Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

2- MUKADIMAH

Bismillahirrahmanirrahim,
.
SEGALA puji dan puja ditujukan kepada Allah subhanahuwwata’ala Tuhan pencipta semesta alam. Dengan rahmat dan ‘inayahNya kita masih diberi peluang menikmati hidup dengan Iman dan Islam, alhamdulillah. Selawat serta salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam. Seorang Rasul yang ummi tapi telah berjaya mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Yang mengajar kita bagaimana berakhlak mulia dan berkasih sayang sesama kita. Bagindalah sebaik-baik ikutan hingga kiamat. Begitu juga kepada para ahlulbaitnya yang mulia dan dimuliakan serta para sahabatnya yang diredhai Allah s.w.t, para ‘ulama ul ‘amilin, para syuhada yang sama-sama berjuang meninggikan kalimah laa’ilaha’illallah di muka bumi ini semata-mata ingin mendapat keredhaan Allah subhanahuwwa ta’ala. Amma ba’du.
.
Buku yang sedang anda baca ini merupakan kupasan sejarah yang dihimpun dari pelbagai media tentang pembelaan, peperangan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Islam Moro Sulu (Tausug) di Filipina Selatan. Kami hanya memfokus kepada sejarah masyarakat Islam Sulu sahaja tanpa memasukkan Mindanao secara langsung. Sebagaimana tajuk buku ini sendiri ia cuma memaparkan pembelaan dan perjuangan berdarah orang-orang Islam Sulu khususnya kaum Tausug. Sebenarnya di Sulu sendiri terdapat beberapa suku kaum lagi tapi oleh kerana kaum Tausug yang dominan atau yang empunya kuasa (Kesultanan) maka penulis hanya memfokus sejarah kaum Tausug. Walau bagaimanapun kaum-kaum lain turut juga disentuh sebagai tambahan untuk membantu menjelaskan beberapa fakta kerana kaum-kaum yang lain ini juga turut mempunyai sumbangan yang besar terhadap perang fi-sabilillah bersama kaum Tausug melawan tentera penjajah  hingga hari ini.
.
Alhamdulillah buku ini telah berjaya disempurnakan setelah mengumpul bahan-bahan atau faktanya sejak beberapa tahun lalu. Pada awalnya kami cuma mencari fakta tambahan tentang perjuangan Datu Paduka Mat Salleh[1] pahlawan Sabah yang terkenal itu untuk dijadikan skrip kartun animasi. Tetapi kemudiannya setelah maklumat tersebut semakin bertambah kepada penemuan fakta-fakta yang lebih menarik (tentang Kesultanan Sulu dan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Sulu) ditambah pula dengan dorongan sahabat-sahabat yang terlibat dengan penerbitan maka penulis mengambil keputusan untuk menyusun buku ini. Tujuan Penulisan Antara tujuan buku ini ditulis adalah :
.
1) Mendedahkan siapa sebenarnya kaum Tausug (Suluk) dan bukti-bukti sejarah dalam pembelaan mereka terhadap bangsa-bangsa lain yang bersahabat dengan mereka ketika era Empayar Kesultanan Sulu lagi serta peranannya meletakkan Bangsa Moro (Etnik-etnik Islam Filipina) sendiri sebagai perhatian di mata dunia. Hal ini turut melibatkan pendedahan asal-usul Tausug, etnik-etnik lain yang mengelilinginya, kesenian dan kebudayaannya serta adat resamnya.
.
2) Mendedahkan sejarah Kesultanan Sulu dari sumber-sumber yang sahih dengan demikian dapatlah kita melihat secara jelas bagaimana sistem kesultanan itu berjalan seperti penggiliran takhta antara Keluarga Kiram[2], Shakiraullah[3] dan Aranan[4] dan melihat perebutan kuasa antara mereka, seterusnya dapat menjadi panduan untuk berhujah kepada Sultan-sultan Sulu yang ingin menuntut Sabah (Borneo Utara)[5] yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
.
3) Mendedahkan sejarah peperangan yang panjang serta pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera penjajah Spanyol, Amerika Syarikat dan Tentera Filipina sendiri terhadap orang-orang Islam Sulu khususnya kaum Tausug yang selama ini tidak diketahui oleh saudara-saudara Islam mereka di Malaysia.
.
4) Mendedahkan sejarah Islamisasi di Sulu yang dilagang oleh para Syaraif[6] (Ahlul-bait) yang menjadi pegangan masyarakat Sulu hingga kini serta menilai tahap ilmu keislaman mereka yang masih bertahan di tengah-tengah pemurtadan Kristianisasi  antarabangsa yang semakin giat di Sulu hari ini.
.
Pendedahan tentang Kesultanan Sulu dalam buku ini kebanyakannya bersumberkan dari tulisan Allahyarham Prof. Cesar Adib Majul[7] : Islam Di Filipina[8], serta sumber-sumber dari kerabat diraja Kesultanan Sulu sendiri dari sebelah Keluarga Maharaja Adinda Aranan dan juga sumber-sumber yang diambil dari internet dari laman-laman web yang boleh dipercayai. Prof. Cesar telah mendedahkan kepada kita sejarah Kesultanan Sulu dengan jelas dan yang paling penting beliau adalah penulis Islam Filipina sendiri yang sudah tentu laporannya lebih tepat dan jujur berbanding para orientalist barat sendiri. Walau bagaimanapun tanpa penjelasan dari Keluarga Aranan tentang Sistem Kesultanan Sulu yang sebenarnya, kami tentu masih teraba-raba menjelaskan kekaburan penggiliran takhta Kesultanan Sulu itu.
.
Keluarga Aranan adalah keluarga tersorok di dalam hirarki Kesultanan Sulu walaupun telah sekian lama memendam niat untuk merebut takhta tidaklah sampai menuntut Sabah berbanding keluarga-keluarga Kiram. Keluarga Aranan yang ‘low profile’ ini terpaksa muncul kerana sudah tidak tahan dengan kemunculan pelbagai sultan yang mengaku Sultan Sulu untuk mengambil kesempatan dari rakyat Sulu yang memang sudah hidup melarat dan menderita malah lebih teruk lagi, para sultan yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini mahu menuntut Sabah pula. Keluarga Aranan telah membuktikan kepada kita tentang ‘kesilapan’ para sultan-sultan yang menuntut itu berdasarkan hujah-hujah dan bukti-bukti yang menakjubkan yang mana kami sendiri tidak tahu mengenainya sebelum ini. Segala bukti-bukti sebenarnya tertera dalam buku Islam Di Filipina tulisan Prof. Cesar tapi tiada huraian terperinci sehinggalah kedatangan keluarga Aranan yang menjelaskannya satu persatu mengikut kronologi seperti yang terdapat dalam Tarsilah @ Salsilah Sulu[9]. Hal ini kita akan singgung di bab yang lebih khusus.
.
Kita bersyukur majoriti Keluarga Aranan ini adalah warganegara Malaysia dan kita patut berterima kasih dengan kemunculan mereka yang bertindak sebagai pembela Sabah, alhamdulillah. Dan perlu juga dimaklumkan di sini kami juga pernah berhu- bungan dengan keluarga Kiram yang juga sesetengahnya adalah warganegara Malaysia sendiri sebelum bertemu Keluarga Aranan. Kiram sememangnya punya hujah-hujah tertentu yang sukar dipatahkan tentang hak-hak mereka ke atas Sabah, tapi hujah-hujah yang didatangkan oleh Aranan telah ‘membunuh’ selera mereka (para penuntut Sabah).
.
Kurangnya Buku Tentang Sejarah Moro Kami berasa terpanggil untuk menyusun buku lebih khusus seperti ini disebabkan sangat kurang buku-buku terbitan yang berada di pasaran hari ini yang memaparkan cerita sebenar orang Tausug serta penderitaan mereka sehingga kini secara jujur dan bermakna. Makna yang penulis maksudkan ialah perlunya pemaparan perjuangan satu bangsa yang bermatian mempertahankan Aqidah Suci mereka dari dirobek-robek oleh penjenayah-penjenayah perang seperti Spanyol, Amerika dan Filipina sendiri dan ini bolehlah kita ambil perhatian seterusnya sebagai bukti penganiayaan terhadap masyarakat Islam Moro Sulu mahupun kepada Bangsa Moro keseluruhannya.
.
Walau bagaimanapun seperti yang dinyatakan oleh YM Datu Uda @ Lajamura Bin YM Datu Wasik yang bertindak sebagai jurucakap Keluarga Aranan bahawa mereka (Keluarga Maharaja Adinda Aranan) dan masyarakat Sulu di Sabah sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia terutamanya di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas segala bantuan selama ini seperti sokongan mewujudkan IMM13 untuk memudahkan kepada yang berstatus pelarian mencari pekerjaan dan sebagainya. Banyak lagi bantuan kerajaan yang tidak mampu dicatat di sini. Malah YM Datu Uda sendiri mengatakan bahawa kalau sekiranya Negeri Sabah tidak berada dalam tangan Malaysia iaitu berada dalam tangan Filipina apa yang akan jadi? Jawapannya kita sendiri maklum. Oleh itu kita doakan Malaysia agar menjadi seperti yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran Al-Karim:
.
“Negara yang aman makmur serta mendapat keampunan Tuhan” (Saba’: 15)
.
Sebagai penulis yang juga berketurunan Tausug, kami berasakan perlunya tulisan seperti ini lahir dari kalangan orang Tausug sendiri kerana kami percaya ia akan menjadi harapan semua kaum Tausug sama ada yang berada di Kepulauan Sulu atau yang berada di Malaysia sendiri semata-mata untuk menyajikan maklumat yang lebih tepat dan dipercayai kepada masyarakat Malaysia khususnya tentang pembelaan Tausug terhadap bangsa lain dan kesengsaraan mereka hasil dari peperangan yang berterusan yang ditimpakan ke atas mereka hingga kini. Rasanya penjelasan seperti ini juga turut menjadi keperluan kepada Malaysia sebagai tambahan maklumat demi menangkis anasir-anasir yang mahu memporak-perandakan kedaulatannya.
.
Akhirnya apa yang diharapkan dari penulisan buku ini ialah dapat mendatangkan satu pemahaman yang jelas dan berasas tentang keadaan atau situasi sebenar yang dihadapi oleh masyarakat Islam Moro Sulu amnya dan khususnya kaum Tausug ini. Maka dengan demikian segala persepsi negatif terhadap kaum Tausug ini dapat diperbetulkan sebab selama ini mereka hanya dianggap sebagai bangsa pelarian yang tiada apa-apa dan dipandang sebagai penjenayah terutamanya di Sabah. Mereka dianggap datang sebagai pelarian ke Sabah untuk merampas Sabah dan sebagainya hanya kerana individu yang mengaku Sultan Sulu menuntut Borneo Utara (Sabah) dari tangan Malaysia dan beberapa kes tebusan seperti di Sipadan. Kita sedia maklum akan kesalahan ini dilakukan oleh kaum Tausug, persoalannya benarkah majoriti Tausug suka dan menggalakkan tindakan buruk seperti itu? Walhal mereka mementingkan maruah dari segalanya sebab itu antara tujuan buku ini diterbitkan untuk memperjelas pendirian orang Tausug terhadap tindakan-tindakan buruk segelintir Tausug yang dinisbahkan kepada bangsa mereka.
.
Kami tidaklah bermaksud meminta supaya bangsa ini dimuliakan atau diangkat ke tempat yang tidak selayaknya melainkan cuma meminta sedikit timbangrasa dan perikemanusiaan demi perpaduan dan keharmonian bersama seperti yang telah dilalui oleh nenek moyang kita sebelum ini. Generasi baru mereka perlukan pendidikan agama atau akademik sebab merekalah penentu masa depan bangsa ini. Rosaknya mereka maka negara yang menampung mereka akan turut rosak di masa akan datang.
.
Nota kaki:
.
[1] Datu Muhammad Salleh Bin Datu Butoh, beliau adalah berketurunan Tausug yang mengepalai penduduk Borneo Utara memerangi tentera British. Mati syahid tertembak ketika sedang solat di dalam kubunya di Tambunan pada 1900 dan mayatnya berjaya dilarikan oleh pengikutnya dan dikebumikan di satu tempat yang tidak diketahui sehingga kini.
.
[2] Adalah keturunan dari Sultan Jamalul Kiram -1 (1832-1842) anak kepada Sultan Alimuddin @ Azimuddin – III yang memerintah hanya selama 40 hari pada 1808. Sultan Jamalul Kiram-1 ini adalah pengasas gelaran Kiram kepada semua anak cucunya yang menjadi Sultan Sulu.
.
[3] Adalah keturunan dari Sultan Shakiraullah (1831-1832) saudara kepada Sultan Alimuddin @ Azimuddin – III. Beliau memerintah sebelum Sultan Jamalul Kiram-1 dan adalah pengasas kepada Keluarga Shakiraullah hingga kini.
.
[4] Adalah keturunan dari Maharajah Arinda (Adinda) dan menjadi sultan pada 25 September 1862 dengan gelaran Sultan Mohammad Aranan (Adnan) Puyo memerintah selama seminggu dalam usia 71 tahun, oleh kerana sudah tua beliau menawarkan takhtanya kepada Keluarga Kiram kerana mengikut Protokol Diraja tentang penggiliran takhta. Beliau meninggal ketika usia 130 thn pada 1921, adalah juga pengasas kepada Keluarga Aranan. (Sumber dari Keluarga Aranan dengan izin: Salsilah Sulu susunan YM Datu Ali Aman @ Raja Bongsu-II, salinan Kuala Lumpur 2006)
.
[5] Berdasarkan perjanjian pajakan 1878 antara Syarikat British Hindia Timur, Baron de Overback dan Sultan Jamalul A’zam-Kiram, pajakan adalah selama mana Syarikat British Mahukannya ( memajak) (Baron de Overback juga dilantik Dato Bendahara dan Raja Sandakan pada 22 Januari 1878). Microfilem : Public Record Office, London.
.
[6] Kata jamak dari Syarif susur galur keturunannya dari Sayidina Hassan ra.
.
[7] Beliau adalah berketurunan Arab Syiria yang dilahirkan di Aparri Cagayan, Filipina pada 21 Okt. 1923. Ibunya seorang muallaf Spanyol-Melayu. Kecewa dengan penindasan terhadap orang Moro, maka telah siapkan tesisnya yang sangat terkenal iaitu Muslims In The Philipines (St. Mary’s 1973). Salah satu rujukan utama dunia tentang Orang Moro. Berhijrah ke Amerika pada 1988, Meninggal di rumahnya di San Pablo, California pada 11 Oktober 2003 kerana kanser. (Sebahagian maklumat dari Dr. Susan Boyle & Shakir Massoud).
.
[8] Sebuah kajian (Himpunan Essei) oleh Prof. Cesar Adib Majul, tentang sejarah pengislaman dan peperangan orang Moro di Filipina, dialih bahasa ke Bahasa Malaysia oleh DBP dicetak hanya sekali pada 1988.
.
[9] Tarsilah atau Salsilah Sulu banyak yang masih tersimpan di Sulu yang dipegang para datu berupa salinan khutbah-khutbah dan sebagainya. Salsilah kesultanan sulu adalah satu rahsia kesultanan yang bukan mudah mendedahkannya kepada umum tetapi pada awal 1900-an seorang Arab Kristian Lubnan yang bernama Najeeb Saleeby telah berjaya menghimpun maklumat tentang Kesultanan Sulu ketika kedatangan penjajah Amerika. Laporan Najeeb Saleeby yang bertajuk The History Of Sulu (Manila: 1908) juga adalah yang terkenal yang menjadi rujukan dunia tentang sejarah Moro Sulu.

Tiada ulasan: