Klik Untuk Kembali:

PERHATIAN!!

Untuk membaca catatan terkini Asreemoro sila klik ke http://tausug-global.blogspot.com/
Di sini hanya untuk Catatan Lama!! Harap Maklum!!

Selasa, 24 Mac 2009

Ke Jolo, Sulu 16hb Mac 2009


Sampai di Jolo satu malam perjalanan dengan menggunakan kapal laut dari Bandaraya Zamboanga bersama Neldy Jolo. Setelah selesai solat Subuh di Masjid kecil Shariful Hashim berhampiran Pelabuhan Jolo:

  • Jam 6 am, saya dan Neldy Jolo mengambil keputusan bersiar-siar di Bandar Jolo.
  • Neldy memanggil beca yang dikayuh oleh seorang remaja Tausug. Barang yang kami bawa dimuatkan kesemuanya ke dalam beca manakala kami hanya berjalan kaki.
  • Neldy mengambil gambar di setiap sudut yang kami lalui. Menurut Neldy kami perlu menuju ke rumah Peguam Kesultanan Sulu Atty. Meltino Jaujan Sibulan dengan berjalan kaki.
  • Kami singgah di sebuah restoran Tausug berhampiran dengan bulatan jalan Lapangan Terbang Jolo untuk sarapan pagi. Kami ajak pengayuh beca sekali bersarapan.
  • Ketika bersarapan, kami menemuramah remaja pengayuh beca dan mendapati beliau berumur 16 tahun sudah tidak bersekolah lagi kerana membantu adik-adiknya mencari wang untuk menampung persekolahan mereka sehari-hari. Beliau begitu gembira dan bangga kerana berjaya membantu adik-adiknya melanjutkan pelajaran. Baginya ini adalah satu pengorbanan sebagai abang kepada adik-adiknya.
  • Ketika dalam restoran saya menyuarakan kebimbangan kepada Neldy berkenaan barang-barang kami hanya diletak diluar restoran berada dalam beca tanpa penjagaan. Neldy mengatakan bahawa di Jolo tidak mungkin barang akan dicuri sedangkan diketahui pemiliknya berada dalam restoran. Katanya Tausug bukan pencuri dan tidak akan sanggup mencuri, kerana ia melibatkan maruah. Tausug sangat menjaga maruah takut keluarganya digelar peminta sedekah atau pencuri, terutamanya seperti di Jolo yang majoritinya Tausug.
  • Setelah selesai sarapan kami berjalan kaki lagi menuju ke satu lorong yang sangat sibuk dengan beca dan motorsikal yang berwarna warni.
  • Tiba-tiba pengayuh beca yang membawa barang-barang berharga kami telah hilang dihadapan kami. Neldy yang memahami reaksi saya bersuara "Asree, Tausug kalau sudah kita belanja makan dia tak akan mengkhianati kita, jangan bimbang".
  • Saya berkata dalam hati "Bukankah Tausug adalah bangsa Muslim yang paling khianat di Nusantara seperti yang dituduh oleh sejarahwan barat?". Hati saya juga menjawab "Ya memang, tetapi setelah Tausug dikhianati mereka akan menjadi manusia yang paling khianat".

Kami sampai di rumah Atty. Meltino Jaujan Sibulan pada jam 8:30 am langsung disambut oleh ibunya dan barang-barang kami dipunggah masuk (kerana Bro Meltino masih tidur). Saya beri 20 Peso kepada remaja pengayuh beca dan ucapkan ribuan terima kasih atas kejujurannya.



Di Zamboanga 14hb-15hb Mac 2009


Ketika sampai di Pelabuhan Zamboanga kelihatan sepupu saya Bro Raddin dan seorang pembantunya sedang melambai-lambai datang mengambil barang-barang yang saya bawa menuju ke atas sebuah lori kecil.

Tiba-tiba muncul Bro Neldy Jolo dan sahabatnya Bro Nur Daniel, kami bersalaman beramah mesra kerana hanya bersembang dalam talian internet selama ini. Neldy Jolo memperkenalkan Nur Daniel yang mengajar sebagai pensyarah di salah satu University Zamboanga. Neldy Jolo juga setahu saya pernah mengajar di university yang sama selama tiga tahun sebelum berhijrah ke Sabah. Saya berasa begitu kecil dihadapan mereka kerana saya cuma lulus SPM 1994 (pangkat 2) berbanding mereka yang bekerja sebagai pensyarah.

Saya perkenalkan mereka dengan sepupu saya Raddin, kemudian kami bergegas ke Santa Barbara. Sampai di rumah saya bersalaman dengan makcik saya Hjh Dallama (adik kandung kepada ibu) dan suaminya Hj Aziz @ Pula, kerana sudah hampir 30 tahun terpisah. Ketika umur saya 5 tahun ibu pernah bawa saya ke Pulau Dassalan tidak jauh dari Zamboanga (dihuni oleh majoriti kaum Bajau Balangingi, kebetulan ibu saya darah campuran Tausug dan Bajau Balangingi) sebelum kembali ke Jamperas Sandakan, ketika itu saya tidak ingat apa-apa.

Nur Daniel menyoal saya beberapa soalan antaranya apa posisi saya dalam UTC, apakah pendirian UTC (United Tausug Citizens) terhadap MNLF (Nur Misuari) dan apakah halatuju UTC kepada ummat Islam Sulu. Lagi soalan beliau ialah beberapa isu dalam buku yang saya tulis Tausug & Kesultanan Sulu yang beliau tidak bersetuju. Saya menjawab satu-persatu persoalannya sehingga beliau berpuas hati. Beliau tersenyum puas sambil menyatakan bahawa buku yang saya tulis itu telah menjadi satu kajian di bawah seliaannya di University tempat beliau mengajar.

Menurut beliau walaupun buku tersebut bukan ditulis oleh seorang Doktor PHD atau ahli akedemik tetapi mempunyai fakta yang memuaskan yang perlu dilanjutkan kajiannya oleh mana-mana University. Nur Daniel mempunyai pendirian berbeza iaitu, Sulu tidak boleh merdeka dalam suasana yang belum sedia seperti hari ini serta tidak dapat menerima ketuanan Sultan Sulu yang monarki kerana beberapa kesalahan Sultan Sulu sebelum ini atas kuasanya yang mutlak yang tidak boleh dibangkang oleh rakyat. Saya katakan perlunya beliau bertanya secara langsung kepada pemimpin atasan UTC sekiranya sampai di Jolo nanti.