Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

9- KESULTANAN SULU (PEWARISAN)

Lambang Senjata Sebagai Bukti

BERIKUT adalah penjelasan tentang kenaikan takhta Kesultanan Sulu yang penulis himpunkan berdasarkan kenyataan dari keluarga Maharaja Adinda Aranan:
.
Untuk mengenali "Keluarga Diraja Sulu" perlu dilihat dahulu "Lambang Senjata" dalam Bendera Kesultanan Sulu itu. Pernahkah anda melihat bendera Kesultanan Sulu? Dalam Bendera Kesultanan Sulu ada lambang keris (Melambangkan Keluarga Kiram) dan lambang barung (Melambangkan Keluarga Shakiraullah). Keris dan Barung ini diletakkan "Bersilang", kerana keluarga ini adalah keluarga yang dipanggil "Pewaris Pertama" (The first heir-apparents) keturunan dari (Abang), Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I Ibni Sultan Badaruddin-I (Dari isteri Pertama Sultan Badaruddin-I, Gadis dari Soopeng, Sulawesi).
.
Dalam bendera itu juga ada lambang "Bujak/Tombak", sebagai lambang Keluarga Maharaja Adinda yang juga dikenali sebagai "Keluarga Pewaris Kedua" keturunan dari (Adik), Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badaruddin-I (Dari isteri Kedua Sultan Badaruddin-I, Gadis Tidung dari Borneo).[1]
.
Pernahkah orang bertanya, mengapa Kesultanan Sulu ada "Pewaris Kedua"? Pernahkah orang berfikir, mengapa dalam permainan bola sepak ada pemain kedua atau pemain simpanan? Fungsinya lebih kurang sama, Kesultanan Sulu mewujudkan Pewaris Kedua sebagai "Penyelamat dan Penyambung" kepada Kesultanan Sulu, sekiranya hak Kesultanan Sulu berakhir di tangan Pewaris Pertama.
.
Ini bermakna, walaupun ada yang menganggap Kesultanan Sulu telah berakhir atau termansuh kerana beberapa perjanjian yang dibuat oleh Keluarga Kiram (Pewaris Pertama) yang telah dianggap menjual negara, namun hak Kesultanan Sulu itu sebenarnya tidak akan termansuh, kerana pewaris kedua masih wujud dan juga masih mempunyai hak mutlak ke atas Wilayah Kesultanan Sulu (Ini adalah fakta yang mesti difahami).
.
Dalam soal kenaikan takhta Sulu, Buku Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu perlu dirujuk semula (Kitab Tartib). Dalam protokol atau Tartib Kesultanan Sulu, di-nyatakan, Sultan Sulu itu tidak semesti menurunkan takhtanya kepada anak atau pu- teranya. Sistem Kesultanan Sulu adalah berlainan dengan Sistem Kesultanan Brunei (walaupun kedua-dua Kesultanan ini adalah bersaudara).[2]
.
Ada empat huraian yang dinyatakan dalam urusan kenaikan ke atas takhta untuk menjadi Sultan Sulu. Seperti yang dihuraikan oleh Prof. Cesar Adib Majul dalam buku-nya (Islam Di Filipina) sebagai kitaran penggiliran takhta diantara 3 Keluarga Diraja Sulu, yang beliau tandakan sebagai A, B dan C. (Inilah yang kita fahami sebagai Keluarga Kiram, Shakiraullah & Aranan).[3]
.
Perlulah difahami bahawa, tidak dibolehkan selamanya takhta Kesultanan Sulu hanya dikuasai dan dimonopoli oleh Keluarga Kiram dan Shakiraullah (Pewaris Pertama). Sepertimana apa yang mereka lakukan dari 1862 sehingga kini iaitu meminggirkan pewaris kedua (Keluarga Maharajah Adinda) seolah-olah tiada hak ke atas Takhta Sulu?[4] Pernahkah orang bertanya, "Keluarga siapakah yang telah menyebabkan Kesultanan Sulu Musnah (dianggap termansuh)?" Jawapannya, semua angkara Pewaris Raja Pertama.
.
Kini, sesuai dengan fungsinya, Pewaris Raja Kedua akan menuntut haknya yang tentunya akan menyelamat, menghidupkan kembali serta menyambung semula warisan Kesultanan Sulu, sebagai Kesultanan Sulu yang baru. Kerana Kesultanan Sulu yang lama telah berakhir di tangan pewaris pertama setelah kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada 1936. Baginda tidak mempunyai anak (rujuk rekod PAWCI dari CA-USA dan kenyataan dari Prof. Nicholas Tarling dalam bukunya Sulu and Sabah). Semenjak dari tahun 1862 sehingga 1936, takhta Sulu hanya dimonopoli oleh Keluarga Pewaris Pertama. Sekiranya merujuk kepada kenyataan Presiden Pertama Filipina, L.Quezon, yang mana beliau tidak bermaksud memansuhkan Kesultanan Sulu akan tetapi beliau tidak mahu mengiktiraf sesiapa pun sebagai penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II (Iaitu Penyambung dari semua Keluarga Kiram atau Keluarga Pewaris Pertama). Ini bermakna, pewaris kedua adalah terkecuali.
.
Pewaris Dan Penyambung
Pernahkah orang bertanya, mengapa dalam dokumen "Pajakan Borneo Utara" pada 1878, perkataan pewaris dan penyambung (The Heirs and Successors) 4 kali diguna-pakai dalam perjanjian tersebut? Mengapa pula tidak menggunakan perkataan pewaris atau penyambung (The Heirs or Successors)? (Perkara ini telah ditimbulkan oleh Prof. Nicholas Tarling dalam bukunya, Sulu and Sabah). Jawapannya, kerana Sultan Jamalul A’zam serta kabinetnya mahu menghadkan sebarang tuntutan hak ke atas Borneo Utara pada masa hadapan. Tentunya Baginda mahu hanya Keluarga Diraja Sulu yang berkelayakan sahaja iaitu yang berhak penuh untuk menuntut Borneo Utara. Maka Keluarga Diraja Sulu yang dimaksudkan itu mestilah memenuhi kehendak perkataan sebagai pewaris dan dalam masa yang sama berhak menjadi penyambung kepada Kesultanan Sulu, mengikut Tartib atau Protokol Kesultanan Sulu.
.
Perlu diingat, Sultan Jamalul A’zam telah dapat menaiki takhta Kesultanan Sulu adalah di atas sokongan dari "Datuk Saudaranya" Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ibni Paduka Raja Muda Datu Bantilan ibni Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II ibni Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badaruddin-I, telah dengan rela hati menurunkan dirinya dari takhta Sulu selepas menduduki takhta selama seminggu sahaja. Ketika itu, takhta Sulu juga disaingi oleh Datu Amir Bahar (Datu Daniel). Namun dengan sokongan dan pengaruh yang kuat dari Sultan Aranan/Adanan Puyo, Sultan Jamalul A’zam berjaya menduduki takhta Kesultanan Sulu akhirnya.
.
Prof. Cesar telah menjelaskan:
"Pada bulan September 1862, Sultan Pulalun mangkat. Takhta beliau telah diberikan kepada ayahanda saudara beliau, Datu Aranan, yang ketika mudanya memang bercita-cita untuk mendapatkan takhta itu. Bagaimanapun, beliau menolak kesultanan itu dengan alasan bahawa beliau terlalu tua dan tidak kaya. Yang demikian takhta itu telah diserahkan kepada Jamalul Azam, seorang putera Sultan Pulalun…….Datu Daniel berhasrat supaya menantu lelaki beliau Datu Jamalul Kiram, cucunda kepada Sultan Shakirullah menjadi sultan. Tetapi campur tangan Datu Aranan dalam perkara itu di samping keengganan pihak Spanyol menunjukkan sebarang simpati terhadap perjuangan Datu Daniel menyebabkan sebahagian besar datu-datu mengisytiharkan Jamalul Azam sebagai Sultan".[5]
.
Mungkin, sebagai ingin membalas jasa baik Datuk Saudaranya (Sultan Aranan/Adanan Puyo) itu, Sultan Jamalul A’zam sememangnya berkehendak agar dimasa hadapan Keluarga Maharaja Adinda (Pewaris Kedua) saja yang akan 'berkelayakan" menuntut hak ke atas Borneo Utara, sekiranya hak pewaris pertama termansuh.
.
Penyelesaian
Memandangkan hak pewaris pertama telah dianggap termansuh semenjak daripada kemangkatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936, maka hak warisan kesultanan Sulu beralih secara mengikut "Tartib atau Protokol" diberi kepada keluarga pewaris kedua (Keluarga Maharaja Adinda). Kerana keluarga ini adalah pewaris Kesultanan Sulu yang sah dan dalam masa yang sama berkelayakan menjadi penyambung kepada Kesultanan Sulu.
.
Ini bersesuaian dengan perkataan yang diguna-pakai dalam perjanjian "Pajakan" Borneo Utara pada 1878, Perkataan pewaris dan penyambung (The Heirs and Successors). Maka, "9-Waris" yang menuntut hak warisan dari Kerajaan British berkenaan bayaran sewaan tahunan Borneo Utara pada 1936-1939 yang diketuai oleh Hjh Dayang-dayang Piandao serta 8 yang lain adalah tidak berkelayakan.
.
Ini kerana, 7 Orang dari mereka itu adalah perempuan. Dalam Kesultanan Sulu, mereka ini mungkin boleh diterima sebagai pewaris (The Heirs), tapi mereka ini tidak boleh jadi penyambung (The Successors) kepada Kesultanan Sulu, kerana mereka adalah "Perempuan". Dua orang lagi adalah Sultan Esmail-Kiram-I dan Datu Punjungan-Kiram, juga mungkin hanya boleh diterima sebagai pewaris (The Heirs) tapi tidak boleh menjadi penyambung (The Successors), kerana hak Keluarga Pewaris Pertama telah berakhir dengan kewafatan Sultan Jamalul-Kiram-II yang tiada anak (mandul), serta sekian lamanya takhta dimonopoli oleh keluarga Pewaris Pertama.
.
Maka sekiranya mengikut Protokol atau tartib Kesultanan Sulu, Takhta beralih dan menjadi hak keluarga Pewaris Kedua (Maharaja Adinda). Inilah fakta sebenar yang mesti difahami.
.
Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu ini perlu diikuti kerana tiada wujud kesultanan yang tiada Protokol di mana-mana pun dalam dunia ini. Bermakna semenjak dari 1936, takhta Kesultanan Sulu sepatutnya menjadi milik Keluarga Maharaja Adinda yang merupakan pewaris dan penyambung (The Heirs and Succesors) kepada Kesultanan Sulu.
.
Namun sayangnya, semenjak dari 1936 tiada seorang pun dari Keluarga Maharaja Adinda yang tampil membuat tuntutan hak ke atas Kesultanan Sulu, kerana masalah "Buta huruf dan Kemiskinan". Maka sesuatu perlu dilakukan iaitu bermula tahun 2004, Keluarga Maharaja Adinda telah tampil untuk membuat tuntutan haknya dengan mewujudkan Majlis Diraja Sulu "Rumah Bicara" di Sulu dan sekarang tengah berusaha mendapatkan sokongan dan keyakinan dari rakyat Sulu dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan setakat yang termampu.
.
Para Penuntut Takhta
Hak pewaris pertama sama ada Kiram atau Shakiraullah telah berakhir semenjak kewafatan Sultan Jamalul-Kiram-II pada 1936.
.
Maka, tuntutan-tuntutan dari Raja Muda Mawallil-Wasit-II, Sultan Esmail-Kiram-I, Sultan Mahakutta-Kiram & Raja Muda Muedzul-Lail, Sultan Akidjal Pulalon, Sultan Ibrahim Pulalun, Sultan Pitico, Paramount Sultan Ibrahim Bahjin mahupun Sultan Mohd Fuad Kiram adalah tidak bermakna lagi. Sultan Jamalul-Kiram-III dan Sultan Esmail-Kiram-II ibni Sultan Punjunggan-Kiram bin (Imam) Amir Hamzah, adalah bukan berasal dari darah Keturunan Sultan Sulu. Kerana Datu Punjungan-Kiram itu adalah anak kepada Puan Mora Napsa Laga [6] dengan suami pertamanya, (Imam) Amir Hamzah. Datu Punjungan-Kiram juga bukanlah dari zuriat Raja Muda Mawallil-Wasit-II. Sultan Julaspi-Kiram dan anaknya Sultan Roodinood juga tiada hak menuntut ke atas Kesultanan Sulu. Kerana mereka ini hanyalah menyamar dan tiada kaitan darah dengan Kesultanan Sulu. (Lihat senarai Salsilah Kesultanan Sulu oleh YM Datu Ali Aman yang menyatakan Julaspi Kiram itu adalah anak angkat kepada Sultan Jamalul Kiram-II sahaja).
Perlulah kami tegaskan di sini bahawa, "Waris Sebenar Kesultanan Sulu" yang benar-benar berkelayakan ke atas Takhta Sulu adalah dari Keluarga Maharaja Adinda, iaitu "Cucunda" kepada Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo sendiri:
.
YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila ibni YM Datu Mohammad Sheikh/Sie/Seh ibni Almarhum Maharajah Adinda @ Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo ibni YM Datu Paduka Raja Muda Datu Bantilan ibni Almarhum Sultan Azimuddin @ Alimuddin-II ibni Almarhum Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Almarhum Sultan Badaruddin-I ibni Almarhum Sultan Salahuddin-Karamat ibni Almarhum Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan (Sultan Brunei ke-9).
.
YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila inilah satu-satunya yang menyerahkan Pulau Janggi ke Muzium Brunei pada 1978. (Pulau Janggi @ Sepoh Janggi adalah merupakan Lambang Diraja Kesultanan Sulu, yang menjelaskan bahawa darah pewaris Kesultanan Sulu bermula dari Sultan Mawallil-Wasit @ Raja Bongsu-I, adalah dari darah Sultan Brunei, Sultan Muhammad Hassan dari sebelah Ayahandanya dan dari sebelah Ibundanya pula, adalah Puteri Sulu, puteri kepada Sultan Pangeran Buddiman Ul-Halim terus ke darah Sultan Shariful-Hashim). Perkara ini telah pun disahkan benar oleh pihak Muzium Brunei.
.
Terdapat orang perseorangan seperti Sultan Aidal M.Aliuddin, yang mendakwa mempunyai Pulau Janggi Kesultanan Sulu sebenarnya adalah satu penipuan semata-mata. Kerana semenjak dari 1978, Pulau Janggi Kesultanan Sulu yang merupakan satu-satunya milik Kesultanan Sulu, sehingga kini masih berada dalam jagaan pihak Muzium Brunei.
"Pulau Janggi @ Sepoh Janggi (Coco de Mer) ini hanya diamanahkan kepada Keluarga Maharaja Adinda, bukan kepada Keluarga Kiram atau Shakiraullah".
.
Ini bertujuan sebagai bukti akan kesahihan hak pewaris kedua sebagai pewaris dan penyambung kepada Kesultanan Sulu (The Heirs and Successors). Juga merupakan pewaris yang sememangnya berkelayakan sepenuhnya untuk menuntut hak ke atas Wilayah dan Harta Milik Kesultanan Sulu.
.
Jika disusun mengikut susunan generasi, oleh kerana Maharaja Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo adalah merupakan Bapa Saudara atau Pakcik kepada Sultan Pulalun @ Mohd Fadl, maka YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila ini adalah berpangkat moyang kepada semua penuntut takhta samada dari Keluarga Kiram atau Shakiraullah. Maka dalam hal ini, keutamaan dan penghormatan untuk menduduki takhta Kesultanan Sulu harus diberikan kepada YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila.
.
Demikianlah kenyataan dan fakta yang dikemukakan oleh keluarga Maharaja Adinda Aranan.

Kesimpulan
Melihat dari kenyataan akhir di atas iaitu, "Maka dalam hal ini, keutamaan dan penghormatan untuk menduduki takhta Kesultanan Sulu Harus diberikan kepada YM Datu Aliuddin @ Haddis Pabila” adalah setakat cadangan yang kami lihat sebagai munasabah sekiranya mengikut susunan generasi. Istilah "Harus" kami gunakan untuk memudahkan tafsiran bahawa tidak semestinya hanya YM Datu Aliuddin Haddis Pabila sahaja dari Keluarga Maharaja Adinda Aranan yang yang layak menaiki takhta walhal hanya Rumah Bicara sahaja yang boleh memutuskan kelayakan tersebut. Kerana Keluarga Maharaja Adinda Aranan terlalu ramai yang mungkin sesiapa sahaja dari mereka (Keluarga Maharaja Adinda) akan meminta Rumah Bicara memilih mereka sebagai Sultan Sulu.
.
Walau bagaimanapun sebagai Majlis Diraja Sulu Rumah Bicara tentunya akan memilih Sultan Sulu dari kalangan Keluarga Maharaja Adinda itu dengan adil berdasarkan ketokohan dan kebijaksanaan serta pertimbangan dari susunan generasi sebagai salah satu keutamaan. Maka keutamaan tersebut berkemungkinan besar akan jatuh kepada YM Datu Aliuddin Haddis Pabila.
Keseluruhan dari kenyataan kami di atas membuktikan keadaan sebenar kewujudan Kesultanan Sulu tersebut adalah berpandukan Tartib atau Protokol Diraja Sulu yang mana para pendakwa atau penyamar Sultan Sulu hari ini tidak mengetahuinya. Malah Bendera Sulu yang asal itu pun mereka tidak gunakan sebagai bendera kesultanan mereka. Ini membuktikan kejahilan sejarah oleh penyamar Sultan-sultan Sulu itu. Walau bagaimanapun untuk berlaku adil kepada keluarga Kiram dan Shakiraullah, kami membuat kesimpulan bahawa ketidakfahaman para Sultan-sultan Sulu yang ada pada hari ini terhadap Tartib Diraja Sulu itu berkemungkinan adalah disebabkan oleh beberapa kenyataan seperti berikut:
.
Mereka (sekiranya benar waris Kesultanan Sulu dari Kiram & Shakiraullah) kekurangan maklumat tentang Kesultanan Sulu kerana kebanyakan yang naik menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu hari ini telah terputus perhubungan dengan kerabat Diraja Sulu yang arif tentang sejarah kesultanan. Sekiranya tidak ada pengetahuan tentang Tartib Diraja Sulu, maka pengetahuan-pengtahuan lain yang melibatkan pengetahuan perundangan mahupun adat (Protokol) para datu-datu turut tidak diketahui.
.
Peperangan era moden (menentang tentera Amerika, Jepun serta Filipina) yang melanda Sulu telah menyebabkan institusi Kesultanan Sulu porak peranda dan seolah-olah telah hilang ditelan oleh perang moden itu (kerana rakyat bertaburan jadi pelarian). Maka maklumat tentang Tartib Diraja Sulu semakin sukar didapati terutama bagi mereka yang malas mengkaji dan mencari sejarah kesultanan sudah tentu keadaan akan lebih sukar. Sebab itu bermunculanlah datu-datu yang menabal diri jadi sultan dengan hanya berpandukan cerita keluarga (yang juga tidak arif tentang Tartib) bahawa sebenarnya mereka adalah keluarga waris Kesultanan Sulu dan tentunya (bagi mereka) layak diangkat sebagai Sultan Sulu begitu sahaja.
.
Sebenarnya mereka mengetahui tentang Tartib Diraja Sulu tersebut malah maklum dengan kewujudan Waris Raja Kedua, tetapi oleh kerana mereka tidak menemui atau pun terputus hubungan dengan keluarga Kesultanan yang lain maka dianggap sahaja Waris Raja Kedua itu telah pupus.
.
Jelaslah pada kita, bahawa Kesultanan Sulu itu adalah terdiri dari 3 warisan. Kerana selama ini kita mengetahui, hanya Kiram (lambang Keris) dan Shakiraullah (lambang Barung) sahaja yang layak diangkat menjadi sultan tanpa mengetahui kewujudan satu lagi waris (lambang Tombak atau Bujak) yang juga punya hak ke atas takta Kesultanan Sulu.
.
Sebelum mengakhiri bab Kesultanan Sulu ini, kami dengan harapan yang tinggi meminta para waris kerabat Diraja Sulu samada dari Kiram, Shakiraullah mahupun Aranan bersatu dan berkerjasama untuk meletak semula Kedaulatan Kesultanan Sulu di Sulu. Letakkan semula Kesultanan Sulu di tempatnya seperti sediakala dengan slogan "La ilaha illallah, Muhammadurrasulullah" kerana dengan slogan inilah para Sultan-sultan yang awal dulu mendapat bantuan Allah s.w.t sehingga bertahan selama hampir 400 tahun tanpa terkalah. Walau bagaimanapun setakat slogan sahaja tidaklah cukup melainkan setelah para kerabat Kesultanan Sulu dan rakyatnya beramal dengan ajaran Islam dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan bernegara, mengasihi dan senantiasa mendampingi para ulamak sebagai penunjuk jalan dunia akhirat.
.
Kami ingin mengingatkan saudara-saudara kami orang-orang Islam Sulu dan waris-waris Kiram serta Shakiraullah melihat hujah kami di dalam buku ini, kerana kami bukannya bertujuan menghina mana-mana pihak melainkan memberi pemahaman tentang kedudukan Kesultanan Sulu dan hak-hak kepada yang berhak berdasarkan bukti-bukti sejarah seperti yang anda semua lihat. Kami bersedia diajak berbincang di mana sahaja demi kebenaran dan maslahat umat Islam Sulu keseluruhannya kerana "Kami tidak kisah sesiapa sahaja yang ditabal jadi Sultan Sulu". Akan tetapi perlulah kami mendengar hujah dan bukti yang cukup dari kalian terlebih dahulu. Itu sahaja.
.
Kami sudah tidak tahan dengan individu-individu yang mengaku Sultan Sulu yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka hanya pandai mengambil kesempatan dari orang-orang Sulu yang sememangnya sudah pun hidup melarat dan menderita. Inilah yang kami tidak mahu, kerana perkara ini boleh menyebabkan Institusi Kesultanan Sulu dipandang serong dan hina oleh orang-orang Sulu sendiri apatah lagi orang-orang luar.

Nota kaki:

[1] Carta Kesultanan Sulu, YM datu Ali Aman @ Raja Bongsu II.
.
[2] Rujuk: Tarsilah Brunei I & II, Pehin Prof. Mohd Jamil Al-Sufri. Rujuk: Ibid.
.
[3] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 493.
.
[4] Walaubagaimana pun, perlu juga diakui bahawa bukannya setiap keadaan Waris Pertama (Kesultanan) itu meminggirkan Waris Kedua (Kesultanan) sebab sekiranya kita melihat sejarah dua warisan kesultanan Sulu ini sebenarnya sangat berkasih sayang sesama mereka sebagaimana kasih sayang yang ditunjukkan oleh Sultan Mohd Fadl Pulalun (Kiram) dengan menyerahkan takhta Sultan Sulu kepada ayahanda saudaranya iaitu Datu Aranan (Waris Raja Kedua). Selama seminggu pula Datu Aranan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Muhammad Aranan Puyo setelah itu menyerahkan semula takhtanya kepada cucu saudaranya iaitu Sultan Jamalul Azam ibni Sultan Mohd Fadl Pulalun (Kiram). Tolak ansur Datu Aranan itu menunjukkan kasih sayang sesama keluarga diraja Sulu ketika itu. Ini juga menunjukkan pada kita bahawasanya Waris Raja Kedua itu sememangnya bertugas sebagai "penyelamat" institusi Kesultanan Sulu selagi mana Waris Raja Pertama memahami kedudukan mereka. Malangnya hari ini bukan sahaja Waris Raja Kedua itu tidak difahami malah terus dianggap "telah pupus". Sebab itu munculnya keluarga Waris Raja Kedua hari ini adalah sebagai "penyelamat" institusi Kesultanan Sulu sekali lagi.
.
[5] Prof. Cesar, Op. Cit. m.s. 421.
.
[6] Puan Mora Napsa Laga @ Lagayan adalah seorang wanita jelita yang pandai "mangalai" (Tarian kebudayaan Tausug) adalah isteri kepada Amir Hamzah (seorang imam kampung). Kejelitaan Napsa Lagayan ini menyebabkan Sultan Mawallil Wasit ibni Sultan Jamalul Azam @ A'lam terpikat dan berusaha bagaimana mendapatkan Napsa Lagayan sebagai isterinya. Ketika Amir Hamzah (suami Napsa Lagayan) pergi berniaga ke Sandakan, Borneo Utara, Sultan mengadakan majlis di Istananya dengan menitahkan Napsa Lagayan menari dalam majlis tersebut. Malangnya Napsa Lagayan telah tidak dibenarkan kembali kerumahnya dan dikurung dalam bilik istana. Walhal ketika ini beliau telahpun hamil tentunya anak Amir Hamzah. Bila Amir Hamzah kembali dari Sandakan dengan membawa perhiasan untuk dihadiahkan kepada isteri jelitanya yang tersayang itu didapati isterinya telah ghaib (nampaknya orang-orang kampung turut bersubahat menyembunyikan cerita sebenar malah menipu Amir Hamzah yang isterinya telah dimakan buaya). Amir Hamzah dengan nekad terjun kesungai (lubuk buaya) semata-mata mencari isterinya tapi akhirnya beliau mengetahui isteri kesayangannya itu sebenarnya telah diculik Sultan. Cerita Amir Hamzah dengan Napsa Lagayan ini adalah cerita yang sangat menarik dan terkenal dikalangan masyarakat Tausug hingga ke hari ini kerana telah dijadikan lagu tradisi (Lughoh) dan masih boleh didengar dalam majlis-majlis keramaian (majlis kahwin).

Tiada ulasan: