Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

14- SALASILAH MAHARAJA ADINDA (ARANAN)

Satu Pendedahan Maklumat Tentang Waris Raja Kedua Yang Tidak Diketahui Dunia Sebelum Ini.

BERDASARKAN sejarah Kesultanan Sulu sama ada yang tercatat dalam tulisan-tulisan Najeeb Saleeby, Nicholas Tarling, Prof. Cesar, terdapat nama Maharaja Adinda yang dipanggil ‘Pewaris Takhta ke-2’. Prof. Cesar menyebut “Selain daripada Raja Muda dan Maharaja Adinda (Waris Raja Kedua),...” [1] dengan jelas menyebut nama Maharaja Adinda dan dalam kurungan Waris raja kedua. Yang dimaksudkan ialah Maharaja Adinda Muhammad Adanan (Aranan) Puyo. Sebab itu cucu-cicit keluarga ini menisbahkan nama keluarga mereka dengan Aranan. Aranan Puyo itu masih diiktiraf oleh ahli sejarah sebagai pewaris takhta kedua seperti yang tertera dalam bendera Sulu itu. Gelaran Maharaja Adinda juga adalah panggilan kepada Sultan Bantilan Muizzuddin iaitu adinda kepada Sultan Azimuddin @ Alimuddin-1. Cicit Maharaja Adinda Sultan Bantilan Muizzuddin ini juga turut digelar Maharaja Adinda iaitu Sultan Muhammad Adanan (Aranan) Puyo.  Ahli sejarah turut menggelar mereka (Maharaja Adinda) sebagai pewaris takhta kedua dan perkara ini tertera dalam Protokol Sulu atau Tartib Diraja Sulu.[2]

Beberapa pihak menghubungi kami menjelaskan tentang kepalsuan penuntut takhta dari Keluarga Aranan itu. Kami tidak membantah bangkangan mereka tapi kami menyoal beberapa perkara kepada pembangkang ini dan malangnya mereka sendiri tidak dapat menjelaskan secara fakta kepada soalan kami. Kami ingin menyatakan disini bahawa kami bukannya penyokong fanatik Keluarga Maharaja Adinda ini kerana sekiranya ada sesiapa yang tahu dan punya bukti secara fakta tentang hal-hal Kesultanan Sulu ini kami bersedia menerimanya dengan tangan dan hati terbuka. Sekiranya ada pihak yang membawa maklumat tambahan atau pembetulan, kami berterima kasih kerana inilah yang kami inginkan.
.
Sebelum kami senaraikan Salasilah Keluarga Maharaja Adinda ini kami ingin menjelaskan satu perkara. Bahawasanya nasab kesemua Sultan-sultan Sulu yang ada pada hari ini sama ada dari Keluarga Kiram, Shakiraullah ataupun Aranan bukanlah dari susur galur Sultan Syariful Hashim @ Sayyid Abu Bakar, sebenarnya adalah dari keturunan Sultan Syarif Ali Barakat (Sultan Brunei yang ke-III). Keturunan Sultan Sulu yang pertama telah terputus nasabnya setelah beberapa generasi.
.
Nasab yang bersambung dengan kesultanan Sulu dengan kesultanan Brunei ialah melalui perempuan.[3] Islam mengira nasab keturunan pewarisan melalui bapa atau anak lelaki. Walaupun wanita dikira keturunan juga tetapi bukan pewarisan. Sebab itu takhta kesultanan Sulu diwarisi dari keluarga sebelah lelaki sahaja. Maka kita akan melihat susunan atau heirarki kesultanan Sulu Maharaja Adinda Aranan ini dimulai dari Sultan Brunei Syarif Ali Barakat.
_____________________________________________
Fasa 1 (Kesultanan Brunei)

1. SULTAN SHARIF ALI [4] (Barakat Ali - Sultan Brunei yang ke-III - keturunan Sayyidina Hassan r.a.)
  • Menaiki takhta pada 1425 hingga 1432.
  • Baginda berasal dari Makkah yang sebelumnya menjadi penguasa Makkah.
  • Melarikan diri dari perebutan kuasa politik antara syarif-syarif Makkah ke Nusantara.
  • Baginda juga adalah seorang ulamak dan datang ke Brunei bersama misi dakwah.

2. SULTAN SULAIMAN (Sultan Brunei ke-IV)
  • Menaiki takhta pada 1432 hingga 1485.

3. SULTAN BOLKIAH @ NAKHODA RAGAM (Sultan Brunei ke-V)

  • Menaiki takhta pada 1485 hingga 1524.

4. SULTAN ABDUL KAHAR (Sultan Brunei ke-VI)

  • Menaiki takhta pada 1524 hingga 1533.

5. SULTAN SAIFUL RIZAL (Sultan Brunei ke-VII)

  • Menaiki takhta pada 1533 hingga 1581.

6. SULTAN HASSAN (Sultan Brunei ke-XI)

  • Menaiki takhta pada 1600 hingga 1617.
  • Ayahanda kepada (1)-Sultan Jalilul Akbar (Sultan Brunei), (2)-Sultan Muhammad Ali (Sultan Brunei), (3)-Sultan Tengah @ Sultan Omar Shah (Sultan Sarawak) Baginda ini telah dihantar menjadi Sultan di Sarawak (Di suatu kawasan bernama Tanjung Datu). Namun baginda ini telah dibunuh oleh salah seorang pengikut baginda di suatu kawasan yang dipanggil Sukadana. Putera Sulung baginda yang bernama RADIN SULAIMAN ibni Sultan Tengah, telah ditabalkan menjadi Sultan di Sambas, bergelar SULTAN SAIFUDDIN-I. Maka dari keturunan Sultan Saifuddin-I ibni Sultan Tengah ibni Sultan Muhammad Hassan inilah susur-galur Keluarga Diraja Sambas kini, (4)-Puteri (Berkahwin dengan Sultan Ahmad - Sultan Pahang -XI) dan anak ke (5)- Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu-1 (Sultan Sulu).
  • Beliaulah yang mempusakakan “Pulau-Janggi” (Sepong Janggi) kepada Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu-1 (Sultan Sulu) sebagai tanda atau lambang Keluarga Diraja Brunei. Pulau Janggi dipusakakan secara amanah kepada keluarga Maharaja Adinda Aranan (waris raja ke-2) dan pada 1978 ayahanda YM Datu Ali Aman iaitu YM Datu Aliuddin Haddis Pabila telah menyerahkannya kepada Muzium Sejarah Brunei dengan bantuan Pehin Prof. Dato Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri (Pengetua Pusat Sejarah Kesultanan Brunei). Pehin Prof. Jamil Al-Sufri dengan jawatankuasanya mengesahkan keaslian “Pulau Janggi” itu.

_____________________________________________


Fasa 2 (Kesultanan Sulu)


7. SULTAN MAWALLIL WASIT @ Raja Bongsu-I (Pangeran Maharajalela / Brunei)

  • Menaiki takhta pada 1610 hingga 1650.

8. SULTAN SALAHUDDIN KARAMAT @ PANGERAN BAKHTIAR

  • Menaiki takhta pada 1649/50 hingga 1680.


9. SULTAN BADARUDDIN-I @ Sultan Dungun

  • Menaiki takhta pada 1718 hingga 1732.

_____________________________________________

Fasa 3 (Maharaja Adinda Waris Kedua)

10. SULTAN BANTILAN MUEZZUDDIN

  • Menaiki takhta pada 1748 hingga 1763.
  • Beliau Juga digelar sebagai Maharaja Adinda (waris ke-2) iaitu adinda kepada Sultan Azimuddin @ Alimuddin-1 (Waris pertama).
  • Baginda menaiki takhta selepas Kekandanya (Sultan Azimuddin/Alimuddin-I) meninggalkan Jolo ke Zamboanga dan terus ke Manila pada sekitar tahun 1748.
  • Bermulanya bendera Sulu dengan berlambangkan keris dan tombak iaitu dua warisan.

11. SULTAN AZIMUDDIN @ ALIMUDDIN-II

  • Menaiki takhta dua kali.
  • Pertama pada 1763 hingga 1764.
  • Kedua pada 1778 hingga 1791.

12. PADUKA RAJA MUDA DATU BANTILAN @ Sultan Parang

  • Sepatutnya mengikut Protokol beliau menaiki takhta pada 1808 tapi takhta telah diambil gilirannya oleh Sultan Aliuddin.
  • Beliau telah berusaha mengambil semula hak giliran mereka sebagai pewaris ke-2 Kesultanan Sulu tapi gagal.

13. SULTAN MUHAMMAD ARANAN (ADANAN) PUYO

  • Beliau juga dikenali sebagai Maharaja Adinda Aranan (Adanan) Puyo sebelum jadi sultan.
  • Menaiki takhta secara rasmi pada 25hb September 1862.
  • Baginda dilahirkan pada 1791 dan wafat pada 1921. Beliau punya umur yang panjang sehingga mencecah umur 130 tahun.
  • Menaiki takhta hanya selama seminggu sebelum menyerahkan semula takhta kepada pewaris pertama dengan alasan sudah tua pada 1862.
  • Walaupun hanya seminggu menaiki takhta namun nilainya sangat besar disebabkan menaiki takhta seminggu adalah dikira sebagai mengesahkan sahaja protokol penggiliran takhta tersebut. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan ke-raguan keluarga Maharaja Adinda (pewaris kedua) dan para datu-datu terhadap protokol Sulu itu masih dipatuhi oleh pewaris pertama (walhal mereka tetap bersabar dengan kerenah keluarga Kiram & Shakiraullah).
  • Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo. Bersahabat dengan agen British yang berusaha membantunya menjadi Sultan Sulu lebih awal iaitu pada 1814, di masa Sir John Hunt (Seorang egen British) berada di Sulu.[5]
  • Ini bermakna baginda telah dikenali sebagai pewaris takhta Kesultanan Sulu lebih awal pada 1814 dan telah menaiki takhta secara rasmi pada 1862 (ketika ini baginda sudah tua).[6]

___________________________________________


Fasa 4 (Keluarga Maharaja Adinda Aranan)


SULTAN MUHAMMAD ARANAN PUYO ( Tiga orang Isteri)
Isteri Pertama: SITTI - Mempunyai seorang anak bernama YM Datu Halun (Harun).
Isteri Kedua: SHARIFAH - Tiada Zuriat.
Isteri Ketiga: ZALEHA @ ALING - anak-anaknya 1-Dayang Taung, 2-Dayang Indung, 3-Dayang Harijah, 4-Dayang Maliha @ Maling, 5-Datu Amirul, 6-Datu Muhammad Sheikh, 7-Datu Laja (RAJA).

Isteri Pertama: SITTI
Anaknya Datu Halun (Harun): Melahirkan 1-Dayang Nasirin, 2-Dayang Tabi Tabi, 3- YM Datu Makmun.

  • Datu Makmun melahirkan enam orang anak. Salah seorang ialah YM Datu Muhammad Ali Kuyung (SANDAKAN, Sabah).

Isteri Ketiga: ZALEHA @ ALING

  • Anak kelima iaitu YM Datu Amirul melahirkan: Dayang Jubairah, Datu Amir Bahar, Dayang Kalamita.
  • Datu Amir Bahar melahirkan lima orang anak antaranya YM Datu Umrah (KELANG, Selangor).
  • Anak keenam iaitu Datu Muhammad Sheikh (tiga isteri), isteri pertama melahirkan: YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila, 2-YM Datu Wasik, 3-YM Datu Atik.


YM Datu Aliuddin Haddis Pabila (tiga isteri) isteri kedua melahirkan 5 orang anak, antaranya YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu-II (pengkaji utama salsilah kesultanan Sulu)-(KUALA LUMPUR)


YM Datu Wasik (dua isteri) isteri kedua melahirkan lima anak, antaranya YM Datu Uda @ Lajamura @ Raja Muda (penggerak utama di akar umbi dalam Biro Penerangan Keluarga Aranan) - (LAHAD DATU, Sabah).


Demikianlah tamatnya salasilah ringkas Keluarga Maharaja Adinda Aranan itu. Kita dapat melihat dengan jelas kedudukan para datu-datu yang aktif berjuang dalam mengembalikan semula pemerintahan beraja di Sulu itu seperti YM Datu Ali Aman dan YM Datu Uda @ Lajamura serta YM Datu Muhammad Ali Kuyung dan turut disokong oleh keseluruhan Keluarga Aranan yang lain. Ada antara mereka adalah warganegara Malaysia. Kini mereka kesemuanya (keluarga Aranan) bertaburan di seluruh Malaysia termasuk di Sulu sendiri.



Nota kaki:

1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 485 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988)


[2] Ibid, m.s. xvii – Lihat Allahyarham Datu Sangkula Amir Husain dari Dungun (mempunyai Tartib Diraja Sulu dan menjelaskannya). Lihat m.s. 552 – Haji Buto mempunyai kitab salinan Tartib Diraja Sulu. Dipercayai waris keluarga Haji Buto masih menyimpan kitab Tartib ini di Tawi-Tawi.

[3] Rujuk: Carta Salsilah Kesultanan Sulu susunan YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu-II – Susunan Perwarisan Kesultanan Sulu sejak dahulu adalah dari kaum lelaki diturun-kan kepada anak atau cucu lelaki untuk pewarisan takhta. Walaubagaimana pun dalam masa tertentu terdapat Sultanah (Pangyan) sebagai pemerintah sementara.


[4] Rujuk: Tarsilah Brunei I & II – Oleh Pehin Prof. Hj Mohd Jamil Al-Sufri.

[5] Prof. Cesar, Op. Cit., m.s. 391.

[6] Ibid, m.s. 421.

3 ulasan:

Sakinah Lim berkata...

brapa ka istri sultan salahhudin pangiran bakthiar sultan sulu??..soalan ke2,brapa anak baginda?? dan soalan ke3,adakah atau pun tiada keturunan sultan mustapha safiud-din??...tlg balas segera ya..sekian..

Sakinah Lim berkata...

"PEWARIS SULTAN SULU YANG TERSEMBUNYI SEJAK TAHUN 1697 MASEHI LAGI”
Assalamualaikum Dato Sri Perdana,dan salam 1Malaysia. Sabelum saya menyatakan hasrat di-hati dan ingin berkongsi fakta dan sejarah dengan Dato sri berhubungan dengan salasila kesultanan Sulu dan pewaris2 nya yuang telah sekian lama tersembunyi di-Sabah khusus nya di-Daerah Lahad Datu sejak hampir 320 tahun yang lalu,terlebih dahulu saya panjatkan Doa ke-hadrat Allah Subahanuwataalah , semoga Dato Sri dan keluarga berada di-dalam keadaan sehat wal’afiat hendak nya,dan di-panjangkan umur,di-murahkan rezeki serta di-jauhkan dari segala bala’dan malapetaka. Dan yang lebeh penting lagi di-dalam Doa saya,semoga UMNO dan BN mendapat kejayaan dan mandat yang sepenuh nya dari seluruh lapisan rakyat Malaysia,dan YAB Dato Sri yang di-kasihi akan terus kekal sebagai Perdana Menteri hingga ke-akhir hayat.Dan sabelum saya huraikan fakta dan salasila kesultanan Sulu dan pewaris2 nya yang sekian lama tersembunyi di-Sabah, ingin saya ambil kesempatan di-sini untuk mengucapkan Syabas dan Tahniah di-atas kejayaan dan kesungguhan Kerajaan Malaysia serta usaha yang berterusan oleh Dato Sri Perdana Menteri,sehingga termaktub nya perjanjian damai di antara pihak MORO dan Kerajaan Philipina.Namun apa yang saya bimbangkan ialah…, takut kalau2 luka lama berdarah semula,dan kesempatan ini digunakan oleh pihak Kerajaan Philipina untuk membuat tuntutan semula keatas Sabah dengan berlandaskan kepada perdamaian yang tercipta di-antara pihak Moro dan dan Kerajaan Philifine.Dan saya tidak lah berniat untuk mencampuri urusan Kerajaan sahingga melanggar Undang2 dan Perlembagaan di-dalam Hal ini,tetapi sebagai rakyat Malaysia dan anak Peribumi Sabah,saya rasa terpanggil untuk mempertahankan Hak dan Kedaulatan Sabah di dalam Malaysia.Kerana sejak di-akhir2 ini banyak sangat pengakuan dan tuntutan2 liar yang datang dari Individu dan pihak2 tertentu yang tidak diketahui asal usul dan kesahihan nya.Dan dengan hati terbuka dan ikhlas kerana Allah,maka di-sini saya sertakan bersama secara ringkas sebahagian carta salasila untuk sebagai rujukan Dato Sri kira nya diperlukan bagi menangkis segala apa jua pengakuan dan tuntutan2 liar yang datang dari mana2 juga Negara luar khusus nya Philipina, mahu pun indevidu atau pihak2 tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas perdamaian yang tercapai antara pihak Moro dan Kerajaan Philipina. Dan berikut adalah butiran dan carta Sultan2 yang pernah memerintah dan mentadbir Negeri Sulu.
1.Sultan Syariful Hashim : TM.1450 – 1480
2.Sultan Muhammad Kamaluddin : TM. 1480 – 150
3.Sultan Amerul Omara : TM. 1505 – 1527
4.Sultan Muizzul Mutawaddin : TM. 1527 – 1548
5.Sultan Nasiruddin Awal : TM. 1548 -- 1568
6.Sultan Muhammad Halim : TM. 1568 -- 1579
7.Sultan Batara Shah Tengah : TM. 1579 – 1636
8.Sultan Mawallil Wasit TM. 1636 – 1640
9.Sultan Nasiruddin Akhir : TM. 1640 – 1652
10.Sultan Salahuddin Karamat : TM. 1652 – 1668
11.Sultan Sahabuddin : TM. 1668 – 1680
12.Sultan Mustafah Shafiuddin : TM. 1680 – 1696
Dan untuk makluman YAB.Dato Sari,Sultan Sulu yang pertama mengutip hasil cukai Keatas Borneo Utara daripada pihak British,adalah Sultan Sahabuddin,dan kemudian diteruskan pula oleh adik nya iaitu Sultan Mustafah Shafiuddin sahingga pada tahun1696.Dan pada tahun itu juga lah Datu Muhammad Badaruddin yang juga adik kepada Sultan Mustafah Shafiuddin lain ibu ,telah merampas kuasa dari abang nya,saterusnya mengistiharkan diri nya sebagai Sultan Sulu yang ke- 13. Kemudian pada tahun 1697 Datu Muhammad Jinurain anak Sulong kepada Sultan Mustafah Shafiuddin telah berhijrah Ke-Lahad Datu, Daerah tempat kelahiran ibu nya,dan tinggal menetap di-Lahad Datu hingga keakhir hayat nya.Dan itu sebab nya sebahagian besar pewaris Sultan Sulu yang ke-12 tinggal di-Daerah Lahad Datu sejak hampir 32o tahun yang lalu dan sahingga kini. Dan fakta ini ada banyak lagi tetapi tidak dapat di-muat di-dalam facebook ini kerana keadaan terhad.

Sakinah Lim berkata...

sejarah waris kesultanan sulu ke Lahad Datu Sabahan(kini Sabah)
Sewaktu memerinta kepulauan Sulu (Sulu Archipilago) dari tahun 1680-1896, Sultan Mustapha Syaiuddin
sultan Sulu ke-12,telah datang ke Lahad Datu,baginda telah tinggal dirumah ketua suku kaum Idahan,bernama
Tua Sarong,kemudian baginda telah memberi gelaran Raja Tua sarong.Raja Tua Sarong mempunyai seorang
anak gadis yang cantik bernama Rengot. Sultan Mustapha telah berkhawin dengan Rengot,kemudian dibawa
baginda isterinya balik ke Sulu.Kemudian digelar Dayang-Dayang Supaila. Setahun kemudian mereka telah
mendapat seorng putra dan diberi nama Datu Mohd. Jinurain. Sultan Mustapha hendak mengetirap putra
baginda menjadi Sultan yang ke-13,tapi para waris kesultana sulu dan sharif membantah,tidak bersetuju Datu
Mohd, Jinurain dilantek menjadi Sultan,alasan mereka bahwa Datu Mohd.Jinurain ibunya adalah keturanan
orang kebanyakan (Bukan darah bangsawan. Datu Mlohd.Jimurain pun peregi ke Bulungan ,Kalimantan,
Indonesia dan berkahwin dengan putri Sultan Bulungan,kemudain beliau pun membawa istreinya ke-Lshsd
Datu.Dari sanalah asal waris kesultanan Sulu yang kini berada d i Sabah ,kebayakan mereka tinggal di
didaearah Lahad Datu..Saya sendiiri adalah keturuan yang ketujuh.