Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 25 November 2008

BAB 1: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENDAHULUAN SEBAGAI PEMBUKA

 

Keamanan di bumi Sabah pada hari ini masih dikecapi oleh rakyat secara berterusan dan ia diharapkan dapat berkekalan pada bila-bila masa dibawah Persekutuan Malaysia. Semestinya keamanan seperti ini akan senantiasa dipertahankan oleh manusia atau kaum-kaum yang menghuni Sabah pada hari ini. Keamanan akan dapat dikekalkan bergantung sejauh mana kaum-kaum di Sabah dapat memahami kedudukan mereka masing-masing yang saling hormat-menghormati sesama mereka sebagai rakyat yang terdiri dari berbilang kaum. Keamanan adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan.

 

Keamanan itu pula akan mudah goyah dan pada bila-bila masa boleh digoncang sekiranya tidak ditunjangi oleh pemahaman sejarah secara jujur. Tanpa mengetahui sejarah kewujudannya, sesuatu bangsa atau kaum itu akan mudah hilang di muka bumi ini. Kerana ketiadaan rujukan sebagai akar tunjang yang menunjangi identiti dan jatidiri mereka sebagai yang mesti dipertahankan. Samada mereka hilang begitu sahaja sebagai pupus di muka bumi atau pun hilang dalam erti kata kehilangan identiti dan jatidiri.

 

Tiada bezanya satu kaum yang pupus menjadi fosil dengan kaum yang masih wujud tetapi telah kehilangan identiti dan jatidiri. Ia akan menjadi seolah-olah seperti seekor harimau yang kehilangan belangnya lantaran sukar dikelaskan kedudukannya sebagai harimau, samada Harimau Benggala, Tibet, Malaya, Sumatera dan sebagainya. Satu kaum yang kehilangan sejarah bangsanya maka ia sebenarnya telah cacat. Maka “kecacatan” itu mereka bawa turun-temurun, generasi demi generasi sebab itu mereka mudah dibawah arus perubahan yang menghentam dan memperkotak-katikkan mereka.

 

Mana-mana kaum pun di dalam dunia, mereka ada sejarahnya masing-masing dari mana keturunan bangsa mereka bermula. Sejarahnya yang kadangkala diungkap dalam tradisi lisan turun-temurun dengan gaya mistik, mitos dan tahyul-animisme sebagai tanda kebanggaan dan kekaguman terhadap sejarah bangsa mereka. Begitu juga dengan kewujudan kaum Tausug yang kita kenali sabagai kaum Suluk di bumi Sabah hari ini. Identiti mereka bertahan dengan propaganda kepahlawanan dalam tradisi lisan mereka turun-temurun sebagai satu bangsa yang berani, cekal, keras, pantang dicabar, tidak mengaku kalah.

 

Sekadar menjadikannya contoh, sebagai renungan yang merujuk kepada satu bangsa beridentiti berdasarkan keberanian yang diperturunkan secara tradisi lisan. Tradisi kaum Suluk bercerita tentang keberanian bangsanya berperang serta keturunan keluarga mereka yang bermaruah dijadikan satu budaya pemikiran sampai bila-bila. Walaupun cerita keberanian berperang kaum Suluk dianggap tidak lagi relevan dalam suasanan aman di Malaysia hari ini, namun sebagai sejarah tentang kewujudannya yang bermaruah perlulah dihormati. Selagi ia masih tetap terkawal yang tidak menjadi punca pemecah belah keharmonian masyarakat, maka sudah tentulah ia diterima sekadar sebahagian budaya kaum yang unik dan tersendiri.

Tiada ulasan: