Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 25 November 2008

BAB 5: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

SIAPA PENGHUNI AWAL BERNEO UTARA?

Kalau ditanyakan kepada kaum Kadazan-Dusun, Tambonuwo, Lotud, Murut, Sungei, Idahan, Bajau Kota Belud/Semporna, Suluk, Brunei, Iranun dan kaum-kaum lain bahawa  siapa yang dikatakan kaum peribumi atau bumiputera? Tentu mereka menjawap “kami”. Apakah benar mereka yang mengaku sebagai peribumi Sabah ini adalah peribumi dalam erti kata yang sebenarnya? Sebahagian dari mereka mengatakan bahawa sebelum Sabah merdeka lagi mereka telah ada di bumi Sabah malah sebelum kedatangan kaum-kaum “pendatang” asing yang lain mereka telah pun lama wujud bercucuk tanam, berburu dan sebagainya di pedalaman Sabah?

Sebab itu mengapa wujudnya cerita lagenda bahawa asal-usul permulaan Gunung Kinabalu itu sendiri adalah permulaan kepada bangsa mereka. Maka inilah tanda bahawa merekalah penghuni asal “Negeri Di Bawah Bayu” itu. Walaupun segala bukti yang mereka berikan hanyalah berupa tradisi lisan yang sarat dengan mitos dan tahyul sebagai pembuktian terhadap “keperibumian” mereka, namun ianya tidaklah dapat memberikan apa-apa makna yang boleh diiktiraf. Walaubagaimana pun, itu adalah hak mereka terhadap pengamalan budaya dan adat resam yang menjadikan mitos dan lagenda sebagai sebahagian dari sejarah kaum mereka.

Mari kita lihat sejarah di mana kita bermula agar dengan demikian dapatlah kita menilai kebenarannya. Kerana, sejarah tidak mungkin mendustai kita yang sudah tentu segala mitos dan tahyul tersebut telah pun terpahat dengan baik sebagai identiti sebahagian kaum di bumi Sabah. Semuanya telah pun termasuk dalam lipatan sejarah maka segala tradisi lisan itu tidak sewajarnyalah kita persalahkan. Tradisi lisan itu sendiri telah menjadi satu sejarah kepada kaumnya sejak sekian lama. Tinggal lagi, samada logik dengan tidak sahaja yang menjadi persoalan. Terima atau tidak bergantung kepada kewarasan individu yang menilainya. Walaubagaimana pun halnya, pertimbangan logik tetap mendominasi perjalanan sejarah hidup manusia selama beribu-ribu tahun lamanya sejak dahulu kala.

Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, m.s. 1185, peribumi bermaksud kaum asli atau bumiputera. Dengan kata lain, satu kaum yang terawal datang dan tinggal disesuatu kawasan, mendirikan penempatan dan menguasai persekitarannya. Persoalannya, siapakah yang benar-benar dikatakan “peribumi” Sabah? Kemudian, siapa pula yang terawal dikalangan yang awal di antara kaum-kaum Sabah yang kita sebutkan tadi? Sebenarnya belum ada ahli sejarah yang dapat menentukan kaum mana yang lebih awal datang dan membuat penempatan di Sabah.

Yang ada ialah kewujudan lebih awal kaum Dayak Sarawak (Punan, Penan, Kayan, Kenyah, Iban, Dayak Darat, Murut) di Borneo yang mana ahli sejarah sepakat mengatakan mereka adalah kelompok Melayu-Proto yang datang ke Nusantara semenjak 2500 tahun sebelum Masihi lagi. Itu pun mereka hanya tertumpu di Kalimantan dan hanya bertebaran ke merata tempat di Borneo termasuk lari masuk ke tengah-tengah hutan belantara setelah berlakunya ekspedisi mencari hamba dikalangan kaum Iranun dan Bajau Balangingi dari Sulu.

Menurut seorang Pensyarah Program Sejarah, SSS, UMS, En. Bilcher Bala  dalam kertas kerjanyan bertajuk Latar Belakang Penduduk Di Sabah & Sarawak, bahawa, adalah tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya (khususnya Borneo Utara). Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan daripada kemunculan kumpulan pendatang baru (dari kalangan penjajah) sejak lebih kurang abad ke-15.

Justeru, wujud tanggapan bahawa ciri-ciri kemasyarakatan primitif yang masih wujud di kawasan pedalaman Borneo adalah ekoran daripada ketiadaan hubungan mereka dengan orang luar. Sungguhpun demikian, hakikat keadaan taburan penduduk di Borneo pada hari ini menafikan tanggapan sebegitu. Misalnya, proses migrasi yang telah berlaku sejak beberapa zaman yang lampau telah menjadikan negeri Sabah sebuah masyarakat yang berbilang keturunan, budaya, adat dan kepercayaan.

Dalam bukunya bertajuk Borneo People, Malcolm MacDonald (1985) telah mengutarakan satu rumusan yang jelas sekali mengenai penduduk peribumi asli Borneo dalam beberapa dekad yang lalu, khususnya yang telah ditemuinya di wilayah Sarawak, bahawa:

 “…natives in the deep jungle are 'uncivilized' pagans. They associate together in primitive tribal organization and are divided among distinct ethnological groups called Punans, Penans, Kayans, Kenyahs, Ibans, Land Dayaks, Muruts, and various others. They are the real wild men of Borneo.

Yang menariknya En. Bilcher Bala mengatakan lagi “…menurut andaian setakat ini menyebut bahawa masyarakat manusia di Sabah pada awalnya adalah terdiri daripada beberapa suku etnik peribumi asli yang kemudiannya telah berubah menjadi sebuah masyarakat majmuk terutamanya ekoran daripada proses migrasi yang mula berlaku seawal-awalnya pada kurun masihi yang ke-10 lagi daripada Tanah Besar China, India, Kepulauan Philipina dan Sulu, Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain”.

Ternyata berdasarkan kajian En. Bilcher Bala di atas, proses migrasi antara kaum-kaum dari luar Borneo yang berlaku seawal-awalnya kurun ke-10 dapat membuktikan satu kebenaran yang akan menyusul selepas ini. Kerana berdasarkan kajian yang kami telah jalankan, migrasi telah berlaku secara drastik setelah perluasan pengaruh dan penaklukan oleh Srivijaya dan Majapahit serta terbukanya laluan perdagangan di Alam Melayu yang bermula di kerajaan Melayu Jambi dan Palembang. Pedagang dari India dan Arab pada awal kurun ke-7 hingga kurun ke-9 menjadikan Jambi dan Palembang sebagai persinggahan utama di Nusantara sebelum meneruskan perjalanan ke Champa, Vietnam seterusnya ke China.

Ketika ini Brunei, Johor, Bugis, Banjar, Tidung, Ternate-Maluku, Maguindanao dan Sulu telah pun menjadi satu kerajaan yang sudah tentu aktiviti perdagangan mereka dengan Jambi telah pun berlaku ketika itu. Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah jual beli hamba adalah antara yang termasuk dalam kativiti perdagangan. Perhambaan pada ketika itu sangat popular dan dimasa-masa kemudiannya telah menjadi punca kepada taburan atau migrasi kaum di seluruh Nusantara. 

Tiada ulasan: