Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Ahad, 14 September 2008

17- ISU PAJAKAN BORNEO UTARA (SABAH)


Pro Dan Kontra keatas Pemajakan Sabah Samada Kesultanan Sulu Telah Menyerahkan Kedaulatan Sabah Atau Tidak?

TERLEBIH dahulu kami perlu menyatakan pendirian kami bahawasanya Borneo Utara (Sabah) ini patut berada di tangan Malaysia tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa. Kerana sesiapa yang mahu menuntut Borneo Utara (Sabah) selepas ini samada oleh Filipina mahupun individu yang menyamar “Sultan Sulu” (kebanyakan kes penuntut adalah datang dari keluarga Kiram) Maka langkah mayat kami terlebih dahulu.
.
Kekuasaan Filipina itu tidak jauh bezanya dengan kekuasaan Spanyol di masa lalu terhadap Wilayah Sulu. Tidak menjajah mahupun menguasai wilayah Kesultanan Sulu itu termasuklah Borneo Utara (Sabah). Mereka tiada bukti kukuh pernah atau telah menguasai wilayah Sulu itu hingga hari ini. Buktinya hingga hari ini pun Filipina masih menjalankan program pujukan terhadap rakyat Sulu kerana undang-undang Filipina masih tidak berkuat-kuasa sepenuhnya di Sulu maka bagaimana pula mereka tanpa segan silu mahu menuntut Sabah?
.
Ini termasuklah kepada penuntut Sabah yang menggelarkan diri mereka “Sultan Sulu”. Terbukti bukan sahaja mereka tidak layak mengangkat diri mereka sebagai sultan (kerana tidak mengikut Tartib Diraja Sulu) malah tidak dikenal dan diterima oleh rakyat Sulu sendiri. Mereka kebanyakannya adalah “penyamar” yang senantiasa dikepit dibawah ketiak kerajaan yang diperalat sebab itu tanpa rasa malu memanggil diri mereka “Rakyat Filipina”. Maka hanya “Rakyat Filipina” yang sanggup “berkorban” untuk negaranya Filipina yang dicintai itu. Adakah Sultan Sulu yang kita maksudkan ini masih layak menuntut Sabah setelah mereka mengaku sebagai “Rakyat Filipina”?
.
Berkenaan dengan kes pajakan Borneo Utara ini, kami meminta para pembaca menelitinya dengan hati terbuka tanpa prejudis kerana didalam penafian kami terhadap kewajaran tuntutan terhadap Sabah itu terdapat juga kebenaran disebaliknya yang perlu diperjelaskan. Kewujudan bukti terhadap “Pajakan” Borneo Utara (Sabah) ini kita bahas secara wajar mengikut fakta sahih lagi benar. Dewasa ini terlalu ramai yang bercakap mengenai “kes pajakan” tersebut tanpa disandarkan kepada fakta-fakta ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan. Kebenaran tetap kebenaran kerana macamana pun hebat hujah kita mengatakan “Kilauan emas itu adalah kilauan tembaga” sebenarnya tidak akan dapat mengubah rupa bentuk atau hakikat emas itu sendiri. Bagaimana pun hebatnya orang mengatakan bahawa “pajakan” itu adalah “penyerahan (secara mutlak)” tidak akan mengubah apa-apa kedudukan “Pajakan” itu kerana ahli sejarah keseluruhannya tetap menyatakan “penyerahan” itu bukannya “penyerahan kedaulatan” tetapi penyerahan untuk “dipajak”.
.
Sebab itu kes Borneo Utara ini lebih kurang macam kes Hong Kong. Walaupun pihak British agak sukar menyerahkan kembali Hong Kong kepada China[1] (Kerana pelaburannya memajukan Hong Kong terlalu besar), namun kerana adanya Surat Perjanjian, terpaksa juga Hong Kong dikembalikan kepada tuan punya tanah (China). Akan tetapi dalam isu Borneo Utara ini, kita (Moro) lebih suka wilayah itu berada dibawah Kerajaan Malaysia. (Kerana sejarah telah membuktikan, wilayah Kepulauan Sulu yang ditadbir oleh Filipina tidak dapat membela rakyat Sulu dengan sewajarnya. Malah rakyat Sulu hidup menderita. Kita tidak mahu rakyat di wilayah Borneo Utara (Sabah) mengalami nasib yang sama).
.
Pajakan Borneo Utara
Dipercayai Sultan Sulu mendapat wilayah Borneo Utara lebih awal dari tahun 1704. Iaitu semasa pemerintahan Sultan Salahuddin-Karamat @ Pangiran Bakhtiar ibni Sultan Mawalil-Wasit @ Raja Bongsu-I @ Pangiran Shahbandar Maharajalela (1649-1680), kerana dicatatkan pada masa pemerintahan Sultan Sahabuddin ibni Sultan Salahuddin-Karamat (1685-1710), Sultan Sahabuddin telah menerima bayaran cukai dari wilayah Borneo Utara. Keluasan wilayah Sultan Sulu di Borneo Utara adalah anggaran 3/4 wilayah Sabah. Iaitu, buat satu garis-lintang dari Teluk Kimanis terus ke Sungai Sibuku di Kalimantan (Indonesia). Maka seluruh wilayah ke sebelah Utara Sabah itulah wilayah Sultan Sulu di Borneo Utara.
.
Kawasan-kawasan ke sebelah bawah seperti Labuan, Sipitang & yang lainnya itu adalah bekas wilayah Sultan Brunei yang dibeli oleh pihak British dari Sultan Brunei sendiri. Sultan Brunei tidak berkemahuan lagi untuk menuntut wilayahnya itu kerana telah menjualnya. Apa yang berkemungkinan Brunei tuntut adalah “Kawasan Limbang” yang dalam perkiraannya diambil oleh pihak British secara tidak sah. Dan dalam isu tuntutan Brunei ke atas Limbang ini, hanya Sultan Sulu sahaja yang boleh jadi “Saksi”. Dalam isu wilayah Borneo Utara milik Sultan Sulu ini tidaklah dapat disangkal, walau berbagai pendapat yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak. Perlu difahami, pada Perjanjian “Pajakan/Sewaan” wilayah Borneo Utara tahun 1878 itu adalah diantara individu (Mr Barron de Overback & Mr. Alferd Dent) dan Kesultanan Sulu.
.
Barron & Alfred Dent telah “Menyewa” wilayah Borneo Utara dari Sultan Sulu untuk tujuan “Perdagangan” dibawah nama British North Borneo Company (BNBC). BNBC adalah sebuah “Syarikat” bukan sebuah “Negara”. Dalam perjanjian itu, perkataan Pajakan (Lease) telah diguna-pakai. Sehingga kini pun kita maklum konsep sesuatu pajakan di suatu kawasan adalah mengikut sesuatu tempoh tertentu. Contohnya, 40 tahun, 60 tahun, 99 tahun dan yang maksimum adalah 100 tahun. Maka, jika pajakan wilayah Borneo Utara bermula pada 1878, pajakan akan berakhir pada 1978 (iaitu genap 100 tahun).
.
Dalam perjanjian pajakan Borneo Utara itu, ramai orang yang tersalah tafsir dengan perkataan “until the end of time” yang diterjemahkan oleh pihak British. Maksud sebenar perjanjian tersebut ada pada perenggan berikutnya yang dinyatakan sebagai “For as long as they (BNBC) choose or desire to use them (Wilayah Borneo Utara)”. bermaksud, “Selagi pihak BNBC masih berkehendak untuk menggunakan wilayah Borneo Utara tersebut”. Jika tidak berkehendak lagi, wilayah Borneo Utara perlulah diserahkan kepada “Tuan Punya Tanah” (Sultan Sulu).
.
Juga selepas ayat itu dengan jelas dinyatakan “But the rights and powers hereby leased shall not be transferred to another nation, or a company of another nationality”.
.
Ini bermaksud hak perjanjian tentang wilayah Borneo Utara adalah diantara BNBC dan Kesultanan Sulu sahaja. Tindakan BNBC yang menyerahkan wilayah Borneo Utara dibawah takluk Kerajaan British pada 1946 (Setelah tidak berkeinginan lagi ke atas wilayah Borneo Utara) adalah melanggar “Perjanjian Pajakan 1878” itu. Tambahan pula mengikut hukum undang-undang antarabangsa berlandaskan satu konsep “Nemo dat quod non habet”, telah dengan jelas menyatakan “Tidak boleh memberikan sesuatu kepada pihak lain yang bukan haknya”. Jadi, kita fahami hak Sultan Sulu ke atas wilayah Borneo Utara tetap masih ada. Soal pembayaran “Sewaan” tahunan Dollar 5,000.00 (Kini RM5,000.00 sahaja) adalah bayaran “Pajakan” tahunan, bukan “Pampasan” kerana konsep sesuatu pampasan itu adalah dengan membuat bayaran sekaligus atau Lum Sum.
.
Maksud sebenar perjanjian pajakan itu tidak akan melebihi had dari yang dikehendaki oleh pihak yang memberi pajak, paling tidak pun hanya setakat mengatakan “seperti ada unsur kedaulatan” terhadap hak pajakan itu oleh pihak British.
.
“Pendapat Kerajaan British pada masa itu menunjukkan bahawa pengambilalihan (undertaking) itu adalah semata-mata bercorak perdagangan dan peribadi tanpa sebarang ‘muslihat politik’ dan bahawa ‘wilayah yang diserahkan kepada Dent itu akan ditadbirkan hanya oleh syarikat itu di bawah pertuanan Sultan Borneo (Brunei) dan Sultan Sulu dengan bayaran ufti tahunan yang telah dipersetujui oleh mereka. Manakala hak kedaulatan masih terletak di tangan sultan. Fakta ini telah disahkan oleh Perdana Menteri British pada masa itu yang memberi akuan dalam Dewan Rakyat British (House of Commons) bahawa ‘kuasa luar biasa yang didapati oleh syarikat merangkumi unsur kedaulatan, tetapi ia diliputi pertuanan pembesar anak negeri”.[2]
.
Dalam hal ini, penyelesian secara rasional perlu diambil. Kita suka wilayah Borneo Utara berada dibawah Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan Islam, Kesultanan Sulu hanya mahukan ada pembelaan ke atas rakyatnya yang sekian lama teraniaya oleh pihak Filipina. Inilah keadilan yang perlu kita ambil kira ke atas rakyat-rakyat Sulu itu.
.
Pewaris Dan Penyambung
Penggunaan terma kata “Pewaris Dan penyambung” (The heirs And successors) bukan perkataan Pewaris Atau Penyambung (The heirs Or Successors) di dalam Perjanjian Pajakan wilayah Borneo Utara tahun 1878 itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat.
.
Perkara ini ada diutarakan oleh Prof. Dr. Nicholas Tarling dalam bukunya “Sulu And Sabah” pada mukasurat 329, dalam merungkai kepayahan pihak British dalam menyerahkan Pembayaran Sewaan Wilayah Borneo Utara kepada “Pewaris Dan Penyambung” kepada Kesultanan Sulu, sepertimana kehendak perjanjian pajakan tersebut selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram-II pada tahun 1936.
.
Sembilan waris Sultan Sulu yang membuat tuntutan ke atas pembayaran sewaan wilayah Borneo Utara yang diketuai oleh Dayang-dayang Hjh. Piandao, 7 orang daripada mereka itu adalah Wanita. Di mana pihak British juga memaklumi bahawa di dalam institusi Kesultanan Sulu, pihak wanita hanya boleh dianggap sebagai “Pewaris” tapi bukan sebagai “Penyambung” kepada Kesultanan Sulu. Manakala 2 orang waris lelaki, iaitu Sultan Esmail Kiram-I dan Datu Punjungan-Kiram, juga hanyalah boleh dianggap sebagai Pewaris, namun bukan juga sebagai Penyambung kepada Kesultanan Sulu. Kerana pihak British telah memaklumi bahawa, Presiden Manuel L.Quezon di Filipina telah mengisytiharkan untuk Tidak Mengiktiraf [3] (Non-recognition) kepada sesiapa pun jua Penyambung kepada Sultan Jamalul-Kiram-II. (Ini membawa erti bahawa, tiada seorang pun dari keturunan Keluarga Kiram khasnya, dan keturunan “Pewaris Pertama” Kesultanan Sulu amnya, yang boleh diikhtiraf sebagai “penyambung” kepada Sultan Jamalul-Kiram-II).
.
Memandangkan yang institusi Kesultanan Sulu adalah tidak termansuh, maka pastinya ada waris lain dalam Kesultanan Sulu yang layak dan berhak untuk menyambung institusi Kesultanan Sulu itu. Maka, di sinilah fungsinya akan kewujudan Keluarga Pewaris Kedua Kesultanan Sulu, iaitu, Keluarga Maharajah Adinda. Jika merujuk kepada kepada Tartib (Protokol) Kesultanan Sulu, takhta Kesultanan Sulu perlu digilirkan di antara Pewaris Pertama dan Pewaris Kedua Kesultanan Sulu.[4]
.
Maka, dengan meletakkan Pewaris Kedua (Keluarga Maharajah Adinda) kepada hak tuntutan penerimaan bayaran pajakan wilayah Borneo Utara itu, maka sudah tentulah telah memenuhi kehendak perjanjian pajakan tersebut di mana, telah dikenalpasti bahawa, Pewaris Kedua (Keluarga Maharajah Adinda) adalah juga merupakan salah-satu Pewaris Mutlak Kesultanan Sulu sepertimana hak Pewaris Pertama dalam Kesultanan Sulu.
.
Malangnya pada masa itu (1936 – 1939), tiada seorang pun dari Waris Kedua (Keluarga Maharajah Adinda) yang tampil membuat tuntutan. Dengan desakan demi desakan dari “9 waris” yang menuntut hak bayaran pajakan wilayah Borneo Utara tersebut, akhirnya telah memaksa pihak Mahkamah di Borneo (Hakim C.F.C Makaskie) membuat Pengikhtirafan kepada “9 orang waris” tersebut sebagai berhak ke atas bayaran tahunan pajakan wilayah Borneo Utara itu.
.
Walaupun demikian, pihak keluarga “Pewaris Kedua” (Keluarga Maharajah Adinda) masih tetap berhak ke atas semua hak-hak dalam Kesultanan Sulu (sekiranya menuntut). Pihak 9 Waris kesultanan Sulu itu telah berjaya menuntut hak pembayaran ke atas pajakan wilayah Borneo Utara sahaja, namun tuntutan ke atas Hak Kedaulatan wilayah Kesultanan Sulu hanyalah ada di tangan pihak Pewaris Kedua (Keluarga Maharajah Adinda) sahaja.
.
Terjemahan ke bahasa Inggeris akan Perjanjian Pajakan Wilayah Borneo Utara tahun 1878, ada disertakan oleh Mr. Teodoro A.Agoncillo, dalam bukunya “History of the Filipino Peoples” pada mukasurat 266. Di mana, di dalam terjemahan perjanjian tersebut, perkataan Pewaris Dan Penyambung (The heirs And Successors) telah digunakan sebanyak 4 kali. Ini menguatkan lagi fakta, bahawa penggunaan terma perkataan Pewaris Dan Penyambung dalam perjanjian pajakan itu sememangnya mempunyai maksud yang tersirat.
.
ALASAN
Pertama: Pihak Sultan Jamalul A’zam @ A’lam memahami dan memaklumi bahawa Kesultanan Sulu mengamalkan Sistem Penggiliran di antara dua waris Kesultanan Sulu, sepertimana yang dinyatakan dalam Sistem Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu.

Kedua: Baginda Sultan Jamalul A’zam @ A’lam juga faham, bahawa di masa hadapan nanti, akan wujud begitu ramai Pewaris Kesultanan Sulu dari kedua-dua waris dan juga mereka yang mahu menjadi Penyambung kepada KesultananSulu. Maka untuk mengelakkan perbalahan dalam menuntut ke atas hak Kesultanan Sulu pada wilayah Borneo Utara, maka terma perkataan Pewaris Dan Penyambung telah diguna-pakai, dan tidak menggunakan terma perkataan Pewaris Atau Penyambung. Penggunaan perkataan Pewaris Dan Penyambung dalam Perjanjian Pajakan itu akan boleh Menghadkan tuntutan-tuntutan ke atas hak di wilayah Borneo Utara oleh para Pewaris mahupun para Penyambung kepada Kesultanan Sulu itu pada masa hadapan. Kerana, hanya mereka yang telah memenuhi syarat sebagai Pewaris dan dalam masa yang sama boleh menjadi Penyambung kepada Kesultanan Sulu mengikut Sistem Protokol atau Tartib Kesultanan Sulu.[5] Jelasnya dengan pengisytiharan Tiada Pengikhtirafan lagi kepada Keluarga Pewaris Pertama Kesultanan Sulu oleh Presiden Manuel L. Quezon dalam Memorandum 20hb September 1937, telah menguatkan lagi kenyataan bahawa Hak Pewaris Pertama ke atas Kesultanan Sulu telah tidak diikhtiraf lagi maka dengan itu, mereka tidak boleh lagi bertindak sebagai Penyambung Kepada Kesultanan Sulu. Hak sebagai Pewaris Dan Penyambung kepada Kesultanan Sulu hanya terletak di tangan keluarga Pewaris Kedua Kesultanan Sulu iaitu, Keluarga Maharajah Adinda, kerana Kesultanan Sulu itu belum termansuh.
.
Ketiga: Atau pun kemungkinan, Sultan Jamalul A’zam @ A’lam sememangnya mahu supaya pihak keluarga Pewaris Kedua, iaitu keturunan dari Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/ Adanan Puyo agar berhak menuntut ke atas wilayah Borneo Utara yang dipajakkan itu, sebagai tanda membalas budi, kerana diatas sebab pengaruh dan bantuan dari Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo akhirnya baginda dapat menduduki takhta Kesultanan Sulu pada tahun 1862, walaupun baginda telah disaingi oleh oleh Datu Daniel (Datu Amir Bahar).
.
Maka, penggunaan perkataan Pewaris Dan Penyambung dalam Perjanjian Pajakan Wilayah Borneo Utara - 1878 sememangnya mengandungi maksud yang tersirat, yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun sebelum ini.


Nota kaki:

[1] Istilah “penyerahan” itu sendiri tidaklah membawa maksud penyerahan secara mutlak tetapi sebenarnya adalah “Amanah”, lihat Kamus Dewan (Edisi Keempat) m.s. 1463 tertulis “Penyerahan perbuatan menyerahkan (mempercayakan, mengamanahkan, dll): Contoh ayat “Kekalahan China diikuti oleh penyerahan Hong Kong kepada British”. Walhal umum mengetahui kerajaan British akhirnya menyerahkan semula Hong Kong kepada China.

[2] Tuntutan Filipina Terhadap Sabah : Implikasi dari Segi Sejarah, Undang-Undang dan Politik – oleh Mohd Ariff Bin Dato’ Hj Othman, m.s. 40-41 (Terbitan DBP :1988).

[3] Ibid, m.s. 81.
[4] Islam Di Filipina, Prof. Cesar Adib Majul, m.s. 493-494 (alihbahasa oleh Shamsuddin Jaapar, DBP:1988). Prof. Cesar telah menjelaskan secara ringkas tapi mudah difahami tentang Tartib penggiliran takhta diraja Sulu dengan 3 warisan (Kiram, Shakiraullah dan Aranan dengan menggunakan huruf A1, A2, B1, B2 dan C1).

[5] Ibid, m.s. xvii, menjelaskan Kitab Tartib (Protokol) Diraja Sulu yang menjadi panduan Sultan-sultan Sulu (Datu Sangkula Amir Husain dari Dungun memiliki Tartib Diraja Sulu dan telah menjelaskannya kepada Prof. Cesar, juga rujuk pada m.s. 552, Bibliografi pilihan, dinyatakan bahawa Hj Buto memiliki kitab Tartib juga). Puyo akhirnya baginda dapat menduduki takhta Kesultanan Sulu pada tahun 1862, walaupun baginda telah disaingi oleh oleh Datu Daniel (Datu Amir Bahar).

8 ulasan:

Unknown berkata...

Assalammualaikum!

Sidang pengarang yang dihormati. Merujuk kepada pewaris dan penyambung kepada Institusi Kesultanan Sulu, terdapat beberapa keluarga spt Kiram, Shakiraullah dan Bantilan! Persoalan yang timbul, mengapakah saudara pengarang tidak ada meyebutkan nama keluarga Sultan Aliud-Din I Ibni Al-Marhum Sultan Sharifud-Din I ? Sila perjelaskan untuk pengetahuan umum. Terima kasih dan wassalam.

Unknown berkata...

UNTUK MAKLUMAN SIDANG PENGARANG KERAJAAN KESULTANAN SULU PADA ZAMAN DAHULU DI TADBIR DUA BUAH KERAJAAN SATU KESULTANAN SULU DARI PULAU LUZON FILIPINA SEHINGGA LAUT KEPULAUAN MINDANAU KEDUA KESULTANAN MAGUINDANAO DARI PULAU MINDANAO FILIPINA SEHINGGA KE PULAUAN BORNEO UTARA (SABAH) LANGSUNG TIDAK DI SENTUH OLEH PENGARANG KESULTANAN MANA YANG MENUNTUT

Unknown berkata...

UNTUK MAKLUMAN SIDANG PENGARANG KERAJAAN KESULTANAN SULU PADA ZAMAN DAHULU DI TADBIR DUA BUAH KERAJAAN SATU KESULTANAN SULU DARI PULAU LUZON FILIPINA SEHINGGA LAUT KEPULAUAN MINDANAU KEDUA KESULTANAN MAGUINDANAO DARI PULAU MINDANAO FILIPINA SEHINGGA KE PULAUAN BORNEO UTARA (SABAH) LANGSUNG TIDAK DI SENTUH OLEH PENGARANG KESULTANAN MANA YANG MENUNTUT

Unknown berkata...

KESULTANAN MAGUINDANAO RAMAI RAKYATNYA TERMASUK KERABAT KESULTANAN MAGUINDANAO RAMAI BERHIJRAH KE SABAH MALAYSIA SEMASA PENJAJAH SEPANYOL DI FILIPINA LAGI DAN SUDAH MENJADI WARGANEGARA MALAYSIA SEBELUM MERDEKA LAGI

Unknown berkata...

PERAYAAN LEPA LEPA DI SEMPORNA SABAH ADALAH SAMBUTAN MENYAMBUT KEDATANGAN KESULTANAN SIMBO TUAN SHARIF MUHAMMAD KEBUNGSUAN KESULTANAN MAGUINDANAO

Unknown berkata...

PERAYAAN LEPA LEPA DI SEMPORNA SABAH ADALAH SAMBUTAN MENYAMBUT KEDATANGAN KESULTANAN SIMBO TUAN SHARIF MUHAMMAD KEBUNGSUAN KESULTANAN MAGUINDANAO

Unknown berkata...

LEPA LEPA YANG DI UKIR CANTIK DI DAERAH SEMPORNA DAN DI HIAS DENGAN SAMBULAYANG DAN BENDERA KECIL ADALAH LEPA YANG DI GUNAKAN OLEH SULTAN TUAN SIMBO SHARIF MUHAMAD KEBUNGSUAN SEMASA PEMERINTAHANNYA MAKLUMAN TUAN SIDANG PENGARANG SAHAJA

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.