Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

15- HARTA PERBENDAHARAAN NEGARA KESULTANAN SULU


Empayar Kesultanan Sulu Telah Hilang Bersama Harta Perbendaharaannya?

PADA masa dahulu, kerajaan Kesultanan Sulu sememangnya diiktiraf sebagai sebuah negara Merdeka dan Berdaulat. Maka sebagai sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat, maka tentunya mempunyai Harta Perbendaharaan Negara (The State Treasury Assets). Perkara ini ada disebut oleh Prof. Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslims in the Philippines pada mukasurat 396-397.[1]

Diurus & Ditadbir
Sebenarnya mengikut Tartib, Harta Perbendaharaan Negara Kesultanan Sulu hanyalah diurus dan ditadbir oleh seorang yang dilantik menjadi Sultan Sulu. Harta perbendaharaan tersebut tidak boleh diserahkan kepada orang lain, melainkan "Sultan Sulu" yang berikutnya, yang menaiki takhta secara sah, mengikut Sistem Protokol Kesultanan Sulu (Tartib Diraja Sulu). Harta Perbendaharaan Kesultanan Sulu bukanlah milik persendirian Sultan-sultan Sulu. Walaupun sebenarnya Sultan-sultan Sulu mempunyai harta-harta peribadinya sendiri. Harta Perbendaharaan Negara Kesultanan Sulu adalah harta milik negara dan rakyat Sulu.
.
Harta perbendaharaan tersebut hanya diketahui oleh sultan-sultan Sulu dan para menteri kebinetnya. Rakyat Sulu tidak didedahkan tentang hal ini (tentang harta kerajaan Kesultanan Sulu) sebab itu rakyat Sulu kurang maklumat atau pengetahuan mengenainya. Maka apabila ada orang memperkatakan mengenainya, rakyat Sulu hanya mampu membuat andaian atau tekaan sahaja maka tidak hairanlah sekiranya harta Kesultanan Sulu dianggap sebuah cerita khayalan atau dongengan semata-mata.
.
Kalau benar tekaan itu, dari mana pula kerajaan Kesultanan Sulu itu mendapat harta? Sejarah telah memberitahu kita bagaimana sebuah empayar seperti kerajaan Kesultanan Sulu menjalankan perdagangan dan mempertahankan kekuasaannya selama hampir 400 tahun lamanya (pengumpulan harta dan cukai oleh kerajaan Kesultanan Sulu berakhir pada 1936) hingga hari ini adalah bukti kepada kebenarannya. Maka sudah tentulah harta perbendaharaan negara ini adalah diperolehi melalui hubungan perdagangan yang aktif oleh Kesultanan Sulu dengan beberapa kesultanan di Asia Tenggara dan hubungan perdagangan dengan beberapa pihak asing, serta hubungan rapat perdagangan dengan Kerajaan Kayangan (Kerajaan China), khasnya semasa zaman Dinasti Ming.[2]
.
Malah kita melihat kekayaan semulajadi di wilayah kesultanan Sulu sahaja sudah dapat menggambarkan betapa Sultan Sulu sememangnya kaya dengan mutiara, perdagangan hasil laut lain, cukai, ufti dan sebagainya. Pertalian rapat dan perhubungan diplomatik serta perdagangan dengan kerajaan-kerajaan sekitar Nusantara seperti Brunei, Sulawesi (Makasar), Mindanao, Maluku adalah bukti kepada sumber kekayaannya. Sebab itu kerajaan Spanyol bermatian menjajah Sulu dan wilayah takluknya kerana wilayah Sulu itu menjanjikan hasil yang tidak ternilai harganya. Disebabkan kecekalan dan keberanian orang Sulu mempertahankan wilayah kerajaan kesultanan mereka, akhirnya Spanyol hanya mampu menjalin kerjasama perdagangan malah British sendiri terpaksa mengikut jejak Spanyol itu (dengan memajak Borneo Utara).
.
Mengesan Harta
Timbul satu persoalan, "Kemanakah hilangnya Harta Perbendaharaan Kesultanan Sulu itu selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada 1936?". Jelasnya, pengumpulan harta Perbendaharaan Negara Kesultanan Sulu bermula dari zaman pemerintahan Sultan Shariful Hashim di abad ke-15 sehingga ke abad ke-20, iaitu di masa pemerintahan Sultan Jamalul Kiram-II.
.
Merujuk kepada artikel dalam Majalah Contact: The Phoenix Project Journal keluaran 4 Disember 2002, yang bersumberkan dari Erick San Juan dalam tajuk "CERITA YANG TIDAK PERNAH DIKHABARKAN TENTANG HARTA KEKAYAAN SULTAN SULU" (The Untold Story of the Wealth of Sultan of Sulu). Harta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah Harta Perbendaharaan Kesultanan Sulu. (Walaupun berkemungkinan ianya sudah bercampur dengan harta persendirian Sultan Jamalul Kiram-II).

Dalam majalah tersebut Erick San Juan menyatakan bahawa pada sekitar 1935, Sultan Jamalul-Kiram-II telah membawa hartanya ke Manila (Kemungkinan untuk tujuan Pelaburan/ Investment). Harta tersebut adalah sejumlah 617,500 Tan Metrik Jongkong Emas. Sultan Jamalul-Kiram-II juga telah melantik dua orang Pemegang Amanah atau Trustees ke atas harta-harta tersebut. Trustees yang dimaksudkan itu adalah Paderi Antonio Diaz @ Co. Severino Garcia Sta Romana dan Prince Julian Mac Leod Tallano. Malangnya setahun selepas itu, iaitu pada 1936, Sultan Jamalul-Kiram-II telah mangkat. Maka setelah itu sudah tentulah harta-harta tersebut akan berada dibawah jagaan dua orang trustees tadi sepenuhnya.
.
Marcos Dan Vatican
Pada 1939, harta-harta Sulu telah dihantar ke Vatican City [3] untuk mengelakkan dari Perang Dunia ke-II (WW-II) dan ketika ini dibawah jagaan POPE JOHN PAUL-II. Tidak lama selepas itu, kedua-dua trustees telah mengambil Ferdinand E.Marcos menjadi "Peguam" mereka dalam menguruskan harta-harta Sulu tersebut (inilah manusia yang menjadi kaya raya sekelip mata yang memerangi Kesultanan Sulu dan rakyatnya demi membolot harta Kesultanan Sulu ini keseluruhannya).
.
Pada 1946, Filipina telah mendapat kemerdekaannya dari Amerika Syarikat. Pada 1949, harta Sulu itu telah dibawa semula ke Filipina diatas pengurusan Ferdinand E.Marcos. Kemudianya 400,000 Tan Metrik Emas itu telah dipinjamkan kepada Kerajaan Filipina untuk penubuhan "Bank Pusat Negara Filipina" atau Central Bank of the Philippines (Kini Bangko Ang Philippinas). Bermula dari tahun 1965 sehingga 1970, baki harta Sulu yang sejumlah 217,500 Tan Metrik itu telah dihantar oleh Ferdinand E.Marcos ke beberapa negara seperti China, Hong Kong, Switzerland, Australia, USA dan England.
.
Penguasaan Ferdinand E.Marcos ke atas harta-harta Sulu itu semakin berleluasa ketika beliau dilantik menjadi Presiden Filipina pada 1965. Maka kedua-dua orang trustees Sultan Sulu ke atas harta-harta Sulu serta Presiden Ferdinand E.Marcos telah memanipulasi harta-harta Sulu itu demi kepentingan mereka dan ianya telah membuatkan mereka kaya-raya dalam sekelip mata saja. Sehingga kini, keluarga mereka masih bermewah-mewahan dengan harta Kesultanan Sulu yang mereka "rompak" itu.
.
Harta Karun Yamashita
Bagi mengelakkan orang-orang Sulu dari mengetahui yang harta-harta kekayaan mereka itu adalah dari harta negara Kesultanan Sulu, Presiden Marcos dan kuncu-kuncunya telah mereka-reka cerita bahawa mereka telah menjumpai Harta Yamashita (Yamashita's Treasure). Serta membuat cerita-cerita yang tidak ada tercatat dalam sejarah, bahawa sebahagian harta-harta yang mereka temui itu adalah milik King Luisong atau Tagean/Tallano (Raja Filipina). Namun sejarah telah membuktikan bahawa tidak pernah wujud pun akan nama King Luisong Tagean/Tallano di Filipina. Raja-raja yang pernah wujud di Manila adalah seperti Raja Matanda, Raja Solaiman dan Raja Lakandula.
.
Namun akhirnya muslihat Presiden Marcos dan kuncu-kuncunya terbongkar jua. Kedajalan mereka ke atas rakyat Sulu dan Kesultanannya (dengan merompak harta perbendaharaan Kerajaan Kesultanan Sulu dan pembunuhan beramai-ramai) semakin terserlah dari tahun ke tahun. Bagaimana mungkin bangkai gajah itu boleh ditutup dengan sehelai kertas tisu? Antara yang terbongkar ialah :
1. Harta yang beliau hantar ke luar negara itu, beliau telah meletakkan nama "Sultan Johan E.Kandau" (Sultan of Indonesia) ke atas akaun-akaun banknya. Penggunaan nama "Sultan" oleh Presiden Marcos, orang telah boleh membuat andaian bahawa mungkin harta yang beliau miliki itu adalah milik "Kesultanan". Dan penggunaan nama "Johan" (Juhan), adalah kerana beliau telah diberi gelaran "Datu Juhan Pahlawan" oleh Sultan Sulu (Tentunya oleh Sultan Esmail-Kiram-I). Malah Sultan Indonesia yang mereka senaraikan sebagai pemilik harta itu bernama "Sultan Johan E.Kandau" itu sebenarnya tidak wujud langsung di Indonesia. Maka bolehlah kita katakan bahawa harta-harta yang dimiliki oleh Presiden Marcos adalah dari "Harta Kesultanan" dan tidak syak lagi adalah "Harta dari Kesultanan Sulu" berdasarkan kronologi pembabitan Marcos ketika menjadi peguam sebelum ini.
.
2. Ini kerana, Presiden Marcos telah pun "akrab" dengan Keluarga Diraja Sulu (Keluarga Kiram) sebelum ini. Beliau menganggap bahawa Princess Tarhata-Kiram sebagai "Makcik" beliau.[4]

3.Untuk menguatkan lagi pembohongan mereka maka cerita tentang "King Luisong Tagean-Tallano" telah diwujudkan oleh Presiden Marcos dan kuncu-kuncunya, dikatakan bahawa Keluarga dari King Luisong Tagean-Tallano itu telah berkahwin dengan seorang wanita Keluarga Diraja Sulu yang bernama Aminah-Kiram. Presiden Marcos juga telah membuat urusan tentang harta Sulu tersebut dengan Sultan Julaspi Kiram-II Yang mana Marcos menyangkakan bahawa Sultan Julaspi itu adalah "waris sebenar" Sultan Sulu (walhal Julaspi Kiram-II itu adalah anak angkat Sultan Jamalul Kiram-II sahaja kerana Sultan Jamalul Kiram-II adalah mandul yakni tidak mempunyai anak walaupun mempunyai ramai isteri). Penglibatan nama Keluarga Diraja Sulu dalam urusan harta oleh Presiden Marcos itu telah menguatkan andaian bahawa harta-harta yang ada pada beliau itu adalah dari Kesultanan Sulu.
.
Kelicikan Marcos
Pemanupulasian Presiden Marcos dan kuncu-kuncunya ke atas harta-harta Sulu itu berterusan dengan "Pengisytiharan Undang-Undang Tentera" (Martial Law) ke atas Sulu dan Mindanao pada 1972. Dengan terisytiharnya undang-undang tersebut, akan meletakkan rakyat Sulu dan Mindanao dalam keadaan kacau-bilau agar rakyat Sulu khasnya tidak akan dapat mengetahui akan harta-harta milik Kesultanan Sulu itu buat selama-lamanya. Dengan keadaan kacau-bilau sehingga kini di Mindanao dan Sulu, maka rakyatnya akan menjadi dungu dan bodoh disebabkan Marcos mengetahui rakyat Moro itu pantang dicabar berperang mereka akan melawan bermatian hingga ketitisan darah mereka yang terakhir. Marcos juga maklum, dengan terisytiharnya undang-undang tentera itu rakyat Moro terutamanya Sulu akan tersiksa dan terhimpit maka tentu mereka akan melawan dan berpecah-belah dan menjadi pelarian. Anak-anak Moro akan terbiar dan tertinggal dari segi pendidikan disebabkan penumpuan kaum tua mereka hanya kepada peperangan jihad yang dicetuskan oleh Marcos itu.
.
Maka dengan itu rakyat Sulu tidak akan ada masa untuk mengetahui akan harta-harta Kesultanan Sulu . Inilah hasrat Presiden Marcos sebenarnya mengapa beliau mewujudkan "Ketidak Amanan" di Wilayah Sulu, bertitik tolak dari ketamakannya membolot harta yang bukan miliknya akhirnya peperangan yang dicetuskannya itu telah menyebabkan negaranya (Filipina) papa kedana hingga hari ini dan dalam masa yang sama keluarganya tetap senang dan mewah.
.
Marcos sememangnya mengetahui wilayah Sulu telah merdeka sejak 'azali', dengan mewujudkan zon peperangan di Sulu maka rakyat Sulu tentu akan memeranginya dan menuntut 'kemerdekaan' pula. Rakyat dan Negara merdeka ingin menuntut kemerdekaan? Bila rakyat Sulu meminta 'kemerdekaan' maka dengan sendirinya Sulu itu terjajah atau tertakluk sejak dari dulu. Maka suka hati Filipina pula untuk beri atau tidak kemerdekaan itu (sebab itu antara kesilapan perjuangan orang Islam di sana ialah mahukan kemerdekaan, inilah perangkap Marcos). Bijak sungguh permainan Marcos ini, disebabkan harta 'Yamashita' sisa hidupnya diguna untuk membunuh seramai mungkin muslimin Sulu dan Mindanao agar tiada lagi tuntutan harta 'Yamashita' yang dimilikinya itu hingga kiamat. Sebab itu mustahil Filipina memberi kemerdekaan kepada penuntut kemerdekaan itu kerana kalau merdeka habislah kerajaan Filipina (tentu Filipina berhutang kepada Kerajaan Sulu pula, silap-silap Filipina pula yang bernaung dibawah Kerajaan Sulu).[5]
.
Tuntutan Harta
Presiden Marcos juga dikatakan pernah dibawa oleh Paderi Antonio Diaz Sta Romana @ Col. Severino Garcia berjumpa dengan Sultan Sulu di Sulu pada awal pembabitannya dalam harta Kesultanan Sulu.

Juga semasa soaljawab oleh pihak Mahkamah di Manila ke atas Puan Imelda Marcos (Isteri Marcos) pada tahun 1993, beliau telah menafikan yang suaminya (Presiden Marcos) ada menggelapkan mana-mana harta Kerajaan Filipina semasa era pemerintahannya dari tahun 1965-1986.[6]
.
Maka persoalannya, jika Presiden Marcos tidak mengambil atau menggelapkan apa-apa harta milik Kerajaan Filipina semasa era pemerintahannya, maka dari manakah beliau memperolehi harta sedemikian banyak dalam masa yang singkat? Perlulah diingat bahawa Ferdinand Marcos dulunya hanyalah seorang "Peguam Biasa" sahaja. Tetapi secara tiba-tiba menjadi "luar biasa" kaya setelah terlibat dengan Paderi Antonio Diaz Sta Romana @ Co. Severina Garcia dan Mr. Julian MacLeod Tallano, yang kedua-duanya merupakan Trustees kepada Sultan Jamalul Kiram-II pada 1935.

Kenyataan tentang kekayaan Presiden Marcos itu ada banyak dibicarakan di dalam website, seperti :

1. Marcos Billions on the website - Oleh: SPAN (Solidarity Philippines Australia Network) - http://cpcabrisbane.org/kasama/1999/V13n3?Billions.htm
.
2. Imelda Admits to huge Marcos Fortune - Oleh: SPAN -http://cpcabrisbane.org/kasama/1999/V13n3/Imelda2.htm
.
3. Largest Loot in History - txtmania.com www.txtmania.com/trivia/world.php
.
4. Estrada embarrassed by proof of Marcos Billions (By: Keith Morgan- 20.07.1999)
.
5. Dictators Beware (By: Kristina Luz - Asiaweek Megazine ).
6. Political Friendster - Rate Connection - Union Bank of Switzerland (UBS) connected to Irene Marcos.
7. The Ming's Forum - http://ming.tv/flemming2.php
.
Kini di dalam Ming's Forum ramai mempercayai bahawa harta-harta yang diperolehi oleh Paderi Antonio Diaz Sta Romana, Tallano Families dan Presiden Marcos itu adalah harta milik Kesultanan Sulu. MR. TODD ALPHINE yang aktif dalam membongkar permasalahan tersebut juga menyatakan bahawa, pihak Vatican juga ada mengeluarkan satu dokumen yang membuktikan bahawa Paderi Antonio Diaz Sta Romana adalah Trustee kepada harta Sultan Jamalul Kiram-II (Harta Kesultanan Sulu) dan bukannya Trustee kepada Tagean atau Tallano Families.
.
Maka dengan bersandarkan kepada harta 400,000 Tan Metrik harta Kesultanan Sulu yang dipinjamkan kepada Kerajaan Filipina pada tahun 1949, Sebuah Syarikat Pelaburan telah ditubuhkan berpusat di Manila, yang dipanggil sebagai "GAIA" (Global Alliance Investment Association).
.
Kini telah muncul banyak pihak yang mahu terlibat dalam "memanipulasi" harta Kesultanan Sulu itu pula (seperti cendawan tumbuh selepas hujan) di mana pihak GAIA telah cuba bertindak sebagai wakil kepada keluarga Tagean-Tallano Foundation untuk mahu menuntut harta Kesultanan Sulu itu. Pihak SAMCO pula bertindak selaku wakil kepada keluarga Kiram. Manakala pihak Victoria Recovery Team (VICTORIA) pula telah menawarkan diri untuk bertindak selaku wakil kepada Keluarga Maharaja Adinda dalam menuntut harta Kesultanan Sulu tersebut.
.
Tindakan Susulan
Ternyata harta-harta yang diperolehi oleh Presiden Marcos, Paderi Antonio Diaz Sta Romana dan Tagean-Tallano Families itu adalah harta milik Kesultanan Sulu, iaitu "HARTA PERBENDAHARAAN NEGARA KESULTANAN SULU" yang kini 400,000 Tan Metrik masih berada di Bangko Ang Philipinas (Manila) dan selebihnya 217,500 Tan Metrik berada dibeberapa buah bank di luar negara.
.
Maklumat yang diperolehi dari seorang pengkaji harta-harta yang tersembunyi (ill-begoten wealth) yang bernama Mr. Mike Kay telah menganggarkan bahawa kini jumlah "Harta Kesultanan Sulu" itu bernilai lebih-kurang dalam USD$ 400,000 DUODECILLION (Iaitu mempunyai 39 Komma kebelakang selepas tiga kosong).
.
Apa yang pasti, sekiranya pihak Kesultanan Sulu menuntut semula harta-harta tersebut, dunia akan menyaksikan satu sejarah pembayaran hutang yang amat besar kepada keluarga Diraja Sulu. Dengan pembayaran itu nanti, Kerajaan Kesultanan Sulu me-mungkinkannya menjadi sebuah kerajaan terkaya di dunia. (Mungkin, inilah anugerah Allah s.w.t kepada bangsa Sulu, yang selama ini hidup tertindas dan sengsara selama beberapa dekad).
.
Tuntutan ke atas harta-harta tersebut akan dibawa oleh Keluarga Maharaja Adinda ke Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Dunia (ICJ) pada masa hadapan.
.
Walaubagaimana pun, pihak Keluarga Maharaja Adinda masih dalam usaha mengumpulkan lebih banyak lagi data-data dan dokumen serta rekod-rekod lama Kesultanan Sulu mahupun bantuan-bantuan kewangan dari mana-mana pihak (yang difikirkan perlu) untuk menguatkan lagi hujah terhadap kewujudan harta perbendaharaan Negara Kesultanan Sulu tersebut.


Nota kaki:

[1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 490-491 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).

[2] Ibid, m.s. 515 (Apendiks A).

[3] Penglibatan pihak Vatican ke atas orang-orang Moro di Filipina bukanlah satu rahsia. Sejak dulu mereka membantu kerajaan di utara (Filipina) memerangi Selatan hanya semata-mata untuk memperluaskan program Kristianisasi mereka. Walaubagaimana pun, telah terbukti bahawasanya orang-orang Tausug, Maguindanao, Maranao di selatan adalah yang paling sukar dimurtadkan. Taktik membeli tanah dari orang-orang Mindanao oleh orang Kristian Utara dan penghijrahan mereka ke Mindanao menyebabkan orang Islam Mindanao semakin mengecil dan kehilangan hak. Berbanding di Sulu, orang Kristian tidak mudah mendapatkan hak pemilikan tanah di kepulauan itu disebabkan penentangan orang-orang Tausug. Berbanding Mindanao, Sulu masih mengekalkan umat Islamnya sebagai majoriti iaitu 94%. Malah penguasaan oleh para mayor atau datu-datu keatas kepulauan Sulu masih kekal hingga hari ini. Orang Tausug menggelar orang-orang kafir yang diperangi dengan panggilan satru' bermaksud seteru (lawan atau musuh) dan itulah panggilan yang digunakan terhadap orang Kristian dari utara (Filipina) termasuk para pendakyah Kristian yang mahu memurtadkan mereka.

[4] Rujuk: The Secret Identity of President Ferdinand E.Marcos - Noralyn Mustafa; Daily Inquirer 5 & 26th June 2006.

[5] Yang benar ialah, rakyat Sulu bersatu dengan kesultanannya secara aman, naikkan bendera Sulu yang 'asal' itu, para datu dan kerabat kesultanan Sulu buat kerja-kerja kemanusiaan yang berterusan untuk dapatkan sokongan rakyat Sulu, para mayor memisahkan diri dari pentadbiran kerajaan Filipina, lucutkan atau beli senjata dari rakyat sulu agar tidak berperang sesama sendiri, yang tidak mahu serah lantik sebagai tentera atau polis diraja Sulu, tingkatkan kerjasama dengan Negara Jiran (Malaysia, Brunei dan Indonesia pula kenalah beri sokongan dengan mewujudkan kerjasama ekonomi dan bekerjasama menghantar bantuan keselamatan, ini termasuklah rakyat Filipina sendiri yang mahukan keamanan) kumpulkan suara dan menyorak bersama "kami sememangnya merdeka! Negara kami dari dulu merdeka! Inilah Sultan Sulu yang berdaulat dan merdeka! Inilah kami, keluar mentadbir sendiri wilayah kami seperti dahulu!!". Maka 'mata wang' Kerajaan Sulu akan kembali untuk kedua kalinya iaitu mata wang "pilak" (perak). Sultan yang sah akan terangkat dari kerabat diraja yang sah secara aman dengan bantuan para ulama' disampingnya, dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi dan undang-undang Allah swt sebagai panduan bernegara. Inilah yang Marcos takuti dan elakkan lantaran Martial Law itu diwujudkan. Beliau mengambil kesempatan dari kelemahan kesultanan Sulu ketika itu demi kerakusan nafsunya terhadap harta 'Yamashita' itu.
[6] Rujuk: Manila Court says Imelda Marcos has case to answer. By: Dolly Aglay - 12.07.2005.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya salah seorang daripada pewaris Maharajah arinda..siapa kh yg patut sy temui utk urusan tuntutan ini.. Maaf sy hanya bertanya.