Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

11- PEWARIS KEDUA

Mengenali Pewaris Kedua Keluarga Diraja Sulu
.
PERKATAAN Pewaris Raja Kedua (The second heir-apparent) iaitu panggilan Maharaja Adinda atau Arinda ini ada disebut oleh Prof. Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslims in the Philippines mukasurat 393 dan dalam buku terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka "Islam di Filipina" oleh Shamsuddin Jaafar, pada mukasurat 486. Perkataan "Maharajah Adinda" tersebut juga ada ditulis oleh Pehin Dato' Dr. Mohd. Jamil Al-Sufri (Pengarah Pusat Sejarah Brunei) dalam bukunya Tarsilah Brunei II, iaitu pada lampiran 251, dan dalam buku "Ang Philipinas" -ARMM Edisyon, pada mukasurat 37. Selain itu, penulis Rita Turban dari Philippine juga ada menulis artikel tentang kewujudan keluarga Maharajah Adinda ini.
.
Kewujudan dua waris Kesultanan Sulu ini juga ada dilambangkan di dalam bendera Kesultanan Sulu. Di mana, Pewaris Pertama dilambangkan dengan lambang Keris Lurus. Dan Pewaris Kedua dilambangkan dengan lambang Tombak atau Bujak.
.
Kedua waris-waris ini adalah zuriat dari Sultan Badaruddin-I ibni Sultan Salahuddin-Karamat @ Pangeran Bakhtiar ibni Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I, yang memerintah sekitar tahun 1718 sehingga 1732.
.
Putera Sultan Badaruddin-I yang sulung, (iaitu dari isteri pertamanya seorang gadis dari Soopeng @ Soppeng, Sulawesi), telah diberi nama Datu Lagasan. Setelah menaiki takhta Kesultanan Sulu, baginda menggunakan nama Sultan Azimuddin atau Sultan Alimuddin-I. Namun selepas Pembaptisan baginda oleh padri-padri Spanyol di Manila sekitar tahun 1750, baginda telah menggunakan nama Don Fernando de Alimuddin (The Christian Sultan of Jolo). Jika mengikut hukum undang-undang kerajaan kesultanan Islam, hak Sultan Azimuddin / Alimuddin @ Don Fernando de Alimuddin dan keturunannya ini telah termansuh lantaran Pembaptisan baginda itu ke agama kristian.[1]
.
Putera Sultan Badaruddin-I yang kedua, iaitu dari isteri keduanya (adalah merupakan seorang puteri dari Raja puak Tidung atau Tirun di Borneo), diberi nama sebagai Datu Bantilan. Semasa kekandanya Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I menjadi Sultan, beliau dilantik sebagai raja muda dan dipanggil sebagai Raja Muda Datu Bantilan.
.
Sengketa Bermula
Sekitar tahun 1748, telah berlaku perbalahan di antara dua bersaudara ini. Oleh kerana Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah memberikan kebenaran kepada para Jesuit dan Mubaligh Kristian Spanyol untuk menyebarkan doktrin agama Kristian di Sulu, maka perkara tersebut telah mendatangkan kemarahan kepada saudaranya Raja Muda Datu Bantilan. Dengan sokongan beberapa rakyat Sulu serta orang-orang yang setia kepada Raja Muda Datu Bantilan, mereka telah pergi bertemu Sultan Azimuddin-I. Dalam perbalahan itu, Raja Muda Datu Bantilan telah melontarkan tombak dan telah terkena kaki kekandanya Sultan Azimuddin-I (yang melontar ialah hulubalang Raja Muda Datu Bantilan dan ini diakui sendiri oleh Raja Muda Datu Bantilan @ Sultan Muezuddin itu kemudiannya).[2]
.
Bagi mengelakkkan perbalahan itu berpanjangan, akhirnya Sultan Azimuddin-I bersama putera dan puteri serta beberapa orang pengikutnya yang setia telah bertolak ke Zamboanga, dan kemudiannya ke Manila.
Di Manila, baginda dan rombongannya diberi sambutan dan layanan yang baik oleh para pegawai Spanyol dan para Jesuit[3] Kristian. Mungkin baginda tidak menyedari bahawa kebaikan yang diberikan oleh pihak Spanyol kepadanya adalah sebagai satu muslihat. Dengan kedudukan baginda sebagai Sultan Sulu, maka mereka bolehlah menyebarkan doktrin agama Kristian terhadap rakyat Sulu.
.
Datu Bantilan Menaiki Takhta
Semasa ketiadaan Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I di Sulu, beberapa ahli Majlis Diraja Sulu dan rakyat Sulu telah bersetuju melantik Raja Muda Datu Bantilan menaiki takhta Sulu dan menjadi Sultan Sulu dengan gelaran sebagai Sultan Bantilan Muizzuddin. Baginda memerintah dari tahun 1748 sehingga 1763.
.
Di masa zaman pemerintahan Sultan Bantilan Muizzuddin inilah sistem pemerintahan Kesultanan Sulu agak lebih teratur dengan ketersusunan para kabinetnya dengan jawatan yang mereka sandang. Mengikut rekod, Sultan Bantilan ini pernah melawat ke negara China untuk berjumpa dengan Maharajah China dan baginda adalah satu-satunya Sultan Sulu yang menghadiahkan secupak tanah dari Sulu sebagai kenangan dari kerajaan Kesultanan Sulu untuk Kerajaan Kayangan China.
.
Selepas pemerintahan Sultan Bantilan, takhta kesultanan Sulu diberikan kepada anandanya yang kemudian bergelar Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II. Baginda memerintah dari tahun 1763 sehingga 1764 buat kali pertama. Selepas itu takhta diberikan kepada Sultan Israil ibni Sultan Azimuddin-I, yang memerintah dari tahun 1764 sehingga 1768.
.
Pada tahun 1768 hingga 1789 Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II menaiki takhta Kesultanan Sulu semula untuk kali ke-2.
.
Pada zaman pemerintahan Sultan Azimuddin-III ibni Sultan Sharafuddin, putera Sultan Azimuddin-II yang bernama Datu Bantilan (seperti nama datuknya) telah dilantik menjadi Raja Muda Sulu dan dipanggil sebagai Raja Muda Datu Bantilan.
.
Selepas Sultan Azimuddin-III menduduki takhta Kesultanan Sulu selama 40 hari, baginda telah mangkat kerana tularan wabak penyakit cacar yang begitu menular pada masa itu. Ketika itu ramai datu-datu Sulu telah melarikan diri dari Sulu untuk mengelakkan dari dijangkiti penyakit tersebut. Khabarnya Raja Muda Datu Bantilan turut melarikan diri ke wilayah Borneo Utara (Sabah).
.
Setelah wabak reda, Raja Muda Bantilan kembali semula ke Sulu untuk menduduki takhta tersebut kerana beliau adalah Raja Muda sebelum itu. Malangnya takhta Sulu telah diduduki oleh saudara kepada Sultan Azimuddin-III yang menggelarkan dirinya sebagai Sultan Aliuddin. Inilah penyelewengan pertama oleh keluarga pewaris pertama ke atas sistem Protokol Diraja atau "Tartib Kesultanan Sulu".
.
Raja Muda Datu Bantilan cuba berusaha untuk merampas kembali takhta Sulu yang sepatutnya milik beliau. Maka pada tahun 1808, beliau bersama dengan 500 orang pengikutnya telah menyerang istana Sultan Aliuddin. Tetapi, beliau tidak berjaya kerana Sultan Aliuddin mempunyai sokongan yang kuat pada masa itu.
.
Sebelum kemangkatan Raja Muda Datu Bantilan pada tahun 1812, beliau telah mengamanahkan kepada putera sulungnya Datu Aranan atau Adanan untuk mengambil kembali takhta Kesultanan Sulu yang sepatutnya milik Pewaris Kedua. Dalam usaha beliau menuntut kembali takhta Sulu, Datu Aranan telah mendapat sokongan dari pihak British pada 1814, kerana beliau telah dianggap sultan oleh pihak British ketika itu. Sir John Hunt adalah merupakan seorang ejen British yang sering berurusan dengan Datu Aranan.
.
Aranan Puyo Menaiki Takhta
Namun hanya selepas pemerintahan Sultan Pulalun ibni Sultan Jamalul Kiram-I iaitu pada tahun 1862, barulah takhta Kesultanan Sulu diberikan secara mutlak kepada Datu Aranan. Baginda kemudiannya menaiki takhta dengan gelaran Maharajah Arinda/Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo. Malangnya kerana umur yang lanjut, selepas seminggu sahaja di atas takhta, baginda kemudiannya memberikan takhta Kesultanan Sulu kepada putera Sultan Pulalun yang bernama Datu Jamalul-A’zam @ A'lam. Lantaran tempoh masa menduduki takhta oleh Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini adalah singkat dan tidak memenuhi protokol/Tartib (iaitu seorang Sultan Sulu sekurang-kurangnya menduduki takhta selama 40 hari, sepertimana Sultan Azimuddin-III pada tahun 1808), sebab itu nama baginda tidak disenaraikan di dalam "Salasilah Sulu".
.
Di masa perletakan takhta oleh Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ini, takhta Sulu menjadi rebutan antara Datu Jamalul A’zam @ A'lam dan Datu Daniel (Ahli kabinet Majlis Diraja Sulu yang berjawatan sebagai Datu Amir Bahar). Namun, diatas kuasa dan pengaruh dan sokongan Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo pada masa itu, akhirnya takhta telah dapat diberikan kepada Datu Jamalul A’zam @ A'lam, yang menaiki takhta Kesultanan Sulu dengan menggelarkan diri sebagai Sultan Jamalul A’zam @ A'lam.
.
Tidak beberapa lama setelah menyerahkan takhta Kesultanan Sulu kepada Sultan Jamalul A’zam @ A'lam, Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini telah berhijrah ke Pulau Siasi dan menetap di sana. Sehingga kini, makam baginda masih boleh dilihat bersama dengan makam kerabat-kerabat Keluarga Diraja Maharajah Adinda yang lain, di satu kawasan pemakaman yang dipanggil kawasan Pemakaman Keluarga Maharajah Adinda di Tanjung Siasi.
.
Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo ini telah melahirkan beberapa orang putera dan puteri dari isteri pertama dan isteri ketiga baginda. Isteri kedua baginda tiada melahirkan zuriat. Putera-putera baginda adalah seperti, Datu Amirul, Datu Mohammad Sheikh/Seh/Sie dan Datu Laja. Dan puteri-puteri baginda adalah seperti, Dayang-Dayang Indung dan Dayang-Dayang Tabi-Tabi. Zuriat keturunan baginda ini telah beranak-pinak dan telah menetap di seluruh kawasan di Sabah dan di wilayah Sulu.[4]
.
Terlucutnya Hak Pewaris Pertama
Dari fakta dan kenyataan-kenyataan di atas, telah dapat dibuktikan bahawa Pewaris Kedua Kesultanan Sulu iaitu Keluarga Maharajah Adinda sememangnya wujud dan mempunyai hak ke atas Kesultanan Sulu sepertimana hak yang ada kepada Pewaris Pertama Kesultanan Sulu. Maka hak keturunan keluarga Maharajah Adinda tidaklah boleh dinafikan oleh sesiapa pun.
.
Dengan keterlucutan hak Pewaris Pertama Kesultanan Sulu samada pada masa Pembaptisan Sultan Azimuddin/ Alimuddin-I @ Don Fernando de Alimuddin pada tahun 1750, atau samada semasa pihak keluarga Kiram menandatangai Perjanjian Kiram-Bates Treaty pada 1899 dan Perjanjian Carpenter tahun 1915 ataupun semasa selepas kemangkatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936, iaitu dengan pengisytiharan oleh Presiden Manuel L.Quezon dalam Memorendum 20 hb September 1937, bahawa beliau tidak akan mengiktiraf lagi mana-mana Penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II. (perkara ini hanyalah melibatkan keluarga Pewaris Pertama. Keluarga Pewaris Kedua adalah tidak terlibat). Bolehlah dikatakan mereka telah kehilangan hak ke atas Kesultanan Sulu, kini hanya boleh diselamatkan atau dituntut kembali oleh Pewaris Kedua iaitu oleh Keluarga Maharajah Adinda sahaja seperti mana yang dimaksudkan dalam Protokol Kesultanan Sulu (Tartib Sulu) itu.[5]


Nota kaki:

[1] Islam di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 322-363 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988). Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah berjaya dibaptiskan dalam keadaan tergesa-gesa pada 28 April 1750 di gereja, Pangasingan, dan nama barunya ialah Fernando-I. Dalam sejarah kesultanan Sulu inilah satu-satunya Sultan yang yang dibaptiskan sebagai seorang Kristian yang menjadi kegembiraan Spanyol di Filipina. Malang bagi Spanyol kerana kegembiraan mereka tidak berpanjangan bila selepas beberapa tahun mereka telah mengetahui, sebenarnya hanyalah helah Sultan Azimuddin itu dibaptis agar mendapat bantuan ketenteraan demi mengukuhkan kekuasaannya di Sulu. Walaubagaimana pun baginda tetap Islam sehingga akhir hayatnya.
.
[2] Ibid, m.s. 358.
.
[3] Penyebar ajaran Kristian Katolik.
.
[4] Untuk melihat secara jelas sila lihat Salsilah Aranan susunan YM Datu Ali Aman.
.
[5] Sila lihat jadual kenaikan takhta (Tartib) kesultanan Sulu antara A, B dan C.

Tiada ulasan: