Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Jumaat, 21 November 2008

BAB 7: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PELANUNAN SEBAGAI PERTAHANAN DAN KESANNYA

 

Mengapakah kaum Tausug di Sulu telah dikatakan sebagai menjadi punca atau sekurang-kurangnya menjadi pemangkin kepada aktiviti pelanunan dan perhambaan di Nusantara? Sebab itu mengapa berlakunya ekspedisi mencari hamba di merata tempat oleh kaum Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung adalah kerana mendapat dokongan dari kaum Tausug. Sememangnya Sultan Sulu dan para Datu adalah yang memerlukan paling ramai hamba untuk bekerja dengan mereka di Borneo Utara atau pun dijual semula kepada Daeng-daeng Makassar.

 

Aktiviti inilah yang menjadi pendapatan utama kaum Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung ketika itu. Yang mengejutkan para ahli sejarah ialah bagaimana Iranun dan Bajau Balangingi boleh sampai ke Burma, Vietnam malah dilaporkan turut sampai ke perairan Australia kerana semata-mata mencari mangsa tangkapan untuk dijual menjadi hamba. Aktiviti pelanunan dari Sulu ini adalah yang paling banyak mendapat perhatian dari para pengkaji sejarah ketimuran daripada Barat bermula sejak dahulu lagi.

 

James Francis Warren dalam bukunya "The Sulu Zone 1768-1898" (Singapore University Press 1981) menyatakan mereka melanun hingga ke perairan Terengganu dan Kelantan. Sudah tentu menjangkau hingga sampai ke Vietnam atau Indochina dan dari Laut China Selatan masuk ke Selat Melaka dan tembus semula ke perairan Kalimantan terus ke Sulu melalui Makassar. Hasil tangkapan mereka jual ke Makassar di negeri Bugis, Maluku atau di Jolo, Sulu sendiri.

 

Dalam catatan sejarah pelanunan di Sulu, kaum Tidung dari Kalimantan turut bekerjasama dengan Tausug . Tidung sangat dibenci oleh Spanyol dan menggelarnya Comucones. Kaum ini telah pun mula meneroka perairan Sulu, Sulawesi, Laut China Selatan dan sekitar perairan Kalimantan sebelum kedatangan Spanyol ke Kepulauan Filipina lagi. Kaum Tidung sangat terkenal dengan peneroka sungai sebab itu terkenal sebagai kaum “Penangkap Buaya”. Mereka tergolong dari bangsa Dayak Laut yang mana secara linguistiknya adalah sekeluarga dengan kaum Kayan di Kalimantan. Tidung muncul membentuk kerajaan awal di Kalimantan berhampiran Tarakan pada penghujung zaman Srivijaya.

 

Dalam An Online Timeline Of Indonesian History menyatakan: “1076: Around this time, the Tidung kingdom is founded around Tarakan in eastern Kalimantan”.

 

Ketika ini Raja-raja Sulu pra-Islam sudah lama muncul mendominasi Laut Sulu, catatan sejarah menunjukkan sejak abad ke-7 sudah memang wujud kerjasama Orang Laut dengan kaum Sulu di Taguimaha (Nama lama Pulau Basilan) sebagai penguasa Laut Sulu. Setelah kedatangan Islam, Sulu telah dilaporkan mempunyai hubungan erat dengan Raja-raja Tidung di Kalimantan. Setelah Kesultanan Sulu melakukan pemungutan cukai di Borneo Utara, Tidung enggan mengiktiraf ketuanan Sultan Sulu maka berlaku banyak pertempuran antara mereka. Tidung telah tunduk setelah Sultan Sulu mengahwini puteri Raja Tidung.

 

Cesar Adib Majul mengatakan dalam Muslim In The Philipines: "Tirun (Tidung), suatu suku kaum yang bukan beragama Islam yang terkenal kerana kekejaman dan ekspedisi mencari hamba. Mereka yang semula jadi memang bebas dan berada di bawah kekuasaan pembesar-pembesar mereka, adakalanya tidak mahu tunduk kepada datu-datu dan panglima yang telah dilantik dari kalangan mereka sendiri oleh Sultan Sulu".

Didalam banyak pertempuran kaum Sulu dengan Spanyol, Tidung termasuk bala tentera Sulu yang paling ganas selain Balangingi dan Iranun. Sekiranya peperangan terhenti mereka berkeliaran di lautan kepulauan Filipina dalam kawasan naungan Spanyol sebagai perompak dan pencari hamba. Perkampungan jajahan Spanyol mereka serang dan tangkap penduduknya lalu dijual ke Sulu, Borneo atau ke tanah Bugis dan Maluku. Spanyol sangat berdendam dengan kaum Tidung kerana bersekongkol dengan orang-orang Sulu menyerang dan menangkap kaum-kaum Ayta (asli) untuk dijadikan hamba walau pun Sultan Sulu sendiri tidak mengaku menyuruh atau melakukannya.

 

Spanyol dan Belanda di Indonesia (kerana wilayah naungannya turut diserang oleh perompak laut atau lanun dari Sulu) meletak kesalahan kepada Kesultanan Sulu atas perluasan aktiviti pelanunan kerana kegagalan Sultan mengekangnya. Walaupun mereka persalahkan Sultan Sulu dan para Datu kerana membiarkan pelanunan, namun mereka bersetuju bahawa konsep “tolong sama tolong” antara Kesultanan Sulu dengan para lanun itu adalah semata-mata untuk mengawal perairan Sulu agar tidak dibolosi oleh “pendatang-pendatang asing” dari Eropah itu sekurang-kurangnya cara mereka telah berjaya. Tentunya tanpa pengawalan, kapal-kapal penjajah sangat mudah keluar masuk ke perairan Sulu sewenang-wenangnya dan boleh mengatur apa sahaja tujuan jahat terhadap Sulu.

 

Serangan-serangan lanun menyebabkan Spanyol di Filipina merayu meminta Sultan Sulu menghentikan pelanunan itu kerana pedagang-pedagang dari wilayah mereka selalu kena rompak, malah kampung-kampung di sekitar kekuasaan Spanyol turut kena serang dan penduduknya diikat beribu orang dijual ke merata tempat hinggakan penduduk di kepulauan Filipina di utara digambarkan sebagai "hampir kering" dibuatnya.

 

Ini diakui sendiri oleh Jose Rizal dalam artikelnya pada 1889 di surat khabar La Solidaridad yang diterbitkan di Barcelona, Spanyol. Mungkin disebabkan oleh keadaan inilah yang menyebabkan Jose Rizal menulis bukunya yang kedua dan menjadi terkenal setelah itu bertajuk “EL FILIBUSTERISMO” pada 1891 yang membawa maksud pelanunan. James Francis Warren juga turut menulis tentang pelanunan ini dengan tajuk khusus “Iranun and Balangingi: Globalization Maritime Raiding an the Birth of Ethnicity”.


KESANNYA

Kesan dari pelanunan ini yang kita dapat jelaskan ialah seperti yang dinyatakan dalam beberapa bahagian:


  1. Kesan kepada kuasa politik: Penguasaan terhadap maritim adalah antara penyebab utama ketahanan dan kelangsungan kekuasaan Kesultanan Sulu hingga tidak tertakluk berabad lamanya.
  2. Kesan kepada migrasi dan taburan penduduk: Ramai yang tertangkap setelah kalah perang dibawa merata tempat dari pulau ke pulau samada dijual atau dijadikan hamba. Samada yang tertangkap atau yang menangkap turut sama berpindah seperti yang yang berlaku di Borneo Utara. Iranun dan Balangingi membuka penempatan sekitar pantai timur dan barat Sabah hingga hari ini.
  3. Kesan kepada bahasa: Kekalnya gelaran "Lanun" dan "Bajak Laut" hingga hari ini kepada perompak laut


Yang mendapat banyak manfaat jelas terhadap pelanunan ialah Kesultanan Sulu walau pun segala perbuatan perompak laut itu dinafikan oleh Sultan. Ahli sejarah turut bersetuju bahawa kaitan pelanunan dengan Kesultanan Sulu adalah berlaku secara tidak langsung. Cesar Adib Majul menjelaskan hal ini bahawa, segala pelanunan yang dilakukan oleh rakyatnya (Iranun, Balangi dan Tidung) bukanlah suruhannya melainkan tindakan bersendirian mereka sendiri. Sultan mendakwa tidak berkemampuan menghalang mereka melanun dan kalau Spanyol dan Belanda ingin menghentikan pelanunan, merekalah sendiri yang memeranginya. Walau pun para ketua-ketua lanun sering datang memberi hadiah kepada Sultan hasil dari penjualan hamba dan sebagainya tidaklah bermakna Sultan yang menyuruh mereka melanun. Sesetengah kes ia hanya dianggap ghanimah (pembahagian harta rampasan perang). Yang pasti, pelanunan Sulu menjadi antibody kepada Sulu sendiri daripada serangan virus-virus penjajahan.


Tindakan menyerang dan menangkap musuh untuk dijual dijadikan hamba telah menjadi penyebab kepada perpindahan atau migrasi kaum di merata tempat termasuk Borneo. Kadang-kadang orang yang tidak terlibat dengan peperangan pun turut jadi mangsa seperti serangan-serangan terhadap kaum Momogun dimana-mana ketika itu oleh para pencari atau ekspedisi hamba. Dengan sebab ini juga telah mempengaruhi demografi kependudukan seluruh Borneo Utara. Mereka berduyun-duyun lari ke tengah hutan yang jauh dari tepi pantai semata-mata mengelak dari tertangkap untuk dijadikan hamba oleh para perompak laut.

 

Pengaruhnya terhadap bahasa yang mana wujudnya istilah “Lanun” dalam bahasa Melayu (Malayisa) hari ini. Lanun bermaksud perompak laut yang diambil istilahnya dari nama kaum Iranun itu sendiri. Ini kerana kaum Iranun juga turut memanggil diri mereka Tau Lanen bermaksud orang Lanen.  Melayu Indonesia hari ini menggelar prompak laut dengan “Bajak Laut” ia seolah-olah menyebut Bajau Laut pada lidah mereka. Ternyata sebutannya lebih dekat kepada Bajau Balangingi yang menjadi tentera laut Sulu dan bersama-sama dalam ekspedisi mencari hamba dengan Iranun. Bajau Balangingi juga adalah asalnya dari kelompok Orang Laut dari Sumatera atau Bajau Laut yang datang ke Sulu. Persoalannya bagaimana istilah “Lanun” begitu terkenal penggelarannya di Malaysia? Mungkinkah ada perhubungan yang telah terjalin sebelum ini dengan Melayu Semenanjung lantaran Iranun begitu dikenali?

 

Cesar Adib Majul menyatakan bahawa, perhubungan rapat Kesultanan Sulu dengan kaum Iranun telah pun bermula ketika masa pemerintahan Sultan Qudarat dari Maguindanao iaitu pada awal abad ke-17. Ini kerana saudara perempuan Sultan Sulu ketika itu bernama Puteri Siti Kabira telah dikahwini oleh Sultan Qudarat menyebabkan persaudaraan yang begitu erat kepada kedua-dua Kesultanan. Hingga dikatakan yang menguasai Sulu ketika itu adalah Sultan Qudarat dari Maguindanao oleh sebab itu kaum Iranun yang menjadi rakyat Sultan Qudarat dari Teluk Illana berduyun-duyun datang tinggal di sekitar pantai timur dan pantai barat Borneo Utara dan sekitar Kepulauan Sulu lainnya.

 

Mengenai pelanunan di perairan Tanah Melayu, James Francis Warren menyatakan hal ini bahawa pada tahun 1836 kapal perang Inggeris di perairan Malaya (Mungkin di Selat Melaka) bernama H.M.S. Wolf berjaya menawan lanun dari Sulu (Iranun dan Balangingi) melaporkan "Orang kaya Kullul memberitahu kami bahawa sultan yang memerintah dia merompak dan menculik segala kaum, kecuali bangsa Eropah".

 

Cesar menuliskannya pula “Sementara orang-orang Iranun yang bernaung di bawah pemerintahan Sulu sering menyerang kapal-kapal asing dengan sewenang-wenangnya dan Sultan Sululah yang dipersalahkan akibat serangan-serangan mereka. Serangan-serangan orang Iranun ini adakalanya meluas hingga ke selatan Selat Makassar dan ke sebelah utara hingga ke Selat Melaka. Malah Sultan Johor pernah berpakat dengan mereka untuk menggugat kapal-kapal British supaya mengurangkan tekanan mereka ke atas wilayah-wilayah pemerintahan mereka”.

 

Ternyata kaum-kaum Sulu (Iranun & Balangingi) dikenali dan mempunyai perhubungan dengan kaum Melayu lain di Nusantara iaitu pada setengah-setengah tempat menjadi bukti kehandalan mereka. Telah menjadi satu bukti penyebab kepada terkenalnya nama Iranun (Lanen) di Tanah Melayu Semenangjung dan kepulauan Indonesia yang tentunya telah menjadi penyebab migrasi kaum di Borneo itu sendiri. 

 

 

KESIMPULAN

Setelah diperjelaskan dengan berdasarkan beberapa fakta seperti yang dibentangkan tadi, telah menunjukkan kepada kita bahawa aktiviti pelanunan adalah yang begitu menonjol sebagai punca kepada migrasi kaum di Borneo Utara atau Sabah tanpa diragukan lagi. Perkara ini bukan lagi rahsia atau pun sebagai yang sukar difahami sebagai punca-punca mengapa terdapat banyak kaum Dayak atau Momogun di Sabah hari ini.

 

Migrasi itu sendiri kita boleh kategorikan kepada dua keadaan iaitu “Migrasi Sukarela” dan “Migrasi Paksa”. Migrasi sukarela adalah migrasi yang berlaku terhadap kaum Dayak dari Kalimantan yang bertebaran kemerata Borneo secara sukarela. Samada mereka sendiri yang bergerak bertebaran atas dasar mencari tanah penghidupan yang baru atau lari kerana mengelak tertangkap oleh ekspedisi pencari hamba oleh para lanun.

 

Manakala migrasi paksa pula ialah kaum-kaum yang tertangkap dari mana-mana tempat lalu dijual sebagai hamba abdi.  Dijadikan pekerja oleh para Pangeran dan Datu di kebun dan ladang mereka. Sebab itu kaum-kaum Borneo begitu ramai terutama kaum-kaum yang kita anggap kaum asli atau peribumi pada hari ini. Ada yang ditangkap dari Yunnan Indochina, kepulauan Filipina, Kalimantan, Maluku dan banyak tempat lagi.


1 ulasan:

ulunbenua berkata...

apakah makna atau arti dari Comucones