, 2-Tawi-Tawi, 3-Basilan dan Zamboanga, 4-Palawan, 5-North Borneo atau Sabba). Kecuali Sabba (Sabah) adalah berstatus "Pajak" yang telah diperakui sebagai dibawah Administrator & Proctorate Malaysia yang diiktiraf PBB, yang masih tertakluk dalam perjanjian Pajakan Sulu-Kompani British 1878. (dalam hal ini tidak timbul hal tuntutan terhadap Sabah kerana istilah "Pajak" itu sendiri mengesahkan ketuanan Sultan Sulu, tidak menimbulkan tuntutan adalah disebabkan menghormati Malaysia sebagai negara ummat Islam).
--------------------------------
Untuk mengikuti perbahasan dalam bahasa Tausug sila klik ke: http://taymanghud.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan