Kaum Dayak Borneo
Berikut saya paparkan beberapa contoh kaum Dayak yang ada di Sabah (Borneo Utara). Kaum di Sabah seperti Murut, Idaan, Tidung dan Sungei adalah satu keluarga yang kita kenali sebagai Melayu-Proto. Mereka juga terbahagi kepada dua, iaitu Dayak Darat dan Dayak Laut. Kalau di Sarawak Dayak Lautnya ialah terdiri dari Kaum Iban, manakala Kaum Dayak Darat adalah seperti Orang Ulu (Penan, Kayan, Punan, Kenyah).
Di Sabah Dayak Lautnya ialah Kaum Tidung, manakala Dayak Daratnya ialah Idaan, Sungei dan Murut. Cara bagaimana mengenali kaum Dayak ialah dengan melihat:
- Bentuk potongan rambutnya yang dipotong seperti tempurung dengan rambut belakang dibiarkan panjang.
- Kemudian mereka menggunakan kain "santut" yang dililit dipinggang sekaligus dapat menutup "alat sulit".
- Di bahagian siku dan lutut dililit kain khas atau gelang.
- Di bahagian punggung satu alat di letak atau diikat sebagai alas duduk yang dianyam dari mengkuang atau rotan.
- Mereka menggunakan parang "Kampilan" atau "Pakayun" sebagai senjata dan juga "sumpit" untuk berburu.
- Mereka mengamalkan pertanian pindah, sebahagiannya setelah berkahwin campur dengan kaum lain, akan menetap di satu tempat secara tetap.
Perkaitan kaum Dayak dengan Tausug
Kaum Tausug yang berpusat di Sulu mempunyai budaya berdagang secara "barter" sejak dahulu kala dengan daerah-daerah atau kepulauan di seluruh Nusantara. Tausug juga mempunyai cara diplomasi yang sangat toleran. Dalam sejarah Sulu Tausug tidak pernah menyerang wilayah lain yang bukan kepunyaannya atau menindas bangsa lain, ini kerana Tausug lebih berminat menjalin hubungan perdagangan yang sudah tentu memerlukan persekitaran yang aman.
Di Borneo Utara atau Sabah, Dayak sangat rapat hubungannya dengan kaum Tausug semenjak sebelum Borneo Utara jatuh ketangan Kesultanan Sulu lagi. Dalam hal hubungan ini, kita akan mendapati sebahagian dari kesenian dan ketenteraan Tausug ada terdapat unsur-unsur Dayak. Contohnya tentera Sulu iaitu Bajau Balangingi menggunakan "sumpit" sebagai sebahagian dari senjata pemusnah mereka. Demikian para Datu Tausug yang tinggal di Borneo Utara hingga ke Sulu memiliki Sumpit sebagai koleksi senjata yang berharga. Ini juga tidaklah menghairankan kerana tentera laut Sulu sebahagiannya adalah dari kaum dayak sendiri seperti Kaum Tidung. Kaum Tidung adalah Dayak laut yang rapat perhubungannya dengan Tausug hinggakan berlaku perkahwinan campur antara kerabat Kesultanan Sulu dengan puteri-puteri Raja Tidung ketika dulu.
Kaum Dampuan adalah Kaum Dayak?
Sebahagian tradisi lisan dari kaum Tausug mengatakan, sejak dahulu kala kaum Dayak laut telah sampai ke kepulauan Sulu yang menetap lebih awal di kepulauan Sulu yang kemudian kaum-kaum lain datang setelah mereka. Sebab itu mengapa kaum Tausug menggunakan "kambut" (kain panjang dililit dipinggang dan hujung kain akan dijuntai di hadapan untuk menutup alat sulit) yang mirip dengan kain "santut" kaum Dayak. Kalau ini benar maka merekalah yang dikatakan kaum Tausug Dampuan? Kaum Dampuan, sebahagian dari pencatat sejarah mengatakan mereka berasal dari Champa, Vietnam. Tetapi apa yang kita lihat bukanlah demikian, kerana tiada satu pun ciri-ciri Vietnamis yang berbentuk manik-manik yang sepatutnya menjadi hiasan kaum Tausug hari ini.
Walaubagaimana pun kenyataannya, Tausug terhasil dari percampuran beberapa etnik di Nusantara yang tak dapat disangkal lagi. Samada kita katakan segala pakaian dan peralatan kebudayaan yang dipakai Tausug hari ini hanya sekadar "ambilan" dari kaum lain, atau sebenarnya adalah pakaian asal kaum Tausug yang asli, tentu kedua-duanya juga benar.
Tidak berapa lama dulu (tahun 2004 kalau tidak silap), seorang lelaki Tausug yang bekerja di Qatar pernah menceritakan kepada penulis (di internet) berkenaan tradisi lisan yang dia dapat dari keluarganya iaitu kaum Tausug yang asal katanya ialah kaum Sungei itu sendiri. Menurut ceritanya, pada ketika dulu telah berlaku kemarau yang panjang di Borneo menyebabkan kaum Dayak bertebaran mencari kawasan baru untuk memulakan kehidupan. Kaum Sapa' (dalam bahasa Suluk bermaksud sungai) dari Borneo telah bersampan dari pulau ke pulau hingga sampai ke pulau Jolo dan mereka menetap di sana menjadi kaum yang terawal. Satu cerita dari tradisi lisan yang mungkin silap, tetapi kalau melihat atau meneliti segala aspek yang ada pada Tausug seperti ada kebenarannya. kalaupun ia benar, kaum Sapa' yang dimaksudkan berkemungkinan adalah dari Dayak Laut yang lebih awal seawal sebelum kemunculan kerajaan Srivijaya yang muncul sekitar abad ke-5. Atau pun lebih jauh dari itu serentak dengan kedatangan Melayu-Proto. Sekadar satu hepotesis.
Pakaian Tradisi Tausug Satu Lambang Nusantara
Berkenaan seluar tradisi Tausug yang dikenali sebagai "kuput" atau "Bereno" yang dipakai sendat mengikut bentuk peha dan kaki, ia seolah-olah "diambil" bentuknya dari seluar sendat orang-orang Eropah. Orang Kastilla (Spanyol) di Filipina menggunakan seluar sendat juga sebagai pakaian kebiasaan mereka yang mungkin menjadi inspirasi Tausug untuk mengenakan bentuk seluar yang sama. Tausug memakai seluar sendat "kuput", setelah itu mereka melilitkan kain panjang di pinggang dengan tiga tujuan,
- pertama untuk menghalang seluar terlondeh,
- kedua hujung kain tersebut dijuntaikan untuk menutup alat sulit yang berbentuk sekalipun ada seluar.
- ketiga, untuk dapat menyelitkan keris atau barung di pinggang. Ia mirip seperti penggunaan "santut" oleh kaum Dayak di Borneo.
Kaum tua Tausug kebiasaannya mengenakan seluar labuh dinamakan "Sawwal" yang bentuknya sama dengan seluar Samurai Jepun. Menurut kaum tua Tausug, yang diistilahkan "Kamaasan" kebiasaannya menggunakan Sawwal untuk pakaian harian dan ketika dalam keadaan tegang (peperangan secara mengejut) Sawwal tersebut ditarik (Laisun) ke atas ke paras pinggang yang hanya menutup bahagian sulit. Keadaan ini dinamakan "mag sullit", sebab itu mengapa Panglima Lapu-Lapu ketika membunuh Magellan di Maktan, Cebu digambarkan hanya mengenakan "Sullit".
Pakaian tradisi Wanita Tausug pula kebiasaannya mengenakan Baju Batawiyang penuh dengan butang emas atau suasa sebagai pakaian kebanggaan. Menurut sejarahnya, pakaian ini bentuknya diambil dari kaum Melayu Betawi dari Pulau Jawa dan senantiasa mengenakan kain "sablai" yang bercorak seperti batik bersulam sebagai tanda kewanitaan. Dalam keadaan tertentu kain sablai boleh diguna sebagai tudung kepala. Dalam hal pemakaian kain Sablai ini, ada persamaan dengan pakaian kaum Bugis di Sulawesi juga. Cara memakai dengan meletakkan sebahagian kain di siku (dikepit) sekali pandang wanita Tausug seperti wanita Bugis.
Begitu juga dengan keris, Tausug menggunakan keris yang ganjil tidak sama dengan keris Melayu di Nusantara yang lain. Keris Melayu kecil dan diguna untuk menusuk atau melibas dengan tujuan menyucuk hujungnya kepada musuh. Tidak bagi Tausug, keris diguna untuk melibas seperti pedang. Sebab itu keris Sulu yang dikenali sebagai "Kalis Sundang" rata-rata mempunyai saiz yang besar, berat dan panjang. Keris yang hampir sama juga dipakai oleh kaum Maguindanao di Mindanao.
Berkenaan imej Abu Bakar Ellah @ Ampal
Pernah seorang sahabat saya mengomel tentang imej rambut Abu Bakar Ellah yang dia anggap sebagai seperti tempurung Sarawak (maksudnya Iban). Setahu saya sahabat saya ni dari suku kaum Sungei dan yang dia kritik (Abu Bakar Ellah) adalah dari kaum Sungei juga. Saya menjelaskan kepadanya berkenaan imej Dayak yang ada di Kalimantan, Sarawak dan Sabah yang berambut seperti tempurung ketika dulu adalah satu rumpun terdekat. Saya menjelaskan kepadanya lagi bahawa kaum Sungei adalah dari kaum Dayak juga. Dia terkejut dan tidak bersetuju. Mana mungkin kaum Sungei Sandakan berasal dari kaum Dayak? Saya terfikir, hina sangatkah menjadi seorang Dayak? Abu Bakar Ellah memotong rambutnya seperti itu menunjukkan kebanggaannya terhadap tradisi kaumnya, memalukan? Saya, tabik pada Abu Bakar Ellah. Dia seorang yang faham sejarah dan berbangga dengan tradisi asal-usulnya.
Maka kita turut bertanya kepada sahabat kita dari suku kaum Idaan, Tidung dan Murut. Hinakah menunjukkan identiti anda sebagai Dayak yang menjadi kebanggaan Nusantara berabad-abad lamanya? Jangan tinggalkan budaya dan tradisi anda dengan menggantikannya dengan tradisi "kontemporari" yang kehilangan identiti itu. Kaji dan selidiki sejarah kaum anda dari mana bermula, agar anda tidak menjadi "fosil" yang kehilangan identiti.
7 ulasan:
As'kum saudara Zul Hajad,
Lama tak jumpa, masih lukis kartun lagi, mungkin da lupa dengan abang, masih ingat Pegawai Akbar Datuk Aklee, Saya abang Mail, kalau sudi layarilah www.gempursabah.blogspot.com.
Wa'alaikumussalam Abg Mail,
Terimakasih bebanyak kerana sudi melawat blog saya, saya tak lupa walau dah lama berlalu.
Saya masih melukis karikatur di Berjaya Hill Resort Pahang hingga hari ini (hujung minggu sahaja, hari biasa kerja dengan orang).
InsyaAllah saya akan layari blog Abg Mail....
jangan lupa.
momogun darat(kadazan, dusun) dan momogun laut (rungus)
ketiga2 ini juga merupakan Dayak bagi Rumpun Sabahan...
menarik, salam
Dayak..terbaik.
Saya dusun ranau.. Aki saya di ranau pun berambut tampurung juga dulu.
Perkongsian saudara sungguh menarik utk.dibaca namun elok jika ia dapat disokong dgn fakta, rujukan yang konkrit.
Catat Ulasan