Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 25 November 2008

BAB 4: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENGISTILAHAN MELAYU YANG PERLU DIFAHAMI

 

Mengapa dikatakan kaum-kaum Nusantara termasuk dalam rumpun Melayu? Mengapa kaum Melayu Semenanjung Malaysia menggelarkan diri mereka dengan Melayu? Penggelaran Melayu kepada sesetengah etnik di Nusantara dengan mengatakan mereka adalah Melayu hanya kerana dalam surat beranak mereka tertera nama Bangsa: Melayu maka mereka sahaja yang berketurunan Melayu? Apakah istilah Melayu itu adalah etnik-entik tertentu atau ia sebenarnya adalah gelaran serumpun manusia yang menghuni Alam Nusantara ini? Kalau kita katakan bahawa hanya setiap orang yang berada di bumi Malaysia ini yang bertutur dengan bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam budaya Melayu serta hanya yang beragama Islam maka itu sahaja yang dipanggil Melayu? Kenyataannya, di sini terdapat kepincangan pemahaman yang perlu diperbetulkan. 

Siapa yang boleh mendakwa diri mereka sahaja yang Melayu sedangkan yang lain bukan ternyata semuanya hanya persepsi atau interpretasi kekelompakan atau kekampungan sahaja yang hanya dipandu oleh rasa ego dan kesombongan kaum. Satu persoalan, dari mana asal istilah Melayu ini? Soalan ini sehingga sekarang masih tiada jawapan tuntas dari ahli sejarah untuk menjadi kata putus sebenar kepada apa sebenarnya yang dikatakan Melayu itu. Semuanya hanya hipotesis yang mana masing-masing para pengkaji berusaha menyatakan kajiannya adalah yang paling tepat dan benar. Sebenarnya Melayu hanyalah satu istilah dan penggelaran semata-mata kepada satu kaum di Nusantara. 

Walaubagaimana pun, kaum Melayu yang asal adalah yang paling berhak terhadap gelaran ini. Mereka berhak atas istilah yang telah menjadi simbol sejarah Asia Tenggara kerana keagungan dan keperkasaan yang mengharumkan penghuni Nusantara sampai bila-bila. Siapakah yang dikatakan kaum Melayu asal itu?

Ianya berasal dari satu kaum yang menduduki Jambi, Sumatera yang menamakan kaum mereka sebagai Melayu. Lokasinya yang menonjol dan strategik menjadikannya begitu terkenal kerana menjadi persinggahan perdagangan di seluruh rantau Asia. Perkembangan awal Islam kemudiannya menjadikan negerinya pusat pendidikan Islam ketika itu malah bahasanya (Bahasa Melayu) juga digunakan sebagai bahasa perantara dalam pengajaran Ilmu. Nama dan bahasa kaum ini tersebar merata tempat setelah para penuntut yang datang dari merata tempat kembali ke negeri asal mereka. Sebab itu kitab-kitab lama atau kitab kuning ditulis dalam bahasa Melayu. Yang maksudkan itulah kaum Melayu Jambi dari Sumatera.

Ketika penjajah datang menghujani Nusantara mencari rempah mereka langsung tersua dengan satu kaum yang namanya sudah sekian lama terkenal dibawa para pedagang merata tempat, lalu mereka mencatat kehebatan kaum Melayu yang mendominasi Alam Nusantara sebagai kaum yang dominan yang perlu diberi perhatian. Sebab itu para penjajah mencatat serta mengkelaskan penghuni rantau Nusantara ini sebagai Melayu, dinisbahkan kepada keluasan pengaruh Melayu Jambi dan Palembang. 

Dalam hal ini Hugh Low (1988) sendiri mempercayai hakikat tentang pengistilahan Melayu itu berdasarkan keagungan kerajaan Melayu Jambi di Sumatera:

" …it being rarely the custom of the natives [peribumi Tanah Melayu] to apply a distinguishing name to the whole as, and collectively, but to designate each part by the name of the most powerful kingdom situated in it"

Sejak itu dikajilah dari mana asal-usul manusia Melayu. Hasilnya apa yang kita dapat baca dalam buku-buku sejarah-linguistik hari ini. Namun, pengkajian terhadap istilah Melayu itu sendiri masih berterusan.

Berikut ialah fakta yang penulis susun berdasarkan kajian dan apa yang diberi oleh ahli sejarah tentang asal-usul Melayu dan bahasanya secara ringkas:

  • ·         Lantaran Nusantara mempunyai pusat perdagangan purba bermula dari negeri-negeri yang menuturkan bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh kaum Melayu Jambi, maka penggelaran Melayu kepada kaum-kaum Nusantara tersebar meluas hinggakan pencatat sejarah barat sendiri membuat kesimpulan demikian. Pengistilahan Melayu kepada rumpun Nusantara yang dimulakan oleh pengkaji barat ini akhirnya digunakan hingga ke hari ini.
  • ·        Melayu-Proto adalah kumpulan pertama dipercayai sampai ke Nusantara berasal daripada golongan Austronesia dari Yunan, Indochina. 
  • ·         Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi) adalah keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera. 
  • ·         Melayu-Deutro pula adalah kumpulan kedua yang datang ke Nusantara. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya orang Melayu di Malaysia. Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
  • ·         Kumpulan pertama Proto dan kedua Deutro, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
  • ·         Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim seorang pakar bahasa (Linguistik) menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China.
  • ·         Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut (Bajau).
  • ·         Gelaran Melayu (Mlayu) berasal dari bahasa Jawa kuno bermaksud melarikan diri, berpergian atau mengembara. Kaum yang mula-mula digelar Melayu ialah kaum yang menduduki Jambi berdekatan Palembang, Sumatera hinggakan sebuah sungai di Jambi digelar Sungai Melayu. Pada 600 M muncul satu kerajaan awal Melayu di Jambi yang menjadi tumpuan dan persinggahan pedagang dari India ke China.
  • ·         Berdasarkan catatan Kerajaan Kayangan China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja China sekitar 644 - 645 Masihi. Yang dimaksudkan ialah kerajaan Melayu Jambi.
  • ·         Satu lagi catatan dari China ialah catatan seorang pengembara yang juga rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata Ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi yang sudah tentu ialah Jambi dan Palembang.
  • ·         Oleh kerana Jambi dan Palembang di Sumatera menjadi pusat perdagangan utama di rantau Nusantara ketika itu maka adalah tidak menghairankan para pedagang dari Solot turut berdagang di sana. Solot adalah gelaran oleh kaum Melayu Jambi-Palembang, Srivijaya dan Majapahit kepada kepulauan Sulu. Sehingga hari ini bahasa kaum Tausug dari Sulu terdapat istilah “Malayu”. “Malayu” bermaksud satu tempat atau jarak perjalanan yang sangat jauh, pendek kata mengembara jauh (ada persamaan makna dengan Mlayu dalam bahasa Jawa). Pedagang Sulu tentunya senantiasa berulang alik ke Jambi-Palembang yang mempunyai jarak perjalanan yang bukannya dekat. 

 

Demikianlah bagaimana pengistilahan Melayu itu diguna sebagai mewakili rumpun Nusantara. Dalam hal ini nampaknya para pengkaji barat begitu mudah mengkelaskan siapa sahaja sesuka hati mereka yang akhirnya diguna dan diakui dunia hingga hari ini. Penggelaran sesuka hati seperti ini juga berlaku kepada kaum-kaum yang beragama Islam di Filipina Selatan. Penggelaran Moro contohnya, bermula dari pengalaman lampau Spanyol sendiri menghadapi peperangan dengan kaum Muslimin di Spanyol dan permusuhan mereka dengan kaum Mauricenia yang berasal dari Tanah Maghribi (Morocco) itu terbawa-bawa hingga ke Nusantara.

 

Akhirnya telah menjadi punca kepada penggelaran Moro kepada umat Islam di Filipina Selatan itu sendiri. Pro dan kontra terhadap pengistilahan ini masih kedapatan dikalangan kaum Nusantara hingga kini. Yang keliru juga tidak kurang hebatnya terhadap pengistilahan berbangkit. Contoh sekiranya ditanya kepada kaum Momogun di Sabah adakah mereka dari kaum Melayu, tentu mereka tidak mengaku tetapi ada sebilangan yang mengakuinya. Demikian juga sekiranya ditanya kepada kaum Suluk samada mereka adalah dari kaum Moro, jawapan pun adalah sama. Yang lain mengaku sebilangan lagi tidak.

 

Sebenarnya membuang masa sahaja meperdebatkan hal istilah ini. Apa yang lebih penting ialah umat Nusantara berdiri atas kehebatan sejarah masing-masing dan berbangga dengannya. Keagungan peradaban mahupun kemajuan ekonomi yang didominasi oleh negeri-negeri Melayu ketika dulu telah menjadi sebahagian dari sejarah bersama nenek moyang setiap kaum di Nusantara. Penggelaran Melayu juga kepada rumpun Nusantara perlulah diterima sebagai satu identiti bersama. Walaupun boleh sahaja dianggap “nasib baik” kepada kaum Melayu Jambi yang menyebabkan nama kaumnya menjadi popular lantaran rumpun Nusantara hari ini mendapat gelaran Melayu-Austronesia namun penerimaan semua kaum hari ini menunjukkan pengiktirafan terhadap nama Melayu itu sendiri.

 

Sekiranya kaum Suluk yang mendominasi perdagangan ketika dulu, pasti nama rumpun Nusantara hari ini ialah Suluk-Austronesia. Kalau kaum Jawa pula sudah tentu nama rumpun kita sekarang ialah Jawa-Austronesia. Kalau Bugis pula tentu jadi Bugis-Austronesia, Momogun-Austronesia, Bajau-Austronesia dan macam-macam lagi. Ia hanya istilah kepada satu kaum yang menjadi terkenal seperti terkenalnya kaum Iranun dan kaum Bajau Balangingi merompak di sekitar Laut Nusantara ketika dulu.

 

Hinggakan sampai hari ini sesiapa sahaja yang menjadi perompak laut kita gelar Lanun (Iranun). Kalau di Indonesia pula perompak laut digelar Bajak Laut (Bajau Laut Balangingi). Begitu juga kalau sesiapa yang menjadi kuat dan hebat akan digelar pula “bermaharajalela” sempena nama pahlawan Maharaja Lela yang membunuh J.W.W. Birch di Pasir Salak, Perak ketika dulu.

 

Tiada ulasan: