Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

7- TAUSUG BANGSA PEMBELA

Benarkah Tausug Bangsa Pembela?

APAKAH benar bangsa Tausug ini adalah bangsa pembela? Sekiranya kita melihat sejarah tentang umat Islam Moro di Filipina Selatan, kita akan mendapati bahawa Tausug di Sululah yang paling menonjol, samada penentangannya terhadap kuffar selama hampir 400 tahun tidak terkalah atau pun kekuasaan kesultanannya yang menjadi lambang perpaduan dan kekuatan kaum Tausug itu. Menyebabkan mereka mampu menjadi bangsa pembela ketika era Empayar Kesultanan Sulu dahulu:
.
1- Pembela Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w dengan meletakkan Sayyid Abu Bakar (Syariful Hashim) sebagai Sultan Sulu yang pertama dan kemudian kepada keturunannya hingga kini (bersambung dengan keturunan Syarif Ali Barakat – Sultan Brunei ke-III) [1].
.
2- Pembela Agama Islam serta Empayar Kesultanan dan rakyat Sulu selama hampir 400 tahun. Orang-orang Tausug bersama kaum-kaum lain bermatian mempertahankan wilayah kedaulatan mereka dengan bantuan kerohanian oleh para ulamak yang datang silih berganti ke wilayah mereka. Para Sultan Sulu dahulu sebilangannya adalah pelajar di pesantren Betawi (Jawa) atau belajar agama di madrasah-madrasah di sekitar Sulu dan merekalah peniup semangat dan pemangkin jihad kepada rakyat Sulu selama hampir 400 tahun yang tidak terkalah itu.
.
Pembela Kesultanan Brunei kerana membantu Brunei daripada perang saudara yang berlarutan selama 10 tahun. Dengan bantuan itu Sultan Brunei menghadiahkan Borneo Utara pada Sultan Sulu pada 1704:
.
Perang saudara yang melanda Kesultanan Brunei berlaku pada kurun ke-17. Pada masa itu ada dua sultan yang berebut kuasa iaitu Sultan Mahyuddin/Muaddin (di tanah besar) dan Sultan Abdul Mubin (di Pulau Chermin). Perbalahan mereka berlarutan hampir 10 tahun lamanya. Sultan Abdul Mubin menghalang para pedagang berlabuh ke tanah besar dan Sultan Mahyuddin pula menyerang Pulau Chermin dan perkara ini berlarutan hingga ekonomi kerajaan Brunei jatuh teruk. Sebahagian ahli sejarah men-yatakan sekiranya mereka (kerajaan Brunei) diserang oleh pihak luar ketika itu, tentu Kerajaan Kesultanan Brunei itu kita tidak akan lihat lagi pada hari ini.
.
Tiada jalan lain bagi Kesultanan Brunei kecuali meminta bantuan kepada saudara mereka (yang juga kerabat Kesultanan Brunei) “Betara Soolook” iaitu Sultan Salahuddin Karamat. Sultan Sulu ini iaitu Sultan Salahuddin menghantar hulubalangnya yang bijaksana membantu Sultan Brunei menyelesaikan perang Saudara itu.
.
Hulubalang Sulu ini tiba di Pulau Chermin terlebih dahulu dan berjumpa Sultan Abdul Mubin. Kemudian meminta izin pula pergi ke tanah besar berjumpa Sultan Mahyuddin. Hulubalang Sulu menyatakan kepada sultan bahawa, adalah tidak molek berperang sesama Muslimin. Hulubalang Sulu ini kelihatannya lebih bersimpati kepada Sultan yang berada di tanah besar (mungkin disebabkan kemelaratan). Bagi Sultan Mahyuddin ini adalah satu kesempatan untuk menawarkan Borneo Utara (Sabah) kepada Sultan Sulu sekiranya beliau (hulubalang Suluk) menumpaskan saudaranya iaitu Sultan Abdul Mubin di Pulau Chermin itu.
.
Hulubalang Suluk mungkin gembira tanda setuju dan menyatakan bahawa hulubalang Suluk tidak akan membantu sultan yang tidak duduk di tanah besar yang sepatutnya menjadi pusat pemerintahan (sememangnya inilah adat orang Suluk yang kemungkinan adalah sebahagian dari Tartib Diraja Sulu iaitu sesiapa yang melantik dirinya sultan sedang dia tidak berada di pusat pentadbiran kesultanan maka tidak dianggap sultan).
.
Akhirnya hulubalang Suluk menyerang Pulau Chermin (sudah tentu hulubalang Suluk ini memberi amaran terlebih dahulu sekurang-kurangnya memberitahu Sultan Abdul Mubin untuk menyerahkan kekuasaan kepada saudaranya di tanah besar sekiranya enggan peperangan akan diteruskan) dengan memuntahkan peluru meriam dari perahu dayung Joangga mereka dari arah laut. Tentera Sultan dari Pulau Chermin menentang sengit serangan itu dan akhirnya selama berhari-hari berperang hulubalang Suluk berjaya mengalahkan Sultan Abdul Mubin di Pulau Chermin. Kepala Sultan Abdul Mubin dipenggal oleh pahlawan Suluk dan berakhirlah peperangan saudara itu. Maka Borneo Utara (Sabah) dihadiahkan kepada Sultan Sulu.[2] (Sebahagian ahli sejarah menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada 1704 M, tetapi pengkaji dari Keluarga Maharaja Adinda menyatakan adalah pada tahun 1675 M).
.
4- Pembelaan terhadap Sabah (Borneo Utara) dari undang-undang cukai Syarikat British yang melampau. Pembelanya ialah Datu Muhammad Salleh Bin Datu Butoh (Mat Salleh syahid 1900).
Datu Paduka Muhammad Salleh adalah berketurunan Suluk (sebelah bapa) dan Bajao (sebelah ibu). Beliau adalah keluarga datu yang memungut cukai di sekitar Sugut ketika era pemerintahan Sultan Sulu iaitu Sultan Jamalul Kiram – II lagi.
.
Ketika ini Borneo Utara (Sabah) telah dipajak oleh Syarikat British dari Sultan Sulu dan mempunyai kuasa menaik atau menurunkan cukai terhadap rakyat Borneo Utara. Malah berkuasa menambah beberapa jenis cukai yang akhirnya dipandang tidak munasabah oleh rakyat Borneo Utara. Datu Mat Salleh sebenarnya mula memberontak setelah dituduh membunuh dan pemungutan cukainya juga turut terancam.
.
Beliau bangkit dengan menyatukan rakyat Borneo Utara dari pelbagai kaum dengan alasan untuk menentang undang-undang cukai Kompani British yang tidak munasabah. Kerana sebelum itu beliau tidak dilayan ketika berjumpa pegawai kompani di Sandakan untuk menyelesaikan tuduhan bunuh ke atas dirinya yang dianggapnya tidak benar.
.
Ia bermula apabila 2 orang dayak (Pribumi Sabah) yang meniaga rotan telah dibunuh dalam kawasan pemungutan cukai Mat Salleh. Perkara itu dilapor pada Inggeris, maka Mat Salleh telah dituduh sebagai pembunuh 2 orang dayak itu.
.
Orang Suluk meletak maruah di hadapan berbanding perkara lain. Sebab itulah beliau terlalu marah dengan tuduhan pegawai Kompani Inggeris yang mencalar maruahnya dengan tidak melayan kedatangan beliau berunding tentang hal pembunuhan itu, lebih-lebih lagi beliau ialah seorang datu.
.
Sejak itu Datu Mat Salleh mula mengumpul rakyat Borneo Utara dan mula menyerang pusat-pusat pentadbiran Syarikat British. Beberapa siri peperangan telah berlaku antara pasukan Mat Salleh menentang tentera Kompani British. Akhirnya Kompani British menawarkan perdamaian kerana menanggung kerugian yang tidak munasabah.
.
Malangnya, beberapa bulan kemudian Syarikat British memungkiri janji dan berlaku lagi peperangan di Tambunan dengan tentera Datu Mat Salleh. Inilah kubu terakhir Datu Mat Salleh dan pahlawannya yang terdiri dari pelbagai kaum itu. Beliau syahid di Tambunan pada 1900 M. Dipercayai mayat beliau berjaya dibawa keluar oleh pengikutnya yang setia dan hingga hari ini tidak diketahui di mana kuburnya.
.
5- Pembelaan Tun Mustafa Bin Datu Harun (bersama Tun Fuad Donald Stephen) terhadap Sabah dengan mengapalai kemasukan Sabah ke Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Sebab itu orang Sabah yang pertama mendapat kad pengenalan ialah Tun Mustafa[3] (sumber dari YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu II Bin YM Datu Aliuddin Haddis Pabila-Aranan).
Pembunuhan Jabidah 1968
.
6- Pembelaan orang Tausug bersama Bajao terhadap Sabah ketika peristiwa PEMBUNUHAN JABIDAH 1968. Pembunuhan Jabidah Special Forces di Pulau Corregidor di Luzon ini sangat menarik perhatian yang menyebabkan malapetaka yang berterusan sehingga kini. Sebab itu kami menamakan peristiwa Pembunuhan Jabidah ini sebagai “Bermulanya satu perkara yang menghasilkan satu perkara dan hakikatnya cuma satu perkara”.
.
Bermulanya satu perkara: “When Malaysia regained her independence from British colonial rule, it had colonized Sabah……”.[4] Kemasukan Sabah ke Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 menaikkan kemarahan Presiden Filipina iaitu Ferdinand E.Marcos dengan menegaskan bahawa Sabah adalah milik Filipina dari Kesultanan Sulu. Maka Marcos merancang menubuhkan satu kumpulan tentera komando khas dengan tujuan menggang gu-gugat genggaman Malaysia terhadap Sabah. Keluarnya Singapura dari Malaysia selepas dua tahun Malaysia merdeka serta konfrontasi Malaysia-Indonesia menambahkan lagi keyakinan Marcos bahawa Sabah akan dapat dirampas semula sekurang-kurangnya berjaya mewujudkan kacau bilau di Malaysia.
.
Operasi khas ini dinamakan “Operasi Merdeka”. Fasa pertama Marcos melatih hampir 200 orang Tausug dan Bajao Muslim yang berusia kira-kira 18 tahun hinga 30 tahun yang dihimpun dari Sulu dan Tawi-tawi. Dalam pe-ringkat ini mereka dilatih di Bandar Pulau Simunul di Tawi-tawi. Mereka dilatih dengan dijanjikan elaun bulanan 50 Peso malah dijanjikan akan diserap ke dalam Tentera Elit Filipina yang sememangnya menjadi impian setiap orang. Dari bulan Ogos hingga bulan Disember 1967 mereka berlatih bersungguh-sungguh dalam Unit Komando : Jabidah, tanpa mengetahui tujuan sebenar mereka dilatih.
.
Pada 30hb Disember 1967 latihan fasa kedua bermula. Mereka (Tausug dan Bajao) diarah menaiki kapal tentera laut Filipina menuju ke Luzon iaitu di satu pulau dinamakan Pulau Corregidor kononnya untuk latihan yang lebih khusus dan istimewa. Malangnya ketika mereka berlatih di pulau ini telah bocor rahsia akan tujuan mereka dilatih iaitu untuk Operasi Merdeka “Menyerang Sabah”. “It struck the recruits that the plan would mean not only fighting their brother muslim in Sabah (tentera Malaysia), but also possibly killing their own Tausug and Sama (Bajao) relatives living there. Additionally, the recruits had already begun to feel disgruntled over the non-payment of the promise Peso 50 monthly allowance. The recruits then demanded to be returned home”.[5]
.
Akhirnya pada malam yang gelap-gelita 18hb Mac 1968 mereka dibunuh beramai-ramai cuma seorang yang bernasib baik sempat menyelamatkan diri. “Jibin Arula, the survivor, said that he heard a series of shots and saw his colleagues fall. He ran towards a mountain and rolled off the edge on the sea. He recalled clinging to a plank of wood and stayed afloat. By morning, fishers from nearby Cavite rescued him”.[6]
.
Menghasilkan satu perkara: Disebabkan pembunuhan Jabidah itu tunjuk perasaan dari kalangan pelajar Moro telah berlaku berminggu-minggu lamanya di luar istana presiden di Manila. Ini termasuklah Prof. Nur Misuari sendiri yang mengetuai bantahan dan tunjuk perasaan yang mana ketika itu beliau adalah pensyarah Sains Politik. Secara diam-diam maka tertubuhlah MNLF (Barisan Pembebasan Moro Kebangsaan) yang diketuai oleh Nur Misuari sendiri. MNLF mula bersorak dengan slogan “Kemerdekaan” wilayah Moroland (Mindanao dan Sulu) dari kerajaan Filipina dan rela bertumpah darah sekiranya perlu yakni perang jihad fisabilillah. Sejak itu bantuan dari negara-negara Islam yang simpati mula menghujani kem-kem MNLF manakala pihak Amerika Syarikat pula menyerahkan sepenuhnya masaalah itu kepada Ferdinand Marcos untuk menyelesaikannya sendiri (benarkah?). Bekas-bekas tentera MNLF pada hari ini turut menyatakan Amerika Syarikat dan pihak Vatican juga turut terlibat dalam membantu Marcos memerangi MNLF itu. Bagi Vatican setelah kacau bilau dan kelaparan melanda umat Islam Moro (pelarian perang) maka “bantuan kemanusiaan” bolehlah di hantar kesana (inilah program pemurtadan yang licik?). Bagi Amerika Syarikat pula, peperangan adalah durian runtuh baginya sebab Filipina akan membeli senjata sebanyak mungkin untuk menampung peperangan sekalipun secara hutang.
.
Maka dengan tertubuhnya MNLF serta mencurahnya bantuan antarabangsa (Negara Islam) kepadanya ditambah pula oleh tindakan agresif MNLF (mula menunjukkan penentangan kerana tentera militia Ilaga telah memulakan pembunuhan terhadap orang-orang Islam) yang dilihat sebagai bermulanya “Holy War” itu. Ferdinand Marcos pun mendapat lampu hijau untuk mengistiharkan undang-undang tentera (Martial Law) pada 1972 di Selatan Filipina. Dengan bala tentera yang lengkap tentera Marcos mula melanyak Selatan Filipina bersama armada lautnya serta jet-jet tentera udaranya yang canggih mula mengebom pulau-pulau yang dilaporkan punya aktivis MNLF (walhal tanpa mengira MNLF atau rakyat awam sama sahaja). Hasilnya, umat Islam Sulu menjadi kacau bilau hingga menjadi pelarian ke Sabah yang mungkin selama-lamanya akan menjadi pelarian.
.
Hakikatnya cuma satu perkara: Persoalannya, adakah Ferdinand Marcos benar-benar mahu melatih Tentera Jabidah itu untuk menyerang Sabah? Adalah di luar pertimbangan akal yang sihat apabila menugaskan orang Islam iaitu orang Tausug dan Bajao memerangi keluarga mereka sendiri di Sabah? Sememangnya Marcos memang sedia maklum orang yang dilatihnya pasti enggan menyerang Sabah. Apakah ada udang di sebalik batu? Inilah hakikat yang kami mahu para pembaca memikirkannya dan berkongsi dengan kami untuk mendapat jawapan dalam bab-bab seterusnya. (Sila lihat di mukasurat yang lebih khusus dalam buku ini tentang Marcos dan bagaimana Marcos memanipulasi harta Kesultanan Sulu hingga munculnya idea “Perang-perang” itu).[7]
.
7- Pembelaan terhadap Sabah (untuk terus berada dalam Malaysia) oleh Pewaris Kesultanan Sulu keluarga Maharaja Adinda Aranan, dari tuntutan Filipina dan Sultan Sulu keluarga Kiram yang diperalat.
.
Kami menegaskan di sini bahawasanya Sabah akan berada tetap dalam tangan Malaysia sekalipun Sulu itu akan jatuh semula pentadbirannya kepada Kesultanan Sulu. Kerana sejarah telah menyebabkan kita lebih berhati-hati dalam membuat keputusan sebab sekiranya Sabah itu diambil oleh Sultan Sulu (Kiram) lebih awal sebelum kemasukannya ke Malaysia tempoh hari sudah tentu Sabah akan ditadbir oleh Marcos yang rakus itu malah akan menjadi porak peranda di tangan Filipina. Buktinya lihat saja apa yang berlaku di Sulu itu hari ini.
.
Walaubagaimana pun sejarah membuktikan bahawa Sabah itu masih dalam pajakan kerana terlalu banyak bukti keatasnya seperti yang kami paparkan dalam buku ini. Sabah bukan milik Filipina dan Sabah juga bukan milik Sultan Sulu yang “menyamar” sultan itu. Sabah adalah wilayah pentadbiran Malaysia yang diiktiraf PBB hanyasanya tidak dapat keluar dari kebenaran akan kewujudan perjanjian pajakan itu. Kita memuji kesanggupan Malaysia membayar RM5000 setahun kepada waris Kiram hingga hari ini sekurang-kurangnya masih mengesahkan kewujudan “bayaran pajakan” tahunan itu. Sekalipun mungkin ada tuntutan di kemudian hari ianya hanya boleh dibuat oleh waris kesultanan yang sah (Keluarga Maharaja Adinda Aranan) itu pun atas budi bicara dan perbincangan secara muhibbah antara Malaysia dan Kesultanan Sulu. Kerana terlalu ramai rakyat Sulu yang berada di Sabah sebahagiannya telah mendapat kewarganegaraan dan suaka Politik. Tentunya akan dinilai sebagai bantuan “saudara seagama” yang sangat besar di sisi Kesultanan Sulu dan rakyatnya kelak.


Nota kaki:
.
[1] Tarsilah Brunei II, Salasilah Sharif-sharif Alawiyah (Pehin Dato Dr. Mohd. Jamil Al-Sufri, m.s. 104)
.
[2] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 257-267 (Terjemahan Shamsuddin Jaafar. DBP:1988).
.
[3] Dalam buku Tarsilah Brunei II mengatakan bahawa Tun Mustafa susur galurnya adalah dari keluarga Maharaja Adinda melalui Datu Harun. Keluarga Maharaja Adinda (antara yang paling tua : YM Datu Aliuddin Haddis Pabila – umur hampir 80 thn) di Kota Kinabalu mempersoalkan kebenaran Datu Harun adalah dari Keluarga Maharaja Adinda. Kerana salsilah keturunan Tun Mustafa dari Datu Harun itu dimasukkan kedalam Tarsilah Brunei II berdasarkan cerita Tun Mustafa sendiri tanpa disokong oleh fakta mahupun salsilah dari kesultanan Sulu (mungkin sahaja diterima ceritanya disebabkan ketika itu beliau adalah Ketua Menteri Sabah).
.
[4] The Corregidor Massacre-1968, m.s. 1, Paul F. Whitman -http://corregidor.org/
heritage_battalion/jabidah.html
.
[5] Ibid, m.s. 3.
.
[6] Ibid. m.s. yang sama.
.
[7] Sekiranya kita memerhatikan kronologi bagaimana orang-orang Tausug dan Bajao (Komando Jabidah) itu dilatih di Sulu kemudian di bawa ke Luzon di sebuah pulau dinamakan Pulau Corregidor setelah itu dibunuh beramai-ramai kelihatan seperti ada yang tidak kena. Yang lebih pelik bagaimana Jibin Arula itu terselamat dari kawasan pembunuhan yang sememangnya dikawal rapi itu (macam cerita filem pula sang hero berjaya selamatkan diri). Sekiranya benar Komando Jabidah itu dilatih untuk Operasi Merdeka “Menyerang Sabah” bagaimana pula lokasi latihan yang pada awalnya berada hampir di Sabah iaitu di Tawi-tawi, Sulu itu berpindah pula ke Luzon (Pulau Corregidor) yang lebih jauh? Terlalu banyak persoalan yang menyelubungi peristiwa pembunuhan Jabidah ini apatah lagi sekiranya kita hubungkaitkan pumbunuhan Jabidah dengan perisytiharan undang-undang tentera oleh Marcos menyebabkan tenteranya melanyak orang Moro di Selatan Filipina itu pada 1972. Seolah-olah pembunuhan Jabidah itu sengaja dirancang bukan untuk menyerang Sabah tapi untuk (provokasi) menaikkan kemarahan orang Moro lalu melawan mengangkat senjata. Rasanya ini adalah satu permainan bijak Ferdinand Marcos demi menguasai sepenuhnya wilayah Sulu itu dan harta kesultanannya hingga kiamat.

1 ulasan: