Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Jumaat, 21 November 2008

BAB 8: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

RUMPUN MELAYU SABAH SATU PENJELASAN

Sebagai pemahaman dan penjelasan, kaum-kaum yang wujud di Sabah ketika ini perlulah dipaparkan sejarahnya secara ringkas. Kaum-kaum tersebut bolehlah kita bahagikan kepada empat bahagian:


1. Kaum Melayu Brunei

2. Kaum Melayu Sulu-Mindanao

3. Kaum Melayu Momogun-Ayta

4. Kaum Melayu Indonesia

 

Kaum Melayu Brunei

Kaum Melayu Brunei banyak terdapat di sekitar pantai barat Sabah. Mereka mempunyai sejarah yang panjang di Alam Nusantara dengan sistem monarki yang masih wujud di Negara Brunei hingga hari ini. Mengapa mereka berada di Sabah? Kerana Sabah pada ketika dulu adalah dibawah takluk kekuasaan Kesultanan Brunei. Nama Sabah sebelum ini ialah Borneo Utara yang membawa maksud Brunei Utara. 


Hal ini diakui oleh sarjana barat sendiri, seperti mana kata L.W. Jones (1966):

"Here (Brunei) lies the key to the island's early history. The whole island was subject to the dominion of the Sultanate of Brunei".


Dalam pada itu, Jones juga menyokong fakta bahawa:

"Borneo and Brunei are basically the same word, and indeed no more than 100 years ago Brunei was referred to as Borneo Proper".


Manakala Inggeris menamakannya North Borneo sedangkan perkataan Borneo itu sendiri lahir dari lidah orang-orang Inggeris yang sukar menyebut Brunei sebab itu mereka memanggilnya demikian. Terbentuk dari dua perkataan ‘Born’ bermaksud lahir dan ‘Neo’ baru. Ia juga boleh dimaknakan sebagai 'satu wilayah yang baru dilahirkan'


Fakta ringkas mengenai Sejarah Kaum Brunei serta kaitannya dengan Sabah (Borneo Utara):


  • Panggilan Brunei pada asalnya ialah “Berinai” yang ada kaitan dengan pokok inai. Dalam catatan Nagarakrtegama Majapahit, Negara Brunei disebut “Buruneng” atau Burune. 
  • Dikatakan kaum Melayu Brunei mempunyai susur-galur China dari Kerajaan Kayangan. Sebab itu warna kulitnya putih kuning seperti yang kita dapat lihat hari ini.
  • Pada 1368 M, Raja Brunei bernama Raja Awang Alak Betatar dikatakan telah melarikan diri ke Johor-Lama kerana negeri Brunei telah diserang oleh kaum Tausug dari Sulu ketika itu. Baginda memeluk agama Islam dan berkahwin dengan puteri Sultan Johor (Johor Lama @ Temasek) sekitar 1368 M. Nama Islam Raja Awang Alak Betatar ialah Sultan Muhammad Shah (Sultan Brunei Pertama 1363-1402). Setelah perkahwinan itu Sultan Brunei tersebut berangkat ke Brunei dari Johor dengan diiringi oleh orang-orang Bajau atas perintah Sultan Johor, setelah dengan bantuan tentera Jawa berjaya menghalau Tausug dari Brunei. 
  • Pada tahun 1425 M datang seorang pendakwah Syarif dari Makkah bernama Syarif Ali Barakat menjadi Sultan Brunei yang pertama dari kalangan Ahlul-Bait.
  • Tanah jajahan Kesultanan Brunei sangat luas hingga berjaya menguasai Sarawak sehingga ke Amanillah (Manila).
  • Anakanda Sultan Brunei, Sultan Muhammad Hassan bernama Raja Bongsu (Sultan Mawallil Wasit) ditabalkan menjadi Sultan Sulu pada 1610 M menjadikannya Sultan Sulu yang pertama yang berasal dari kerabat Diraja Brunei.
  • Pada 1675 M Sultan Brunei bernama Sultan Muhyiddin menghadiahkan Borneo Utara kepada Kesultanan Sulu sebagai tanda terima kasih membantunya menamatkan perang saudara 10 tahun.
  • Bermula pada pertengahan abad ke-18 Kesultanan Brunei mula tegang hubungannya dengan Kesultanan Sulu berpunca dari pembunuhan seorang Duta Sulu di Brunei yang menimbulkan kemarahan Sultan Sulu. Semenjak itu acapkali berlaku serang menyerang antara orang Tausug di pantai barat Borneo Utara dengan orang Brunei kerana orang Brunei juga masih mendakwa Borneo Utara adalah tanah nenek moyang mereka.
  • Pada tahun 1877, seorang wakil kompani British bernama Baron Gustave Von Overbeck berjumpa dengan Sultan Brunei untuk memajak Borneo Utara. Setelah perjanjian berjaya dimeterai Baron Gustave Von Overbeck mendapati sebahagian besar Borneo Utara telah dihuni dan dikuasai oleh datu-datu kaum Sulu dari Kesultanan Sulu yang bermula dari Teluk Kimanis sampai ke Pulau Banggi hingga ke Teluk Sibuko Kalimantan.
  • Pada 1878, Overbeck berjaya mendapatkan persetujuan Sultan Sulu untuk memajak Sabah malah turut dilantik Bendahara dan Raja Sandakan oleh Sultan Sulu. Dalam hal ini beliau berjaya mendapatkan konsesi dari kedua-dua kesultanan terhadap pajakan Borneo Utara.
  • Antara 1880 hingga 1900 para Datu Sulu dan para Pangeran Brunei bersatu melawan Kompani Inggeris kerana memprotes penguatkuasaan undang-undang kompani yang tidak munasabah.

 

Kaum Melayu Sulu-Mindanao

Kaum terbesar dari Sulu selain dari Tausug ialah Sama Bajau, manakala Yakan adalah ketiga terbesar. Manakala kaum dari Mindanao pula ialah kaum Iranun, Maguindanao, Maranao dan beberapa kaum Ayta (Dayak) seperti kaum Bisaya, Suba’anun, Hiligaynun, Kagayanun dan Surigaonun. Majoriti kaum yang berada di Borneo Utara ialah Tausug, Sama Bajau dan Iranun sahaja ketika era Kesultanan Sulu lagi. Malah semenjak dari abad ke-7 hingga ke-9 lagi kaum Sulu dari kalangan Tausug dan Sama Bajau sudah menduduki pantai timur Borneo Utara.


Cuma kekuasaan kaum Tausug terhadap Borneo Utara lebih menyeluruh pada tahun 1700-an kerana para Datu Sulu mula memungut cukai setelah beberapa tahun Borneo Utara dihadiahkan oleh Sultan Brunei. Itu pun setelah Kesultanan Sulu berjaya menumpaskan kaum Tidung yang lebih banyak menguasai perairan Sulawesi ketika itu kerana enggan membayar cukai dan memerangi kaum Tausug. Sebelum menjelaskan tentang kaum Iranun dari Mindanao, terlebih dahulu Sejarah kaum Sulu dan Kesultanannya perlulah diperjelaskan. Kerana perlunya kaum ini difahami kalau pun tidak mendalam sekurang-kurangnya mengetahui sejarah kesultanannya secara ringkas.


Berikut penulis menyusun sejarah kaum-kaum Sulu dan Kesultanannya serta kaitannya terhadap Sabah (Borneo Utara) secara ringkas:


  • Kaum Sulu yang dominan ialah kaum Tausug yang asalnya terdiri dari tiga kaum utama yang menduduki pulau Jolo (sbt Holo) iaitu kaum Buranun, kaum Taguimaha dan kaum Baklaya. 
  • Tausug bermaksud orang arus, yang pekerjaan utama mereka ialah berdagang merentas lautan yang juga terkenal dengan budaya perhambaan. Bahasa yang mereka tutur ialah bahasa Sug yang menjadi lingua-franca di Kepulauan Sulu. Catatan sejarah menyatakan pada abad ke-7 kaum Sulu sudah memang berada di kepulauan Sulu sebagai pelaut dan pedagang. Ketika era pemerintahan Srivijaya wilayah kepulauan Sulu dikenali sebagai Solot. 
  • Di dalam peta kekuasaan Srivijaya, Solot atau Sulu tidak termasuk sebagai tanah jajahan takluknya. Ada laporan yang menyatakan Srivijaya telah beberapa kali menyerang Sulu tetapi gagal. Sehingga ke zaman kekuasaan Majapahit pun Solot masih gagal dikuasai. Walau pun dalam catatan Nagarakrtegama Majapahit menyatakan Wilayah Solot termasuk dalam naungan kekuasaannya tetapi kenyataannya bukanlah begitu.
  • Juga dilaporkan antara abad ke-7 dan ke-8 kaum Orang Laut atau Bajau Laut (Sama Bajau) sudah berada di Pulau Taguimaha (Dipanggil Pulau Basilan kemudiannya ketika era Kesultanan  Sulu sempena nama Datu Bantilan).  Ahli sejarah mengatakan bahawa asal-usul kaum Bajau Laut ialah dari Pulau Sumatera yang dekat hubungannya dengan kaum Melayu di sana. Sebab itu gelaran “Orang Laut” adalah dari bahasa Melayu sendiri. Kaum Melayu juga menggelar Berjauh (Bajau) kepada Orang laut kerana senantiasa berjauhan dengan daratan. 
  • Orang Laut juga turut dipanggil Sama (sama-sama) kerana senantiasa bergerak berkelompok ke mana sahaja dengan bersama-sama. Satu lagi panggilan yang datang dari bahasa Melayu sendiri  ialah Pala’o (Perahu) kepada Orang Laut bermaksud orang yang tinggal dalam perahu.
  • Pada tahun 1450 M, seorang Sayyid dari Tarim atau dari Makkah bernama Sayyid Abu Bakar telah datang mengIslamkan majoriti kaum-kaum Sulu dan membuka banyak madrasah serta masjid. Walau pun sebelum ini pedagang-pedagang Islam telah dahulu sampai ke Sulu tetapi pengIslaman secara besar-besaran kali ini ditangan Sayyid Abu Bakar menjadikan kaum-kaum Sulu lebih awal menerima Islam secara menyeluruh berbanding kawasan-kawasan lain di kepulauan Filipina.
  • Sayyid Abu Bakar ditabalkan menjadi Sultan Sulu yang pertama setelah berkahwin dengan Puteri Raja Baguinda dari Minangkabau Sumatera yang datang ke Sulu sebelum itu. Sulu semamangnya mempunyai Raja-raja Hindu-Buddha yang berdaulat dari kalangan kaum Buranun sebelum ini tetapi setelah kedatangan Islam takhta diserah kepada Sayyid Ahlul-Bait itu. PengIslaman dan pertukaran takhta berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah.
  • Pada 1500-an Spanyol mula melancarkan penjajahannya dengan menyerang Sulu serta wilayah naungannya. Wilayah naungan Sulu dari atas Pulau Palawan hingga ke Layte, Panay, Cebu, Butuan yang berhampiran Pulau Visaya dan Samar De Oro berjaya dikuasai Spanyol. Spanyol berkali-kali menyerang Sulu tetapi gagal kerana mendapat tentangan hebat dari kaum Tausug yang dibantu oleh saudara-saudara mereka kaum Bajau Laut, kaum Iranun dan Tidung.
  • Yang menarik, orang-orang Brunei turut berada di Jolo membantu Tausug dalam beberapa babak peperangan dengan Spanyol.  Sehingga abad ke-19 Spanyol masih tidak berjaya menakluk Sulu sehingga kedatangan Amerika Syarikat pada 1889. Ketika berlangsung peperangan yang terakhir antara Sulu dengan Spanyol pada penghujung abad ke-19, Sultan Sulu telah memajakkan Borneo Utara kepada wakil Kompani British bernama Baron Gustave Von Overbeck.
  • Kaum Sulu mula bertindak menyerang pedagang laut Spanyol dan menyerang memusnahkan wilayah naungannya dengan menangkap beribu-ribu kaum Ayta atau Dayak dan menjual mereka di merata tempat termasuk Borneo.
  • Pada tahun antara 1889 hingga 1900, Datu Paduka Mat Salleh menentang memerangi British di Borneo Utara yang membawa kepada kematiannya. Syarif Osman dan para Pangeran Brunei memerangi Kompani British. Pada tahun 1900-an hingga 1930-an pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Sulu di Jolo telah dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat namun serangan gerila kaum tausug masih berterusan. Keadaan huru-hara ini menyebabkan kaum Tausug dan Bajau ramai yang meninggalkan Jolo menuju ke Borneo Utara, Basilan, Siasi dan Tawi-Tawi.
  • Pada tahun 1963, North Borneo ditukar menjadi Sabah oleh Tun Datu Mustafa dan Parti-parti yang lain seterusnya membawa masuk Sabah ke Persekutuan Malaysia dengan 20 syarat yang kekal hingga ke hari ini.

 

 

Berikut adalah susunan sejarah kaum-kaum Mindanao secara ringkas:

 

     Kaum Maguindanao adalah yang paling berkuasa di Mindanao diikuti oleh kaum Maranao. Kaum Iranun pula adalah yang paling berkuasa di laut Mindanao sebagai tentera laut Kesultanan Maguindanao.

     Kaum Iranun adalah etnik-induk kepada Maguindanao dan Maranao kerana dari segi linguistik mereka adalah berasal dari satu kaum yang hampir. Menerima Islam secara keseluruhan pada 1515 M di tangan Sayyid Kabongsuan yang juga kerabat Kesultanan Johor-Lama.

     Kesultanan Maguindanao mula menentang penjajahan Spanyol semenjak abad ke-16 lagi. Sultan Qudarat adalah yang paling terkenal kuat penentangannya melawan Spanyol.

     Kesultanan Maguindanao, Sulu, Brunei, Bugis dan Ternate-Maluku malah Johor, Pahang, Terengganu dan Sambas mempunyai hubungan kekeluargaan. Walaupun kadang-kadang hubungan sesetengahnya tegang tetapi sesama mereka bertolong bantu dan bela membela atas dasar menganut Islam yang sama.

     Kaum Iranun mula berkerjasama dengan Kesultanan Sulu menyerang Spanyol yang bermulanya kebebasan Iranun menjalankan ekspedisi mencari hamba bersama Balangingi pada awal abad ke-17. Kaum Tidung juga menyertai ekspedisi mencari hamba dari Sulu menyebabkan perhambaan menjadi lebih “meriah”.

     Iranun dan Balangingi bersama menjalankan ekspedisi mencari hamba sampai ke Vietnam (Indochina) dan Burma. Ramai kaum asli (Momogun) dari sana mereka tangkap dan bawa ke Borneo Utara dijual kepada para Pangeran dan Datu. Iranun dan Balangingi juga turut menangkap kaum Bisaya dan kaum Ayta yang lain dari kepualauan Filipina lalu menjualnya ke Sulu, Borneo dan Makassar.

    Kaum Iranun dan Bajau Balangingi membina penempatan di sekitar pantai barat dan timur Borneo Utara sebagai pangkalan ekspedisi mencari hamba mereka. Hingga hari ini penempatan Iranun di pantai barat Sabah masih banyak termasuk juga Bajau Balangingi. Penempatan Bajau Balangingi yang paling besar ialah di Kota Belud. Hingga hari ini mereka dikenali sebagai Bajau Kota Belud.

     Hari ini yang memimpin politik Sabah kebanyakannya dari kalangan Iranun dan Bajau Balangingi setelah kejatuhan kepimpinan kaum Suluk yang ketika dulu gemilang bersama Tun Mustafa.

 

Kaum Melayu Momogun-Ayta

Dikatakan bahawa kaum yang paling besar di Sabah ialah kaum Momogun yang terdiri dari Kadazan-Dusun, Lotud, Tambunowa, Idaan, Sungei, Rungus, Murut, Bisaya dan beberapa sub-etnik dari kaum-kaum tersebut. Ahli linguistik mengaitkan kaum-kaum asli ini sebilangannya adalah satu keluarga. Kaum Murut contohnya  dikatakan adalah dari suku Dayak Sarawak yang bergerak dari Kalimantan sebagai tempat asalnya. Murut adalah keluarga terdekat kaum Iban, Penan, Kayan, Punan, Kenyah dan lain-lain yang bertebaran yang bermula pada awal kurun ke-10 ke seluruh Borneo. Manakala kaum Bisaya pula adalah berasal dari Kepulauan Filipina, samada mereka dari kumpulan Hiligaynun, Surigaonun, atau dari kelompok mana-mana sub-etnik Ayta. Kebanyakan mereka dibawa ke Borneo oleh para ahli ekspedisi mencari hamba iaitu Iranun dan Balangingi serta Tidung untuk bekerja diladang atau kebun para Pangeran dan Datu di Borneo. 


Sekiranya kita mengumpulkan data jumlah penduduk Sabah ketika ini, kemungkinan besar kaum Momogun bukanlah yang membentuk majoriti kaum di Sabah sekiranya dibandingkan dengan kaum dari Sulu-Mindanao seperti Suluk, Bajau dan Iranun. Kaum Bajau sendiri sebagaimana kaum Suluk adalah yang paling ramai menduduki kawasan sekitar pantai seluruh Sabah. Dari Tawau hingga ke Kudat sampailah ke Teluk Kimanis adalah majoriti Suluk dan Bajau, itu belum termasuk Iranun. Berikut adalah beberapa kenyataan tentang Momogun:

 

  •       Berasal dari Kalimantan, Vietnam, Burma dan Kepulauan Filipina. Mereka dikenali sebagai kaum asli sejak sebelum penghijrahan mereka ke Borneo Utara. Pekerjaan merek ialah bercucuk tanam atau berkebun dengan mengamalkan pertanian pindah.
  •       Migrasi atau perpindahan mereka ke Borneo Utara adalah dalam dua keadaan iaitu Migrasi Sukarela (datang dari Kalimantan sejak dahulu kala) dan Migrasi Paksa (datang dari luar Pulau Borneo yang dibawa oleh ekspedisi Iranun, Balangingi dan Tidung).
  •       Kaum-kaum Momogun sejak zaman dulu suka berumah ditengah hutan belantara kerana mengelak dari ekspedisi Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung hingga hari ini. Kerana ketika dulu, ekspedisi mencari hamba belayar di tepi pantai pantang ternampak asap dari hutan berdekatan terus sahaja mengepungnya dan menangkap mereka untuk dijual ke daerah lain.
  •       Mereka mengamalkan kepercayaan animisme dan amalan-amalan pagan yang lain sebagai identiti. Budaya mereka bukan budaya perang sebab itu berusaha mengelak pertembungan dengan kaum lain dan mereka senantiasa berpindah randah.
  •       Berbanding Murut yang kehidupannya banyak dipengaruhi oleh budaya perang Dayak Kalimantan yang pakar berburu, Momogun lainnya lebih suka mengekalkan keamanan.
  •       Untuk membezakan kaum Dayak dan kaum lain ialah berpandukan pakaiannya. Kaum dayak biasanya rambut dipotong seperti tempurung. Senantiasa membawa tombak dan parang panjang (seperti parang Iban) di pinggang atau pun sumpit. Tidak memakai baju cuma menutup bahagian sulit dengan kulit kayu atau kain dililit panjang yang sebahagiannya dibiar berjuntai ke bawah.
  •       Kadazan-Dusun pula sama dengan kaum Lotud dan Rungus serta etnik-etnik lain yang pakaiannya berwarna-warni penuh manik dan perhiasan. Mereka sama dengan etnik-induk mereka dari Yunnan, Indochina atau Vietnam.
  •       Kaum Sungei dan Idaan dikatakan adalah satu keluarga, mereka seperti lebih hampir dengan kaum Dayak di Kalimantan. Keluarga terdekatnya ialah kaum Tidung sendiri. Sedangkan Tidung dikatakan adalah berasal dari suku kaum Kayan dari Kalimantan yang tentunya tergolong dari keluarga Dayak.
  •       Kaum Sungei mengikut kajian telah lama berada di Borneo Utara sejak kurun ke-7 lagi. Mengikut tradisi lisan asal keturunan mereka adalah dari keluarga Maharaja China yang datang ke Borneo Utara yang lokasinya di Sungei Kinabatangan (Cina-batangan).
  •       Mengikut beberapa kajian, kaum Sungei sebenarnya adalah berasal dari kaum Idaan sendiri. Mendapat nama Sungei setelah orang Inggeris datang meneroka Sungai Kinabatangan dan tiba-tiba terlihat satu kaum ditepi Sungai (berpakaian seperti kaum Dayak) maka dinamakan kaum tersebut sebagai Orang Sungai.
  •       Kaum Sungei, Idaan dan Tidung sangat rapat hubungannya dengan kaum Suluk semenjak era Kesultanan Sulu lagi sehingga kini. Oleh kerana terlalu rapat hubungannya maka ramai dari suku kaum ini memeluk Islam dan hidup bersama dengan kaum Suluk dari muara-muara sungai dan di kampung-kampung terpencil di sekitar Sungai Kinabatangan sehingga ke Sungai Sugut.
  •       Hari ini kaum-kaum asli atau Momogun atau pun Ayta Dayak menjadi kebanggaan rakyat Sabah kerana punya budaya unik dan berwarna-warni serta sikap mereka yang lemah lembut.

 

Kaum Melayu Indonesia

Kaum Indonesia yang berada di Borneo Utara yang paling awal ialah kaum Tidung yang berasal dari sekitar Tarakan Kalimantan kemudian diikuti oleh kaum Bugis dari Sulawesi dan Banjar dari Kalimantan. Sebagaimana kaum Sulu begitu jugalah bentuk kehidupan kaum Tidung dan Bugis ini. Keduanya punya sejarah peperangan yang panjang merentas lautan. Kaum Bugis di Sabah terbahagi beberapa etnik seperti Penrang, Bone, Makassar, Tator dan beberapa etnik lagi. Kaum Tidung telah muncul kerajaannya pada kurun ke-11 sedangkan kerajaan-kerajaan Bugis telah muncul kemudiannya. Kesultanan Bugis dan perjuangannya menentang Belanda adalah yang masih dikenang oleh bangsa Indonesia seperti juga sejarah kegemilangan Acheh dan sebagainya.


PENUTUP

Peribumi Sabah akhirnya difahami sebagai kaum yang menduduki Borneo Utara sejak berabad-abad lamanya sehingga kemerdekaannya dengan menyertai Persekutuan Malaysia 1963. Tidak kiralah mereka itu datang dari mana asalkan yang datang itu telah menjadi sebahagian dari sejarah Borneo Utara sebelum merdeka lagi hingga kini. Apa yang lebih penting ialah setiap kaum dan keturunan mengerti akan peranan masing-masing sebagai warga Sabah yang senantiasa mengekalkan keamanan dan kestabilan. Sentimen perkauman sekiranya dilayan dan dikipas-kipas sudah tentu lebih banyak mengundang keburukan berbanding kebaikan. Kerana, setiap pergolakan pasti akan dirujuk kepada sejarah. Itulah rujukan yang paling ampuh sebagai cermin diri kepada sentimen perkauman.


Dari semua keterangan di atas, terbukti kaum Suluk adalah antara kaum peribumi asal Borneo Utara. Samada Suluk itu dikatakan berasal dari Sulu atau pun yang menduduki Borneo Utara semenjak abad ke-7 lagi, mereka tetap sebahagian peribumi Borneo Utara. Ini kerana sejak sekian lama kaum Suluk dari Sulu tidak dapat dipisahkan dengan bumi tersebut atas dasar faktor sejarah sekali pun ketuanan mereka tidak lagi diterima ketika ini. Semua individu Suluk yang ada di Kepulauan Sulu hari ini sejak dahulu kala lagi masing-masing mempunyai keluarga di Borneo Utara. Ada yang nenek moyang mereka setelah dilahirkan di Borneo, berhijrah pula ke Sulu dan demikian pula sebaliknya, ada yang nenek moyang mereka dilahirkan di Sulu kemudian datang berhijrah ke Borneo yang masih ada sampai hari ini. Hingga hari ini pun, penjenamaan tempat-tempat di Sabah banyak yang datangnya dari bahasa-bahasa Sulu. Hatta nama Sabah itu adalah datangnya dari bahasa Suluk sendiri, yang merujuk kepada sejenis pokok pisang yang orang-orang Sulu namakan “saing Sabba” atau pun “pisang Sabba”.


Sejak sekian lama kaum Sulu menjadi tuan kepada Borneo Utara lantaran mereka mampu menjadi pembela kepada kaum-kaum lain. Kebangkitan mereka menjadi inspirasi kepada perjuangan membela bangsa dan tanah air sesiapa sahaja hingga kini.


Hari ini, terlalu ramai suara-suara sumbang yang tidak berpijak dibumi nyata. Kaum Suluk dilabel sebagai “bukan peribumi” dan desakan untuk menghantar mereka kembali ke Sulu tidak pernah lekang dari ucapan-ucapan mereka. Seolah-olahnya kaum Suluk adalah warga Filipina yang tidak layak duduk di negeri Sabah. Ini kerana semua warga Suluk dicap sebagai PTI walau pun nenek moyang mereka telah lama di Sabah semenjak nama asal Borneo Utara lagi. Selain PTI, pelarian perang 1972 dari Sulu juga turut menerima nasib yang sama sebagai yang tidak layak dibela, walau pun mendapat hak dan pengiktirafan dari PBB atau UNHCR Amnesty turut juga dikecam hingga mereka teraniaya. Kerajaan pusat didesak supaya “Orang Malaya” sahaja yang memelihara para pelarian perang 1972 Filipina itu, bawa mereka ke Semenanjung Malaysia kerana hanya “Orang Malaya” sahaja yang mahu sedangkan “Sabahan” tidak mahu menerima pelarian ini. Dakwaan bahawa IMM13 adalah produk Semenanjung, sebab itu dikatakan Semenanjung Malaysia yang bertanggungjawab bukannya Sabah.


PTI dengan Pelarian Perang ada perbezaan. PTI (Pendatang Tanpa Izin) adalah datang secara ilegal tanpa Pas Perjalanan Sah untuk masuk kemana-mana negara berdaulat seperti Malaysia dengan tujuan mencari pendapatan atau penghidupan yang lebih baik. Manakala Pelarian Perang (Selamatkan diri dari peperangan) adalah masuk kemana-mana negara berdaulat kerana terdesak selamatkan diri dari terbunuh. Dalam konteks Pelarian di Sabah, mereka diberi IMM13 oleh Jabatan Imegresyen Malaysia (kerjasama UNHCR) sebagai tanda mereka Pelarian Perang Filipina semenjak 1972.


Kekeliruan rakyat tempatan Sabah terhadap orang-orang Suluk yang masih berniaga di sekitar KK, Sandakan dan ditempat-tempat lain yang mereka ingat adalah PTI adalah salah sangka belaka. Kerana sebelum merdeka lagi kaum Suluk sudah memang membanjiri sekitar Sabah malah ketika Sabah bergelar North-Borneo lagi mereka telah ada sebagai kuasa dominan. Generasi muda Sabah hari ini perlu belajar sejarah kewujudan bangsa mereka di Sabah sebagai motivasi kearah kamanan dan kestabilan. Kejahilan tentang sejarah akan menyebabkan salah faham yang sudah tentu akan menjadi bibit perpecahan sesama kaum di masa-masa akan datang. Sebenarnya ia satu kebimbangan yang mempunyai asas.


Kesalah fahaman atau kekeliruan boleh diperbetulkan dengan pendidikan. Kekeliruan terhadap kaum Sulu di Sabah dengan melabel mereka dengan PTI kesemuanya perlu diperbetulkan. Contohnya, seperti orang luar datang ke Kelantan, akan keliru mengenal antara warga Melayu Kelantan (Malaysia) dan Warga Melayu Pattani (Thailand) disebabkan menutur slanga Melayu/Jawi yang hampir sama, yang membezakan ialah Passport Thai nya atau MYkadnya. Ini juga berlaku kepada warga Suluk di Sabah yang terbahagi empat:


1-Warga Sulu Sabah (MYkad-ini biasanya nenek moyangnya telah ada di Sabah sebelum Merdeka), 

2-Warga Sulu Pelarian (IMM13), 

3-Warga Sulu PTI (Tanpa status samada Filipina atau Malaysia-ini biasanya Mujahidin MNLF, MILF, Abu Sayyaf atau atas pagar),

4-Warga Sulu Filipina (Punya Passport Filipina).


"Membungkus" mereka semua dengan istilah PTI adalah satu kesilapan. Kalau sudah diketahui tapi masih pura-pura tidak tahu maka ini adalah satu perkara yang amat malang. Perlulah diperjelaskan bahawa, tuduhan-tuduhan terhadap kaum Suluk samada dari Sulu atau pun yang telah menjadi warga Sabah sebagai penjenayah atau perampas Sabah, justeru mereka tidak layak duduk di bumi Sabah adalah satu tuduhan tanpa pertimbangan. Tuduhan kepada kaum Sulu sebagai “perampas Sabah” ternyata adalah satu kejahilan. Satu tuduhan yang tidak berasas kerana tidak didasarkan kepada fakta sejarah. Kepada perlakuan jenayah, itu sebenarnya tidaklah mengira kaum dan keturunan siapa sahaja. Sebab itu hal penangkapan dan menghukum kepada segala pesalah jenayah perlulah disokong demi persekitaran yang aman dan terjamin di bumi Malaysia ini. Kerana hukuman terhadap penjenayah tetap dilakukan tanpa mengira PTI atau warganegara.


 

Penyusun: Asreemoro   

Tajuk: Kaum Suluk Sebagai Peribumi Sabah : Isu Melayu & Sejarah Migrasi Borneo.

Penterjemah bahan Inggeris: Neldy Jolo  

Pembantu semakan bahan: Abdelnajir Yasin

Hakcipta terpelihara © Julasri Hajad dan Asreemoro Studio & Enterprise 2008.

3 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum saudara Asree. Syabas dan Tahniah!

Sbg sesama Islam sy berbangga dgn hasil tulisan tuan. Namun sbg cendikiawan @ org yg terbabit dlm bidang keilmuan sy rasa terdapat beberapa fakta yg harus diperbetul & diperincikan.

Lantaran kurangnya rujukan & kajian ilmiah mengenai peribumi Sabah maka org Sabah sendiri sukar menafikan fakta dlm tulisan tuan. Atau mgkin mreka tak endah pun kerna kdudukan mreka di Sabah yg dianggap stabil sbg 'Pribumi'.

Sbg seorg penulis mmg masing2 punya anutan & kepercayaan tersendiri dlm penulisan mreka. Sy tidak memarahi tuan atas kesilapan fakta atas kefahaman sy trhadap anutan tulisan tuan iaitu 'Sejarah Alternatif'.

Tidak dinafikan bidang 'Sejarah Alternatif' tlh wjud sekian lama. Tp itu sy takkan sentuh.

Sila rujuk tulisan & fakta tuan spt berikut:

1. “Kaum terbesar dari Sulu selain dari Tausug ialah Sama Bajau, manakala Yakan adalah ketiga terbesar. Manakala kaum dari Mindanao pula ialah kaum Iranun, Maguindanao, Maranao dan beberapa kaum Ayta (Dayak) seperti kaum Bisaya, Suba’anun, Hiligaynun, Kagayanun dan Surigaonun.”

2. “Iranun dan Balangingi juga turut menangkap kaum Bisaya dan kaum Ayta yang lain dari kepualauan Filipina lalu menjualnya ke Sulu, Borneo dan Makassar.”

3. “Manakala kaum Bisaya pula adalah berasal dari Kepulauan Filipina, samada mereka dari kumpulan Hiligaynun, Surigaonun, atau dari kelompok mana-mana sub-etnik Ayta. Kebanyakan mereka dibawa ke Borneo oleh para ahli ekspedisi mencari hamba iaitu Iranun dan Balangingi serta Tidung untuk bekerja diladang atau kebun para Pangeran dan Datu di Borneo. “

Sbg seorg Bisaya yg mengkaji ttg Bisaya sy kira perlu 'pentarikhan karbon' & 'klasifikasi fakta' lbh jelas. Mgkin brgkali sy trlalu naif dr segi ilmu & kajian ttg bgsa sy=Bisaya. Mgkin sy kurg berilmu drp tuan mgenai bgsa sy sndiri. Mgkin bgsa kami bertuah berada di bumi Sabah berbanding bangsa Tausug (Sulu) yg ditindas sejak dulu (yg sntiasa kami doakan mndapat bantuan Allah dlm prjuangan mreka).

Perkara 1 & 2 adlh penjelasan peristiwa. Manakala Perkara 3 adlh kputusan bhwa bgsa Bisaya adlh dr Filipina. Penjajaran kronologi seharusnya meletakkan masa bagi perkara 1,2 & 3. Itulah kekurangan dlm bidang Sejarah Alternatif.

Apabila jadual silang dilakukan kt dapati trdpat perbezaan & kekeliruan yg dipersoalkan. Kekeliruan & persoalan inilah yg mbawa kpd batas keraguan munasabah. Ketakutan sekarang ialah pribumi Sabah tidak endah mengenai fakta dlm tulisan tuan @ tdk mpyai ilmu utk mengadun fakta ditambah dgn kurangnya rujukan & penerbitan kajian sejarah bangsa pribumi yg mybabkan mreka mnerima fkta keliru sbg btul & strusnya diterima sbg sumber yg tidak dpt digugat pd masa depan.

Semoga Allah melindungi kita semua dgn keilmuan yg kt ada. Hanya Allah saja yg dpt membantu kt mgenai ssuatu sama ada yg tersirat & tersurat. Wallahu a'lam bissawab.

April13 berkata...

Aslm saudara,

Menarik. cuma saya nak komen satu je sebab tertarik dgn komen oleh saudari Besah Alya.

Di dlm buku berjudul, Sejarah Brunei Menjelang Kemerdekaan, ( http://pustaxa.dbp.gov.my/pustakadigital/pd/bahan/buku/penuh/34584.pdf ) penulisan Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hj Hakib. Menurut buku ini, suku Bisaya di sabah adalah berbeza dengan visaya di Filipina dlm byk aspek, bahasa, budaya dsbgnya. Oleh itu, adalah janggal untuk mengkategorikan suku Bisaya di Sabah (kawasan pantai barat) sebagai salah satu drp golongan Tausug Filipina. Seperkara lagi, suku Bisaya ini juga merupakan salah satu drp 7 suku/puak yg diiktiraf sebagai bangsa melayu sejati brunei atau pun "rakyat sultan brunei yang sah" di mana seperti yg kita sedia maklum, di brunei, golongan selain drp bangsa melayu brunei (7 puak ini) tidak diiktiraf sebagai rakyat sultan atau warganegara sejati secara hak.

Tanpa Nama berkata...

Asalamualaikum sunguh menarik article saudara.cuma nak betulkan menganai suku bisaya kerana aku dari kaum bisaya bertangungjawb membetulkan kesalahan .kaum bisaya di sabah.brunei.dan serawak bukanlah dari filifina seperti dakwaan saudara . semua kaum bisaya yang ada sekarang semua asalnya dari beaufort(sungai padas,kg padas).tiada persamaan suku bisaya sabah dan visaya filifn baik dari adat.bahasa.maupun rupa antara kedua suku ini.sebutan hampir sama tetapi tidak serupa.bahasa kaum bisaya hampir sama dngan kaum tatana(subetnik dusun) bahkan pakaian  tradisional bisaya juga sama dngan kaum dusun .ini membuktikan kaum bisaya tidak pernah kemanax2 dan memang berawal di sungai padas beaufort.amatlah mustahil jika kaum bisaya ini berasal dari pilipin dan dapat menukar sepenuhnya bahasa mereka ,dari bahasa visaya tukar bahasa baru?amatlah mustahil.ini membuktikan tiada kaitan langsung antara suku bisaya borneo(sabah.brunei.sarawak)dengan visaya .hanya sebutan hampir sama tetapi tiada persamaan. Terima kasih.