Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 25 November 2008

BAB 6: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PUNCA KEPADA MIGRASI BORNEO

Apa yang perlu diperjelaskan ialah mengapa migrasi dikatakan telah mula berlaku ke atas Borneo Utara seawal kurun ke-10? Sebenarnya migrasi yang paling drastik sekali ialah berlaku pada kurun ke-13 di zaman pra-Islam Raja-raja Brunei dan Raja-raja Sulu dan berkesinambungan lagi hingga kurun ke-19 di era Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu (setelah kemasukan Islam). Kekuasaan jajahan Kesultanan Brunei yang terbentang luas bermula dari Sarawak hingga ke Manila (Amanillah) setelah kejatuhan empayar Majapahit di tanah Jawa adalah yang sangat berkuasa ketika itu.

Sedangkan Kesultanan Sulu pula menjadikan sebahagian kepulauan Visaya, Cebu, Layte, Butuan, Palawan dan lain-lain sebagai naungan pemerintahannya yang berpusat di Jolo, Sulu. Ketika itu kedua-dua kesultanan adalah yang amat digeruni. Kemunculan Kesultanan Maguindanao juga menambahkan lagi kekuatan kuasa-kuasa Muslim ketika itu. Walaubagaimana pun  berbanding Brunei, Sulu tidak pernah dikuasai oleh Srivijaya dan Majapahit sekalipun Sulu itu hanyalah sebuah pulau kecil.

Ini diakui sendiri oleh para sarjana barat. Erick A. San Juan menyatakan dalam tulisannya Conspiracies and Controversies bahawa, “Walaupun orang Indonesia (Srivijaya dan Majapahit) lengkap dengan pelbagai alat perang dan kepandaian mereka, tetapi tidak pernah terfikir menghancurkan Tausug ke arah apa-apa peperangan yang tidak munasabah, hinggakan mereka (Tausug) dicatit oleh orang Arab sebagai pejuang Muslim terbaik  di dunia”.

Penggalak utama migrasi tentunya bermula dari aktiviti-aktiviti perang dari kaum Sulu yang berani. Sulu itu adalah terdiri dari kepulauan kecil tetapi telah mampu menguasai persekitarannya kerana mempunyai budaya yang suka berperang. Pada asalnya mereka adalah kaum pedagang yang mahir dalam pelayaran tetapi setelah orang asing dari Eropah datang dan mahu menakluk dengan kerap menyerangnya, lama kelamaan mereka berubah menjadi bangsa kejam yang suka berperang. Pujian dan sindiran kepada keberanian berperang kaum Tausug adalah biasa dikalangan sarjana barat contohnya seperti yang dikatakan oleh En. James Dunnigan dalam artikelnya Tropical Vikings pada 17 Mac 2003 bahawa:

“Orang Tausug adalah seperti orang Viking, mereka pahlawan yang ganas, tiba-tiba muncul dari laut tanpa diduga dengan kapal layar mereka yang pantas…mereka empunya versi Viking yang tersendiri, seperti juramentado (berani mati)…antara kaum Moro (Muslimin) yang paling bengis dan kejam ialah Tausug.”

Orang Tausug Sulu yang mendominasi kepulauan Sulu sejak dulu sangat terkenal dengan peperangan dan perhambaan. Sebab itu dalam hal ini, faktor utama migrasi kaum-kaum di Borneo terutamanya Borneo Utara adalah berpunca dari orang-orang Sulu sendiri. Perkara ini lebih jelas lagi setelah kedatangan Spanyol pada abad ke-16 dengan menggelarkan orang-orang Sulu sebagai “Vegamundo” (Mundo) yang bermaksud perompak laut setelah gagal membendung serangan demi serangan tentera laut Sulu ke atas tempat-tempat naungan Spanyol di Filipina Utara. Serangan orang Sulu bukan semata-mata membunuh, tetapi menangkap ribuan kaum Ayta (Asli) lalu menjualnya ke Jolo, Borneo, Makassar atau Maluku.

Kita lihat bagaimana Lt. Gabenor yang bertugas di tanah Jawa, Jhon Hunt yang pernah tinggal di Jolo selama enam bulan memberi laporan kepada Sir Stamford Raffles pada tahun 1812 "Kuasa dan pengaruh para Datu (Tausug) khususnya kerana kekayaan masing-masing dan jumlah hamba abdi mereka".

Dalam sejarah penjajahan Spanyol, kaum Tausug dari Sulu telah dianggap sebagai satu-satunya dari kalangan kaum Moro yang paling “jahat” dan khianat. Sebab itu mengapa Spanyol tidak pernah berjaya menakluk Pulau Jolo yang hanya sekecil Pulau Labuan itu. Tentera Laut Diraja Sulu adalah terdiri dari kaum Iranun (Lanen), Bajau Balangingi dan Tidung yang sangat terkenal dengan pembunuhan di darat dan serangan-serangan di laut.

Hinggakan tentera laut Sulu ini digelar “Perompak Laut” atau Lanun (diambil dari nama Iranun atau Lanen) kerana keberanian serta kebiasaan mereka menangkap kaum-kaum Ayta (Dayak yang terdiri dari Hiligaynun, Surigaonun, Kagayanun, Bisaya, Suba’anun dll) di sekitar kepulauan Filipina naungan Spanyol. Mereka dijual ke Makassar atau ke Jolo dan Borneo Utara kepada Datu-datu Sulu serta kepada Pangeran Brunei. Kemarahan dan sumpah seranah barat kepada kaum Tausug masih berterusan hingga ke hari ini berdasarkan kegagalan mereka menakluk di masa lampau ke atas kaum Tausug.

Primo Esleyer penulis Lessons from Kidnapping dalam www.iloiloviews.com, Visayan Daily Star pada June 20, 2008: “Tausug adalah pelayar terbaik, kapal perang Spanyol tidak boleh mengalahkan kapal mereka. Mereka adalah pahlawan-pahlawan tetapi adalah yang paling khianat berbanding kaum Muslimin yang lain…ramai para Jeneral (tentera Filipina) yang terperangkap dan terbunuh.”

Tiada ulasan: