Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Rabu, 25 Mac 2009

Hambatan Filipino terhadap UTC 17hb Mac 2009



Lepas sarapan pagi pada pagi 17hb, saya dan Neldy bergegas ke Bandar Jolo dari rumah tempat kami menginap. Jam tangan menunjukkan jam 8 am. Neldy Jolo menyuruh saya berjalan cepat menuju ke bulatan lapangan terbang kerana Balai Polis Jolo (MUNICIPAL) berada di sana.

Sampai di sana kelihatan UTC sudah begitu ramai berkumpul di sepanjang jalan depan MUNICIPAL. Anggaran saya lebih kurang 3000 orang ketika itu. Kelihatan Peace Keeper sibuk menyusun barisan agar tidak berpecah. Bendera Kesultanan Sulu degan bertulis kalimah "La ilaha illallah Muhammadurrasulullah" berkibar megah. Kalimah yang sama juga mereka lilit di kepala seolah-olah mahu melakukan "perang sabil".

Takbir kedengaran bergema tanpa henti-hentinya "Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!" dari pada pemuda-pemuda Peace Keeper. Neldy Jolo yang sibuk mengambil gambar kesana-kemari dengan kemera 8.1 megapixel Fujifilmnya. Saya menyandar di dinding luar tembok MUNICIPAL. Tiba-tiba saya disapa oleh seorang dari dalam tembok MUNICIPAL "Saudara dari mana?" saya menjawab "Dari Malaysia... Tausug Malaysia".

Orang yang berada dalam tembok terkejut kerana saya fasih berbahasa Tausug, lalu menyoal lagi:

Penyoal:
"Ahh, Malaysia di mana tempat?"

Asree:
"Kuala Lumpur.... Tausug dari Kuala Lumpur"

Penyoal:
"Kamu datang ke sini melancong?"

Asree:
"Ya, saya juga observer Tausug dari Malaysia"

Penyoal:
"Bagaimana kamu tahu hal ini?" (Maksudnya UTC)

Asree:
"Kamu tak tahu UTC sudah tersebar ke Semenanjung Malaysia dan Indonesia? Kamu tak tahu observer dari Australia juga ada di sini?"

Penyoal:
"Kami tak tahu, sungguh! Kamu tak terlibat dengan UTC?"

Asree:
"Saya tak terlibat, cuma observer kerana saya rakyat Malaysia. Hanyasanya saya berbangsa Tausug. Walaupun saya Malaysian tetapi sangat mengharapkan keadilan tertegak dibumi Tausug. Saya datang kemari hanya mahu menyaksikan pertabalan Sultan Sulu dan mahu lihat samada UTC benar-benar wujud atau tidak"

Penyoal:
"Bagaimana anda tahu observer dari Australia datang kemari?"

Asree:
"Saya tahu sebab sebelum datang ke mari (Jolo) saya singgah di Zamboanga. Sahabat-sahabat dari MNLF beritahu, bukan setakat observer dari Australia, dari China dan Singapore pun ada" kelihatan mereka berpandangan sesama sendiri.

Saya merasakan kedatangan observer dari negara luar adalah disebabkan menghadiri perhimpunan MNLF sempena ulang tahun Bangsa Moro anjuran Nur Misuari yang akan berlangsung 18hb. Tidak berapa lama kemudian datang seorang Polis Filipina berbangsa Tausug menyapa saya:

Polis:
"Bro, cuba tolong kami bagaimana UTC ini beralih tempat dari sini. Ini sangat bahaya, bagaimana kalau mereka merusuh sudah tentu perang saudara tidak dapat dielakkan. Tolong bagi tahu mereka beredar dari sini"

Asree:
"Ahaaa... saya bukan orang sini, saya pelancong dari Malaysia. Saya rasa mereka tak akan merusuh. Mereka hanya tunjuk perasaan secara aman... janganlah kuwatir"

Polis:
"Cuba lihat mereka semakin agresif. Spanduk mereka pun nampak seperti mahu merusuh". Di wajah Polis muda ini tergambar satu kerisauan. Sekali pandang seperti wajah kecewa pun ada. Putus asa pun ada.



Asree:
"Sabar bro, jangan ganggu mereka sudah. Mereka berarak dan tunjuk perasaan secara aman saja. InsyaAllah mereka tak akan merusuh".

Polis:
"Hairan, apa sebenarnya yang mereka mahu?". Bergegeas berlalu dari situ menuju ke hadapan pintu MUNICIPAL.

Laungan takbir semakin gamat. Kelihatan UTC semakin ramai jumlahnya. Yang baru berdatangan semakin ramai.


Tiada ulasan: